*MEMANG biadab! Ketika umat Islam seluruh dunia menyuarakan kemarahan terhadap filem Innocence of Muslims, ada pula kumpulan kafir di tempat lain sekali lagi menghina Nabi Muhammad SAW menerusi kartun.

Muka depan Charlie Hebdo, sebuah majalah satira Perancis Rabu lalu menyiarkan karikatur menunjukkan seorang Yahudi Ortodoks sedang menolak serban seorang individu yang dikatakan Nabi Muhammad. Dalam keluaran sama majalah tersebut menyiarkan gambar-gambar bogel.

Editor majalah tersebut menegaskan pihaknya “akan mengejutkan mereka yang mahu dikejutkan.” Sungguh berani dia menghina, pada hal seorang duta Amerika Syarikat di Libya telah terbunuh gara-gara filem Innocence of Muslims.

Polis rusuhan telah dikerah untuk melindungi pejabat majalah berkenaan, kerana bimbang umat Islam akan bertindak berikutan sentimen terhadap karikatur yang amat menghina itu. Jelas sekali editor majalah berkenaan tidak sensitif dan kurang ajar. Maka dia perlu diajar!

*PENERBITAN Innocence of Muslims adalah lanjutan daripada sekian banyak penghinaan terhadap Islam yang dilakukan dalam berbagai bentuk oleh puak anti Islam. Tentu ramai masih ingat novel The Satanic Verses yang diterbitkan 1989.

Penulis novel tersebut, Salman Rushdie, dengan sengaja dan terang-terangan memperlekeh Islam, sehingga menimbulkan kemarahan ummah. Ayatollah Khomeini mengeluarkan fatwa supaya Salman dibunuh. Dia tetap lepas bebas sekarang walaupun fatwa itu masih berkuat kuasa.

Belum lama dulu sebuah akhbar harian Denmark, Jyllands-Posten, pernah mempersenda Rasulullah menerusi kartun yang disiarkan di halaman hadapan. Ahli politik Belanda, Geert Wilders, juga sering mencetus provokasi menghina Islam.

Malah, satu penghinaan juga apabila apabila Terry Jones, paderi sebuah gereja kecil di Amerika Syarikat membakar al-Quran. Erykah Badu, artis rap dari Amerika Syarikat juga menghina Islam dengan tatu perkataan ‘Allah’ di dadanya yang sengaja didedahkan. Konsertnya di Kuala Lumpur dibatalkan gara-gara tatu tersebut.

Pendek kata sudah macam-macam penghinaan terhadap agama Islam dilakukan, bukan secara tersembunyi, sebaliknya terang-terangan.

Para penghina Islam ini sengaja membuat provokasi, mungkin mereka tahu umat Islam tidak akan berbuat apa-apa. Mereka tahu negara Islam tidak pernah bersatu, dan banyak berkiblat kepada kuasa besar dunia.

Mereka tahu sesama negara Islam – termasuk sesama Islam di Malaysia! – sering bercakaran, malah sering serang-menyerang dalam peperangan. Mereka tahu banyak negara Islam yang miskin dengan rakyat hidup melarat. Sebab itu orang kafir berani kurang ajar dan membuat provokasi berterusan.

Selagi Islam tidak bersatu, penghinaan terhadap agama itu akan berterusan. Apakah kita masih tidak insaf?

*SEORANG pelakon wanita, Cindy Lee Gracia, memfailkan saman ke atas penerbit Innocence of Muslims kerana berasa tertipu setelah berlakon dalam filem berkenaan. Dia mendakwa telah diperdaya oleh Nakoula Basseley Nakoula, individu yang dikatakan menerbitkan filem tersebut.

Sementara Nakoula ditahan polis untuk siasatan, umat Islam seluruh dunia meneruskan protes dan tunjuk perasaan terhadap filem 14 minit yang sehingga kini masih tidak dipadamkan dari YouTube.

Perihal saman Cindy, apakah betul dia tidak mengetahui kandungan filem tersebut? Bukankah setiap pelakon sepatutnya diberitahu mengenai skrip, jalan cerita, watak dan lain-lain sebelum dia bersetuju dengan kontrak @ perjanjian untuk berlakon. Atau, apakah tindakan saman Cindy adalah juga satu lakonan?

*AKHIR kalam, tidak tahan dengan bantahan umum, termasuk dari partinya sendiri, Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham memohon maaf dan bersedia menarik balik mesej yang dipaparkan melalui laman mikro Twitter.

Dalam Twitter Ngeh yang selalu kontroversi itu menganggap tindakan umat Islam mengadakan demonstrasi membantah filem menghina Islam sebagai membuang masa. Katanya kepada media, apa yang dinyatakan dalam mesej berkenaan hanyalah satu pandangan dalam konteks protes ganas seluruh dunia.

“Saya menarik balik dan meminta maaf,” katanya. Ngeh patut memahami sensitiviti orang Islam, jangan cakap ikut suka. Dia tentu tahu sebahagian pengundinya dalam PRU13 nanti adalah orang Islam. Ingat, sebab mulut badan boleh binasa!