Monday, 24 September 2012

Menyasarkan pertumbuhan lebih seimbang, berkualiti

DALAM usaha untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi, kita perlu sedar bahawa tidak semua rakyat berpeluang untuk menikmati hasil pertumbuhan sesebuah ekonomi. Selain itu, pertumbuhan ekonomi yang tidak sejajar dengan kenaikan kadar inflasi juga akan hanya menjurus kepada peningkatan jurang pendapatan rakyat terutamanya apabila kenaikan harga barangan dan perkhidmatan meningkat dengan lebih cepat berbanding pertumbuhan pendapatan.
Dalam konteks ini, kerajaan perlu memainkan peranan penting untuk mengimbangi semula agihan pendapatan supaya semua rakyat mendapat manfaat apabila Malaysia mencapai status negara maju pada tahun 2020.
Pembentangan bajet Kerajaan Pusat adalah salah satu forum yang penting bagi mencapai matlamat tersebut. Sehubungan itu, Bajet 2013 yang akan dibentangkan pada 28 September ini adalah suatu belanjawan yang begitu signifikan berikutan cabaran sektor luaran seperti krisis hutang di Eropah serta kelembapan pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang perlu diambil kira oleh pihak kerajaan.
Secara keseluruhannya, kami di Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC) meramalkan bahawa pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia (KDNK) bagi tahun 2012 akan mencapai pada kadar 4.8% - 5.2%. Pada masa yang sama juga, kami menjangkakan prospek bagi 2013 adalah lebih menggalakkan, didorong oleh faktor ekonomi AS yang dijangka akan terus berkembang walaupun menghadapi cabaran berikutan kadar pengangguran yang masih kekal tinggi. Sehubungan itu, pertumbuhan KDNK Malaysia dijangka akan pulih pada tahap 5.0% - 5.5% pada tahun 2013.
Justeru, antara isu-isu penting yang akan ditangani oleh kerajaan dalam Bajet 2013 adalah:
1. Meringankan beban golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang mengalami pertumbuhan gaji yang perlahan serta jajaran cukai pendapatan peribadi yang kecil;
2. Kenaikan kos sara hidup yang berterusan terutamanya harga rumah dan barangan pengguna;
3. Kedudukan kewangan kerajaan yang kurang memuaskan disebabkan asas cukai yang terhad dan perbelanjaan operasi yang semakin meningkat;
4. Kekurangan simpanan jangka panjang dan jaringan keselamatan kewangan untuk rakyat.
Walaupun isu-isu ini telah pun mendapat perhatian pihak kerajaan, namun beberapa langkah masih perlu diambil bagi memastikan rakyat dapat menangani masalah peningkatan kos sara hidup, serta pada masa yang sama dapat mengatasi beberapa cabaran struktur yang boleh menjejaskan keupayaan daya saing ekonomi Malaysia untuk jangka masa panjang.
Bagi menangani isu pendapatan benar (real income) yang semakin menurun, kami berpendapat bahawa struktur cukai pendapatan peribadi yang lebih baik adalah diperlukan bagi memastikan tingkat pendapatan pekerja tidak segera dinaikkan ke kelompok cukai yang lebih tinggi sehinggalah gaji dan upah bagi golongan ini mencapai kenaikan yang signifikan.
Di samping itu, kami juga bersetuju bahawa kadar pelepasan cukai tertentu perlu disemak semula memandangkan kenaikan kos sara hidup yang ketara sejak kali terakhir kadar tersebut dinaikkan.
Cadangan semakan semula ini termasuklah pelepasan cukai bagi anak yang berumur di bawah 18 tahun yang kini pada kadar RM1,000 seorang, serta RM4,000 seorang bagi anak yang melanjutkan pelajaran di peringkat diploma dan ke atas.
Kami juga berpendapat bahawa pelepasan berasingan bagi caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan insurans hayat perlu disediakan, yang mana dapat meningkatkan pendapatan boleh guna sambil menggalakkan pelaburan dalam insurans hayat.
Dari segi menyediakan jaringan keselamatan kepada rakyat, kami di MARC berharap agar kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan pengeluaran simpanan daripada KWSP untuk pembelian insurans perubatan.
