Sunday 23 September 2012

Suaram, apa lagi yang tersembunyi

Dalam satu pertemuan awal tahun ini, seorang bekas ketua agensi berkaitan keselamatan negara dengan nada begitu bimbang menyatakan 'mereka sudah lama di sini'. Tanpa berselindung, jelas beliau mahu berkongsi kebimbangan itu.
Mereka yang beliau maksudkan ialah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diresapi anasir asing. Apa yang beliau nyatakan bukan teori konspirasi. Ia bukan cakap-cakap kedai kopi mahupun kajian ilmiah.
Ia juga bukan lagi ingatan tentang peri bahaya anasir berselubung hak asasi dan kebebasan bersuara yang biasa didengar lima atau sepuluh tahun lalu.
Mereka sudah lama bergerak aktif di Malaysia. Ideologi bawaan mereka - kebebasan, pluralisme, liberalisme dan seumpamanya - yang tujuan akhirnya yang kita ketahui untuk menguasai negara ini sudah berjaya ditanam di minda sebahagian rakyat Malaysia.
Mereka sedang menggunakan segala muslihat agar Gelombang Arab dapat disusup dan digerakkan di Malaysia untuk menggulingkan kerajaan. Malaysia adalah negara sasaran selepas tercetusnya huru-hara sehingga tergulingnya kerajaan di Mesir, Tunisia, Libya dan kini Syria.
Pelbagai analisis daripada geostrategis, pemikir, ahli akademik dan ahli politik mengingatkan hal itu. Tetapi sebelum ini ia tidak lebih umpama angin lalu. Ramai pihak melihat pihak berkuasa seperti hilang upaya apabila menghadapi kumpulan minoriti ini.
Memang, bukan mudah mengurus NGO yang mempunyai rangkaian antarabangsa ini. Banyak tekanan dan halangan. Walaupun kecil, mereka licik dan sudah bersedia sejak lama menghadapi sebarang kemungkinan. Lebih menyukarkan, mereka mempunyai pengaruh, kuasa dan sumber kewangan yang tiada tara.
Lihat sahaja apa yang berlaku di Mesir. Tindakan kerajaan peralihan menahan aktivis prodemokrasi atas dakwaan menyalurkan dana asing secara haram 'dengan niat untuk menganggu keselamatan negara' pada Februari lalu, menjadi bomerang.
Kumpulan itu telah menggunakan tekanan sehingga kerajaan Amerika Syarikat pun mengancam untuk menggantung bantuan ketenteraan bernilai AS$1.3 bilion setahun. Itulah keadaannya apabila nasi sudah menjadi bubur, terpaksa tunduk dan akur sahaja dengan arahan asing.
Dicurigai
Sebab itu, kewujudan NGO seperti Suaram dengan aktivitinya banyak mengarah kepada pembangkang dan berhabis-habisan menentang kerajaan sehingga tiada terlihat satupun kebaikan, sentiasa dicurigai. Terdedah kepada umum kini, di belakang pertubuhan ini ialah NGO asing yang secara konsisten telah membiayai aktiviti mereka.
Suaram antaranya didapati telah menerima dana asing secara konsisten daripada National Endowment for Democracy (NED) dan Open Society Institute (OSI), pertubuhan yang diasaskan oleh penyangak mata wang, George Soros.
Suaram menerusi Suara Inisiatif Sdn. Bhd. (Suara Inisiatif) dipercayai menerima dana daripada NED, sebuah pertubuhan yang dikaitkan dengan Yahudi kira-kira RM1.6 juta sejak 2005 hingga 2011.
Suaram turut dipercayai menerima dana daripada OSI berjumlah kira-kira RM845,835.
Angka itu diperoleh daripada aliran masuk wang menerusi sistem perbankan biasa.
Persoalannya, mungkinkah ada dana lain yang disalurkan kepada pertubuhan ini menggunakan kaedah berbeza, yang mungkin jumlahnya lebih besar lagi?
Benar, mereka boleh berkilah tiada salahnya menerima dana asing. Benar, mereka boleh berhelah dana itu digunakan untuk tujuan baik bagi mengembang dan menggalakkan kebebasan, hak asasi manusia dan demokrasi.
Tetapi apakah begitu yang kita lihat? Apakah pembiaya asing yang telah mengkucar-kacirkan banyak negara tidak mempunyai agenda buruk di Malaysia? Apakah agaknya balasan yang mereka idamkan daripada sumbangan yang telah dihulurkan?
