Ketegasan undang-undang sekat berleluasa

Tahukah anda bahawa ada dua jenis rokok haram yang diseludup iaitu rokok tiruan dan rokok seludup tanpa membayar cukai (contraband). Jenis rokok palsu yang diseludup ialah rokok berjenama, manakala rokok contraband yang diseludup biasanya terdiri daripada ‘rokok putih’ murah.     
Rokok tiruan berbahaya kerana kandungannya sudah tentu meragukan. Selain itu, ia juga tidak mematuhi peraturan ditetapkan terutama dari segi kesihatan. Umum mengetahui bahawa di Indonesia, pemulung atau pengutip sampah, turut mengutip puntung rokok untuk dikitar semula. Ini mendedahkan rakyat terhadap risiko penyakit dan penggunaan barangan tercemar.    
Pada 2011 nilai cukai terbesar yang dilarikan sindiket rokok haram ini membabitkan RM146 juta, walaupun jumlah rampasan hanya RM43.6 juta. Cukai yang dikenakan ke atas rokok lebih tinggi berbanding barangan lain.

Lebih lima juta mati akibat rokok

Menurut Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tahun ini lebih lima juta penduduk dunia akan mati akibat penyakit berkaitan merokok, antaranya serangan jantung, strok dan kanser sudah pasti kesannya lebih buruk bagi mereka yang menghisap rokok tiruan.

Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia dalam kajian menunjukkan kegiatan penyeludupan rokok haram meningkat sebanyak 37 peratus setahun. Ini bermakna hampir empat daripada setiap 10 paket rokok yang dijual di negara ini adalah produk seludup, dan menjadikan Malaysia negara teratas di dunia bagi penjualan produk rokok seludup.

Pengeluaran rokok di Malaysia lebih kurang 15 juta batang setahun. Rokok haram pula dijual berleluasa pada harga jauh lebih murah iaitu RM3.50 berbanding harga yang ditetapkan kerajaan iaitu RM7.20 bagi 20 batang rokok. Memandangkan perniagaan ini begitu menguntungkan, penyeludup bersedia menanggung risiko ditangkap semata-mata untuk memperoleh keuntungan.
Kajian Nielsen Company (Malaysia) menunjukkan peningkatan kes penyeludupan mengakibatkan imej negara dan kerajaan menanggung kerugian sebanyak RM2 bilion setahun dalam bentuk kutipan cukai. Tambahan pula, pasaran haram telah melahirkan satu industri utama sindiket, menggalak jenayah terancang, perdagangan haram atau ekonomi bawah tanah yang mengendalikan rangkaian penyeludupan dan memperoleh keuntungan sehingga mencecah RM1 bilion setahun.

Rampasan rokok haram oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) telah meningkat sebanyak 26 peratus dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, iaitu 1,868 kes bernilai RM27 juta berbanding tahun lepas sebanyak 1,487 kes.

Pada 2011 nilai cukai terbesar yang dilarikan sindiket rokok haram ini membabitkan RM146 juta, walaupun jumlah rampasan hanya RM43.6 juta. Cukai yang dikenakan ke atas rokok lebih tinggi berbanding barangan lain. Kalau dibaca hasil rampasan atau tangkapan daripada aktiviti penyeludupan itu, nilainya membabitkan angka ratusan ribu hingga bilion ringgit. Pada hakikatnya, terlalu banyak juga kegiatan penyeludup rokok yang terlepas daripada tangkapan. Ini bermakna besar juga angka kerugian yang ditanggung negara kerana tidak mendapat pendapatan daripada kutipan cukai.

Pada beberapa tahun yang lalu rokok biasanya rokok berjenama haram diseludup melalui pelabuhan utama seperti Pelabuhan Klang, Pulau Pinang, Tanjung Pelepas dan Pasir Gudang walaupun KDRM memasang mesin pengimbas kontena berkuasa tinggi bernilai lebih RM12 juta setiap satu tidak mampu mengekang kegiatan sindiket ini.

Mereka lebih kreatif dan banyak tipu muslihat untuk memastikan kegiatan mereka tidak dapat dihidu oleh pihak berkuasa. Pada kebiasaannya penyeludup memalsukan dokumen dengan mengisytiharkannya sebagai perabot atau kusyen, komputer yang cukainya sedikit atau barang tidak dikenakan cukai langsung.

Kini, rokok putih murah haram kebanyakannya dibuat di kilang di Indonesia, Filipina, Kemboja, Vietnam dan China dan ‘modus operandi’ terbaru ialah dihantar untuk disimpan di gudang ‘bonded’ di Singapura secara sah.

Sebagai sebuah pulau perdagangan bebas, setiap pergerakan rokok di Singapura adalah tidak salah dari segi undang undang. Cuma rokok diseludup masuk ke Malaysia melalui pintu masuk Woodlands dan Tuas melalui jalan darat dengan menggunakan kenderaan yang memakai nombor pendaftaran Malaysia. Masalah besar ialah penyeludupan masuk ke Malaysia masih berleluasa dan pintu masuk masih terbolos kerana ada desas-desus mengatakan sesetengah penguat kuasa sengaja memberi laluan apabila menerima suapan. Dari segi pengagihan, sindiket tempatan akan menghantar rokok ini ke kedai runcit untuk dipasarkan di seluruh negara. Penulis mendapat tahu melalui sumber bahawa modal penyeludup membeli rokok putih haram ialah 48 sen sebungkus atau RM240,000 bagi setiap kontena dan dijual dengan harga RM1.75 juta.

Rokok putih dari Sungai Buloh

Yang menyedihkan lagi, terdapat juga rokok putih dibuat di kawasan Sungai Buloh, Puchong dan di Machang Bubuk, Seberang Perai. Ia dijalankan oleh sindiket dengan mengimport mesin dari luar negara. Pelbagai persoalan yang timbul. Bagaimana mesin pembuat rokok boleh dibawa masuk ke negara kita sedangkan ia memerlukan permit khas?

Pun begitu, penalti yang rendah dan penguatkuasaan yang longgar juga merupakan antara sebab berlaku penyeludupan rokok tiruan. Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum 20 kali ganda nilai barang atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Lazimnya mahkamah hanya mengenakan denda saja menyebabkan kegiatan penyeludupan rokok semakin berleluasa.

Penulis berpendapat tiada cara untuk mengatasi masalah penyeludupan daripada berterusan kecuali tindakan undang-undang yang tegas.

Penulis ialah Pengarah Institut Jenayah & Kriminologi Universiti HELP