Jet Anwar Ditaja
Antarapos – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menafikan memiliki jet peribadi seperti yang dilaporkan beberapa blog dan media tempatan.
Sebaliknya, Anwar berkata jet peribadi itu dipinjamkan rakannya untuk program beliau sempena Hari Malaysia.
Malah, Anwar turut mempelawa mana-mana pihak yang masih tidak berpuas hati dengan kenyataan beliau untuk menyemak rekod pemilik yang terdapat di Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA).
“Oleh kerana saya menghadapi masalah, saya dihubungi oleh seorang kawan untuk membenarkan saya menaiki jet itu.
“Beliau hanya seorang kawan bukannya penyokong PR dan beliau tidak berminat dengan mana-mana kontrak di negeri Selangor.
“Rekod siapa punya jet ada pada DCA,”katanya.
Anwar juga turut menyifatkan ia adalah satu percubaan Umno-BN memperbesarkan isu itu dan menakutkan ahli korporat lain untuk tidak membantu PR.
Gambar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama beberapa pemimpin Pakatan Rakyat dalam sebuah jet peribadi menjadi satu isu yang kini diperkatakan di internet.
Ketika beberapa blogger dan pemimpin Barisan Nasional mengkritik ‘gaya pengembaraan’ mereka, Anwar dan rakan-rakannya menegaskan bahawa tindakan menaiki jet peribadi itu bagi memudahkan perjalanan mereka ke Sarawak dan Sabah.
Gambar tersebut pada mulanya dimuat naik di laman Twitter, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua pada 15 September lalu dan di turut dimuat naik di beberapa laman blog selepas itu.
Selain Anwar dan Tian Chua, mereka yang turut dilihat berada dalam pesawat itu adalah Naib Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin, Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli dan Ketua PKR Terengganu, Abdul Rahman Yusof.
Beberapa blog blog turut mendakwa pesawat berkenaan didaftarkan atas nama bank Amerika Syarikat.
Dalam entri di blog novandri.blogspot.com mendakwa pemimpin pembangkang itu menuduh kerajaan Barisan Nasional membazir kerana sering menggambarkan diri mereka pandai berjimat cermat dan mengembara dengan menaiki syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia.
“Ramai penyokong telah tertarik, malangnya ini semua hanya satu lakonan.
“Cerita terbaru mengenai Anwar menaiki jet peribadi bersama-sama pemimpin PR sudah pasti akan meninggalkan kesan serta persepsi negatif daripada rakyat,” kata blogger tersebut.
Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, adalah satu ironis apabila pembangkang sering menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan kerajaan suka membazir, sedangkan mereka menaiki jet peribadi untuk pergi berkempen.
“Walaupun perkhidmatan tersebut dibayar oleh pihak tertentu, rakyat tetap ada hak untuk mengetahui sama ada ia dibiayai oleh pihak antarabangsa atau orang tempatan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang berkata: “Sekalipun ia hanya dipinjamkan, mereka harus sedar tiada makanan tengah hari percuma di dunia hari ini.”
Menjawab reaksi terhadap kritikan yang dilemparkan kepadanya, Anwar pada Sabtu menulis di laman Twitternya,: “Apa isunya? Seorang kawan telah merancang untuk memberi pinjam jet peribadinya.”
Sambil mempertahankan tindakan bapanya, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar turut menghantar tweet: “Apa isunya dengan perjalanan menaiki jet peribadi yang dipinjamkan oleh seorang rakan? Ia bukan kepunyaan kami, bukan dengan duit rakyat.”
Tian Chua berkata, mereka telah pergi ke beberapa tempat di Sabah dan Sarawak pada hujung minggu ketika cuti hari Malaysia.
Beliau menambah adalah lebih murah dan menjimatkan masa menyewa jet peribadi berbanding pesawat komersial.
Selepas Bas, Jet Peribadi Pula
No comments:
Post a Comment