Justeru, perjuangan Suaram dan sekutu NGO lainnya yang menerima dana asing ini wajar dipersoalkan. Apakah kebebasan dan demokrasi namanya jika mahu menggulingkan kerajaan menerusi demonstrasi jalanan atau jalan belakang?
Apakah hak asasi manusia namanya jika perjuangan mereka melampaui batas agama dan budaya majoriti masyarakat negara ini termasuk dalam hal berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT)?
Apa agaknya yang akan berlaku jika rakyat Malaysia nantinya memperakui bahawa semua agama itu sama? Mungkin generasi sekarang tidak dapat menerima dogma itu tetapi jika berterusan ditanam dalam minda generasi baru, bakal carca- marba masyarakat Malaysia kelak.
Langkah-langkah penyelamatan yang dilakukan pelbagai pihak termasuk oleh pihak berkuasa sekarang bukanlah cubaan untuk menakut-nakutkan sebagaimana yang mereka dakwa.
Realitinya, gerakan mereka seharusnya ditakuti dan wajar diperangi. Rakyat harus diingatkan mengenai kemungkinan-kemungkinan yang boleh berlaku jika termakan budi dengan pembiaya asing yang ada pengalaman pernah memporak-perandakan negara ini.
Apa yang mereka lakukan sekarang lebih kepada usaha untuk menguasai kerajaan. Aktivis prodemokrasi dan kebebasan bersuara, hanyalah satu topeng.
Jika tidak, tentu sahaja aktivis dan para pimpinan mereka tidak terlibat secara langsung dengan parti pembangkang. Jika tidak, umpamanya tentu sahaja kumpulan ini akan ke depan membantu masyarakat Rohingya yang dihalau dari kampung halaman mereka.
Gerakan
Lihatlah siapa barisan kepimpinan dalam Suaram dahulu dan sekarang. Dalam senarai kepimpinan pertubuhan itu ada Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong.
Pengarahnya sekarang ialah Cynthia Gabriel yang memegang jawatan Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) lantikan Kerajaan Pakatan Keadilan Rakyat Negeri Selangor selain merupakan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Turut berada dalam senarai penggerak Suaram ialah Pengarah Eksekutif Tenaganita, Irene Fernandez yang juga Ahli Majlis Tertinggi PKR selain Irene Xavier iaitu Presiden Sahabat Wanita dan jurucakap kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Inisiatif Manifesto Rakyat (PMI).
Individu lain termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran. Media yang beliau urus, Malaysiakini selalu bangga mengaku laman web independen, tetapi yang mereka tonjolkan ialah suara pembangkang.
Dan, boleh berkecualikah portal ini apabila mereka juga menerima dana daripada NGO asing?
Sedangkan, yang kita tahu portal ini begitu mempromosi demonstrasi jalanan termasuk yang berakhir dengan kekacauan dan huru-hara baru-baru ini.
Pengerusi Bersih, Datuk S.Ambiga juga pernah mengaku menerima dana daripada NED dan OSI.
Jika diteliti, gerakan dan aktiviti NGO ini terarah kepada seorang individu iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sudah lama menyimpan impian untuk menjadi Perdana Menteri.
Cukup sempurna pasukan mereka - ada rangkaian antarabangsa, ada pembiaya dana, ada media propaganda dan ada parti politik yang mampu mengerahkan ketumbukan ahli-ahlinya berarak di jalanan.
Tidak terang lagi bersuluhkah apa sebenarnya agenda mereka? Mereka tidak akan berhenti selagi kerajaan yang ada tidak dijatuhkan.
Mereka tidak akan duduk diam selagi tuan yang membiayai mereka belum berpuas hati. Dan, mereka akan terus tegar memperdaya rakyat negara ini agar membenci pemerintah yang tidak menyebelahi mereka.
Sebelum nasi menjadi bubur, langkah-langkah pencegahan harus dilakukan secara drastik dan tegas. Tidak lagi boleh berlengah. Negara sudah berada di mulut harimau.
Banyak bukti yang menimbulkan kecurigaan sudah ada di depan mata. Jika tersilap perhitungan, Malaysia bakal menjadi negara seterusnya yang akan dibaham.

No comments:

Post a Comment