Friday, 7 September 2012

Dikata negara paling biadab? Betulkah?

READER's Digest sekali lagi meletakkan kita sebagai negara yang penduduknya paling biadab di dunia. Enam tahun lalu kita diletakkan oleh majalah berkenaan di tangga ke-33. Kali ini pun masih di tangga yang sama daripada 34 negara yang disenaraikan.
Bagi sesetengah daripada kita, kajian dan penyelidikan daripada majalah ataupun agensi dalam dan luar negara, kita selalunya mengambil sikap tidak ambil pusing kerana menganggap ia satu penyelidikan yang dibuat secara rambang dan tidak menyeluruh, maka kita tidak percaya dan sangsi dengan hasil kajian itu.
Bagaimanapun ada asas juga untuk melihat apa hasilnya, lebih-lebih lagi penemuan kajian berkenaan sememangnya 'dekat' dengan kita.
Kebiadapan itu dinilai melalui kes kemalangan jalan raya yang direkodkan oleh pihak polis menunjukkan sebanyak 20 peratus daripada 1.3 juta kes kemalangan setiap tahun di negara ini berpunca daripada sikap biadab di jalan raya.
Selain itu, rakyat kita merokok di zonlarangan merokok, menjawab telefon di dalam panggung wayang, lewat datang untuk temu janji, tidak mengucapkan "terima kasih" dan meninggalkan troli selepas membeli-belah di tempat meletak kereta begitu sahaja dan merempuh masuk ke dalam lif, tren dan bas sebelum penumpang keluar.
Memang banyak kebenarannya. Apa yang disenaraikan memang sering berlaku di depan mata kita dan sudah tentu sebagai rakyat Malaysia kita boleh menyenaraikan lebih banyak lagi perbuatan yang boleh dimasukkan dalam kategori biadab yang seolah-olah sudah menjadi 'makan dan minum' sebahagian daripada orang kita.
Kita semua sudah pasti melalui keadaan di mana apabila berbaris panjang untuk membayar barangan di kedai runcit atau pasar raya atau mendapatkan perkhidmatan, ada yang dengan muka selamba memotong masuk barisan tanpa rasa bersalah. Bagi yang bekerja di kaunter pembayaran pula akan menunjukkan 'muka ketat' apabila pembeli tidak ada wang kecil, seolah-olah pembeli telah melakukan 'dosa besar' kerana tidak membayar dengan wang kecil. Membiarkan kereta lain beratur panjang di stesen minyak menunggu kita mengisi petrol, sementara kita masih di dalam kedai stesen minyak seperti 'makan angin' membeli belah makanan ringan sambil berborak-borak di telefon bimbit, melintas jalan sesuka hati dengan menggunakan 'kuasa tangan', membuang sampah merata-rata termasuk dari kenderaan ketika memandu, menggunakan telefon bimbit di kawasan-kawasan yang dilarang seperti dalam bank dan banyak lagi.
Dan sudah pastinya kebiadapan yang dimaksudkan itu akan lebih terserlah apabila melayari laman-laman sosial di alam maya. Kita boleh membaca ayat-ayat yang digunakan apabila membuat komen mengenai sesuatu isu terutamanya apabila ia membabitkan hal-hal politik. Dan tidak kurang pula dalam satu-satu isu yang tiada kaitan dengan isu politik pun, akhirnya dikaitkan dengan politik dan berlakulah pergaduhan siber.
Yang peliknya, orang kita boleh menghabiskan masa yang lama melayari laman sosial ini untuk bercakap hal-hal politik, tidak mengira waktu, entah masa bila mereka melakukan kerja-kerja 'hakiki' mereka.
Tahap pendidikan seseorang itu juga tidak membataskan diri untuk turut memberikan komen-komen biadab yang langsung tidak mencerminkan dari universiti atau pusat pengajian tinggi mana seseorang itu belajar.
Bagi saya apabila terlalu banyak politiking, semua perkara hendak dikaitkan dengan politik, membuatkan semua benda yang dibuat ada saja tidak kena dan dipandang tidak betul, akhirnya berbalah sesama kita, yang sudah pasti tidak membawa sebarang keuntungan selain mencari musuh. Ada yang hilang kawan, saudara-mara dan isteri! semuanya sebab terlalu banyak politiking.
Sikap biadab ini juga ditunjukkan oleh segelintir anak muda kita dalam himpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka pada malam ambang merdeka yang lalu, yang bertindak memijak gambar pemimpin negara dan melondehkan seluar untuk menayangkan punggung dan mahu menukar bendera negara Jalur Gemilang dengan bendera baru. Ini belum lagi kita masukkan aksi-aksi biadab dalam demonstrasi-demonstrasi sebelum ini.
Dan kalau kita langsung tidak menganggap perlakuan sebegini sebagai biadab atau melampau, tentu ada yang sesuatu yang tidak kena dengan kita.
Jadi apabila negara ini diletakkan dalam kategori rakyatnya paling biadab walaupun bukan di tangga juara, kita sewajarnya melihat sendiri apa yang berlaku di sekeliling kita. Bukan terus mengatakan bahawa Reader's Digest itu tidak cukup 'digest' dalam membuat kajiannya.
Adakah sebilangan dari kita mahu berterusan bersikap biadab dan mahu yang lain turut hidup dalam masyarakat yang dipenuhi oleh perlakuan biadab?
Kita sendiri amat takut dan malu apabila anak-anak kita dikata tidak tahu adab dan biadab. Jadi, sebenarnya ia bermula dari kita sendiri. Sewajarnyalah kitalah yang memberi contoh yang baik-baik kepada mereka. Dan mereka mengikut.

No comments:

Post a Comment