Cadangan ini mampu untuk mengurangkan beban rakyat dalam menangani kos perubatan yang tinggi pada tahun-tahun keemasan mereka di samping dapat menggalakkan rakyat mempunyai beberapa bentuk perlindungan perubatan. Hal ini turut dapat mengurangkan beban kerajaan terutamanya dalam perbelanjaan kesihatan pada masa hadapan.
Untuk sektor hartanah pula, langkah-langkah lebih bermakna perlu diambil dalam menangani peningkatan harga hartanah yang mendadak, terutamanya di kawasan-kawasan bandar seperti Lembah Klang, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, sehingga menjejaskan keupayaan rakyat untuk memiliki rumah sendiri.
Langkah seperti Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) yang lebih tinggi, serta mengehadkan jualan kepada pembelian secara berkumpulan juga perlu dipertimbangkan. Perkara ini akan dapat membantu mengimbangkan aktiviti spekulatif serta mampu memperlahankan kenaikan harga rumah. Selain itu, larangan pembelian bagi warga asing membeli rumah bertanah atau menaikkan harga minimum rumah bertanah yang boleh dijual kepada warga asing, perlu juga diberi perhatian yang sewajarnya.
Kami sangat mengalu-alukan langkah-langkah kerajaan dalam melaksanakan pelbagai program seperti Skim Rumah Pertamaku (SRP), Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang akan dapat membantu meningkatkan pemilikan rumah di kalangan rakyat. Bagaimanapun, pelaksanaan program-program ini haruslah dipercepatkan bagi membantu mengurangkan beban rakyat dan mengurangkan ketidakseimbangan masa depan di dalam pasaran hartanah.
Dari segi kedudukan kewangan kerajaan, MARC juga berpandangan bahawa program rasionalisasi subsidi juga perlu diteruskan meskipun langkah ini kurang disenangi oleh pihak umum. Bagi menangani bantahan yang mungkin timbul, faedah daripada pengurangan subsidi dan seumpamanya perlu dijadikan rasional yang munasabah kerana hasilnya juga akan dinikmati oleh rakyat di negara ini. Contoh yang terbaik adalah skim Bantuan Rakyat 1Malaysia iaitu suatu bentuk bayaran pindahan yang dapat mengurangkan bebanan kewangan bagi golongan berpendapatan RM3,000 ke bawah.
Kerajaan juga boleh mempertimbangkan penggunaan sebahagian daripada hasil cukai yang melebihi paras yang dibajetkan bagi membantu meringankan tekanan ke atas tabungan kerajaan. Jika diperhatikan prestasi pada tahun-tahun yang sebelumnya, pendapatan kerajaan sering kali melebihi daripada tahap yang diunjurkan, kecuali ketika kemelesetan ekonomi. Pendapatan berlebihan yang direkodkan pada setiap tahun telah membawa kepada perbelanjaan yang melebihi daripada yang diperuntukkan, terutamanya apabila hasil sebenar lebih tinggi daripada unjuran.
Sebagai langkah untuk menggalakkan pelaburan jangka panjang sambil meningkatkan hasil cukai, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk mengenakan cukai keuntungan modal ke atas pelaburan dalam instrumen kewangan yang dipegang untuk kurang daripada sesuatu tempoh masa tertentu (contohnya satu tahun). Pada masa ini, pelabur jangka pendek tidak tertakluk kepada sebarang cukai manakala pelabur jangka panjang dikenakan cukai ke atas dividen mereka.
Secara ringkasnya, bajet kerajaan bagi tahun 2013 merupakan agenda yang penting dalam usaha Malaysia mencapai tahap negara maju, sambil memenuhi aspirasi dan kemakmuran rakyat.
Bagaimanapun, kita harus ingat bahawa pertumbuhan ekonomi yang berlandaskan perbelanjaan kerajaan semata-mata adalah sesuatu yang tidak digalakkan. Ia harus diselarikan dengan pelaksanaan dasar-dasar yang efektif dan menyeluruh, perubahan struktur ekonomi yang akan mengukuhkan tahap daya saing ekonomi, serta pentadbiran yang cekap dan beramanah.

No comments:

Post a Comment