Monday 24 September 2012

Siasat ikut Akta Hasutan

Ahli Pertubuhan Insan Muslim Pahang mengadakan demonstrasi membantah penerbitan filem menghina Nabi Muhammad SAW di pekarangan Masjid Abu Bakar, Mentakab sebelum membuat laporan di Balai Polis Mentakab, Pahang semalam.
KUALA LUMPUR 24 Sept. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa membuka kertas siasatan ke atas Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham mengikut Akta Hasutan 1948.
Peguam, Abu Backer Sidek Mohd. Zan berkata, kenyataan Koo Ham melalui laman sosial Twitter yang mempersoalkan protes umat Islam terhadap filem Innocence Of Muslims secara terang-terangan berunsur hasutan serta membangkitkan kemarahan umat Islam.
Selain itu, jelas beliau, kenyataan provokasi Koo Ham itu juga tidak mengambil kira sensitiviti umat Islam di dunia dan Malaysia amnya.
"Tindakan perundangan paling sesuai yang boleh diambil di atas kenyataan Koo Ham adalah di bawah Akta Hasutan,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang meminta pihak polis membuka kertas siasatan berhubung kenyataan Koo Ham itu dengan segera.
Mohamed Nazri berkata, siasatan segera wajar dilakukan bagi membolehkan Jabatan Peguam Negara membuat pendakwaan mengikut peruntukan undang-undang.
Sementara itu, Dekan Pembangunan Pelajar dan Alumni Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Dr. Muhammad Fuad Othman berkata, 'kelewatan' membuka kertas siasatan berhubung kebiadapan Koo Ham mungkin disebabkan masalah di peringkat Prosedur Operasi Standard (SOP).
Sehubungan itu, katanya, polis perlu memperkemaskan SOP dan memikirkan mekanisme baru bagaimana hal-hal membabitkan kepentingan awam didahulukan.
"Mereka (polis) telah ada SOP yang baik, namun perlu diperkemas bagi siasatan kes-kes membabitkan kepentingan awam seperti ini," katanya.

No comments:

Post a Comment