Wednesday, 26 September 2012

MPP: Membangun persepsi mahasiswa negara

Pelajar-pelajar sedang mengundi bagi Pilihan Raya Kampus Majlis Perwakilan Pelajar 2012 di Universiti Malaysia Terengganu, Kuala Terengganu, semalam.
BERTAHUN-TAHUN menyaksikan perang poster dalam pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti dan perjalanan aktiviti selepas selesainya pemilihan, terfikir apakah yang direbutkan sangat dalam kalangan siswa-siswi selama ini.
Tiada ganjaran besar dari segi wang ringgit mahu pun gaji lumayan. Benarkah terdapat puak-puak dalam kalangan mereka atau ada pihak yang sengaja mengadu-domba siswa-siswi sebagai cerminan terhadap pilihan raya umum yang kian hampir?
Adakah benar bahawa pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar adalah proksi kepada proses pilihan raya di luar dan melambangkan pemikiran dan kematangan siswa-siswi kita atau ia sekadar proses pemilihan biasa yang berjalan sebagai sebahagian daripada rutin aktiviti kampus yang sesetengah pihak dan penganalisis menganggapnya sebagai gambaran kelesuan aktiviti mahasiswa universiti sekarang.
Sebagai seorang yang menyaksikan putaran aktiviti dan pemilihan yang dilakukan saban tahun, hakikatnya anak-anak muda di universiti kita berusaha untuk melaksanakan proses demokrasi yang kita percayai dan memperjuangkan idealisme yang mereka yakini.
Oleh itu adalah wajar dibiarkan mereka meneruskan proses kedewasaan dan kematangan dalam melaksanakan demokrasi ini dengan cara tersendiri tanpa adanya campur tangan, apatah lagi usaha-usaha untuk menjadikannya sebagai proksi mana-mana pihak.
Biarkanlah mereka bebas menzahirkan pemikiran dan perancangan dalam berpolitik serta bersaing atas kebijaksanaan, bukannya atas kekuatan orang lain atau parti politik yang menjadi pegangan.
Barisan kepimpinan mahasiswa yang dipilih pula sewajarnya melupakan segala perbezaan pandangan, sebaliknya bersatu menggerakkan secara profesional. Bukan sekadar menjaga kebajikan mahasiswa, tetapi MPP yang dibentuk seharusnya menjadi payung kepada persatuan, pertubuhan dan kelab dengan mengemukakan idea-idea yang jauh lebih besar untuk dilaksanakan secara berfokus berteraskan pemikiran yang dilaungkan semasa proses pemilihan.
Di sinilah ujian sebenar kepimpinan mahasiswa pada abad ini. Aktiviti-aktiviti konvensional yang sekadar membawa mahasiswa ke kampung pedalaman dan desa terpencil barangkali makin kurang relevannya yang boleh diserahkan sahaja kepada persatuan dan kelab.
Sebaliknya tumpuan perlu diberi kepada usaha membentuk pemikiran besar, menjana kekuatan minda dan bagaimana melibatkan siswa-siswi universiti dalam proses transformasi yang rancak dilakukan sekarang dalam pelbagai bidang. Malah bersama-sama memastikan usaha memposisikan dunia mahasiswa dapat dibuat dengan betul, dipandang tinggi dan disegani termasuk di pentas dunia.
Seharusnya MPP di universiti dapat terus memainkan peranan yang sebagai suara dan juara anak-anak muda dalam memperkatakan isu-isu sejagat, kemanusiaan dan keilmuan serta menentang segala ketaksuban, penghinaan dan anti-akademia yang hanya berasaskan perasaan dan sesetengahnya menyalakan api kebencian dan permusuhan dalam konteks yang sangat peribadi dan terpencil.
Malah MPP juga wajar menjadi tenaga penggerak aktiviti kesukarelawanan yang lebih berwadah dan terancang secara sendiri apatah lagi menghidupkan kampus dengan wacana-wacana ilmu saban minggu dalam membincangkan isu-isu masyarakat, memperjuangkan nilai-nilai universal yang sesuai dengan budaya dan semangat kepelbagaian negara serta memimpin mahasiswa dalam mencorakkan masa hadapan yang diinginkan sebagai gambaran dalam senario masa hadapan.
Hal ini hanya dapat dilakukan jika MPP berada pada landasan yang betul dalam konteks kepimpinan mahasiswa seperti mana yang ditunjukkan oleh Dewan Perundingan Pelajar sebagai manifestasi parlimen mahasiswa yang tidak dicampuri oleh universiti selain daripada bantuan keurusetiaan untuk memastikan ia berjalan lancar.
Kita perlu berhenti dengan apa jua label seperti mana syarat untuk mereka bertanding. Kita perlu memastikan agar mereka tidak menuding jari dalam apa jua keadaan pun, sebaliknya menggunakan segala kreativiti untuk keluar daripada masalah yang mereka hadapi.
Mereka juga perlu belajar bahawa gagal atau berjaya adalah mainan hidup dan dalam politik termasuk politik kampus, tidak ada 'musuh' dan 'sahabat' yang kekal.
Jika kita terima perkara ini sebagai proses mendewasakan anak-anak muda, maka semua pihak perlu menerima secara terbuka dan meminta mereka bekerjasama dalam kepelbagaian pemikiran untuk memastikan MPP menjadi suara sebenar anak-anak muda di universiti.
Seperti kata Naib Canselor USM, Prof. Datuk Omar Osman: "Biarkan mereka bertanding sebagai ilmuwan dengan penuh budi pekerti dan saling menghormati dan jika ada yang tertinggal, banyak lagi ruang yang boleh digunakan untuk meminta dan melontarkan idea."

No comments:

Post a Comment