Wednesday 26 September 2012

Amerika perlu tegas kekang penghinaan

BEGITU mengecewakan ucapan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Selasa lepas yang masih mahu mempertahankan kebebasan bersuara rakyatnya walaupun begitu jelas kebebasan tersebut telah disalah guna untuk menghina orang lain.
Walaupun Obama mengecam mereka yang menghasilkan keratan filem The Innocence of Muslims yang telah membangkitkan kemarahan umat Islam, tetapi kerajaan Amerika tidak akan mengambil tindakan kerana menghormati perlembagaan AS yang memberi kebebasan bersuara kepada rakyatnya.
Begitu jelas sekali ucapan Obama kali lebih ditumpukan kepada rakyat Amerika memandangkan beliau akan mempertahankan jawatan presiden pada pilihan raya November akan datang. Mitt Romney iaitu calon lawan dari Parti Republikan telah mengecam cara Obama menangani isu tersebut yang disifatkan sebagai lemah dan tunduk kepada dunia Islam.
Begitu berbeza sekali dengan ucapan Obama di Kaherah tiga tahun lepas yang menyeru semua negara Islam, termasuk Iran untuk memberi peluang kepada beliau memperbetulkan dan memperkukuhkan hubungan di antara satu sama lain melalui rundingan dan dialog. Tetapi hari ini Obama mengetepikan saranan beliau sendiri akibat tekanan pilihan raya.
Ucapan Obama dinilai bertentangan dengan hasrat dunia Islam yang mahu mengekangkan peristiwa penghinaan terhadap agama melalui mekanisme perundangan antarabangsa. Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) umpamanya telah lama memperjuangkan isu perundangan ini melalui Majlis Hak Asasi PBB tetapi sentiasa menerima tentangan daripada negara Barat.
Beberapa pemimpin negara Islam seperti Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Mesir, Mohamad Morsi dijangka akan menyentuh isu kebebasan bersuara dan akan mendesak penubuhan perundangan antarabangsa ini. Presiden Mahmud Ahmadinejad dari Iran telah pun menyentuh isu ini pada mesyuarat PBB sebelum bermula UNGA lagi.
Tidak ketinggalan juga Malaysia yang diketuai oleh Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman sudah pasti akan mengutarakan saranan dan pengalaman rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama menangani pandangan melampau.
Begitu menarik sekali untuk meneliti ucapan Anifah pada Sabtu ini bagaimana Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) boleh digunakan sebagai asas untuk mengekang pandangan yang mirip kepada penghinaan dan hasutan. Perlu dinyatakan bahawa GMM telah diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan mula diperkenalkan pada peringkat antarabangsa bermula melalui ucapan beliau pada UNGA 2010.
Adalah tidak adil apabila Obama cuba mengaitkan usaha untuk mengekang ucapan berbau hasutan sebagai alat untuk menindas golongan bertentangan pendapat atau minoriti. Tidak benar juga dengan persepsi bahawa AS tidak pernah mengenakan kekangan bersuara kepada rakyat mereka.
Tidak lama dahulu rakyat mereka yang pada ketika ini dikenali sebagai Afrika-Amerika dipanggil dengan perkataan bermula dengan huruf ‘N’ yang dianggap begitu jijik dan hina sekali. Tetapi pada hari ini perkataan ‘N’ tersebut dianggap sebagai pantang dan tidak digunakan lagi kerana perkataan itu mengaitkan sejarah hitam AS yang bergelumang dengan stigma perniagaan hamba abdi dari benua Afrika.
Rakyat Amerika menilai penggunaan perkataan ‘N’ itu adalah satu unsur penghinaan dan boleh menjatuhkan maruah sebagai seorang manusia. Tidak ada bezanya apabila terdapat segelintir rakyat Amerika yang menggunakan prinsip kebebasan bersuara untuk menghina Nabi Muhamad SAW dan agama Islam, ia juga secara langsung menghina seseorang yang menganut agama Islam.
Tidak keterlaluan jika diandaikan bahawa mereka yang menghina agama Islam sebenarnya menyimpan kebencian terhadap orang Islam sebagai manusia. Jika rakyat Amerika tidak tergamak menggunakan panggilan perkataan ‘N’ kerana ia bersifat penghinaan dan kebencian terhadap golongan Afrika-Amerika, sepatutnya landasan yang serupa digunakan kepada orang Islam.
Juga agak mengelirukan apabila Obama mengatakan AS tidak mempunyai undang-undang mengenai penghinaan dengan mengatakan: ‘‘Seperti saya, sebahagian besar rakyat Amerika menganut agama Kristian, tetapi kami tidak mengekang ucapan penghinaan terhadap kepercayaan kami.’’
Di Massachusetts dan Pennsylvania umpamanya, wujud undang-undang untuk menghalang perbuatan yang menjurus kepada penghinaan agama Kristian. Selain undang-undang anti penghinaan agama, terdapat peruntukan yang serupa tetapi berkaitan larangan penghinaan terhadap bendera AS. Texas umpamanya mempunyai perundangan yang melarang pemusnahan bendera AS untuk tujuan politik.
Menarik jika diteliti di sepanjang ucapan 30 minit Obama, beliau telah mendapat tepukan paling gemuruh ketika beliau mengungkapkan : ‘‘Sebagai presiden negara ini dan juga ketua turus angkatan tentera, saya menerima hakikat bahawa saya dipanggil dengan berbagai nama yang kurang enak dan saya akan mempertahankan hak mereka untuk berbuat demikian’’.
Tepukan gemuruh itu sebenarnya menggambarkan bagaimana luasnya jurang perbezaan pendapat mengenai hak kebebasan bersuara di antara Obama dan pemimpin negara lain yang hadir. Sudah pasti ucapan Obama di UNGA kali ke-67 ini terutama sekali mengenai hak kebebasan bersuara akan mendapat reaksi kritikal terutama sekali daripada pemimpin negara Islam dalam masa beberapa hari siri ucapan di PBB.
PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM

No comments:

Post a Comment