Ketika rakyat bersemangat menyambut Hari Merdeka ke-55, kita dikejutkan dengan beberapa insiden tidak sepatutnya. Pertama, Himpunan Janji Bersih, di Dataran Merdeka, 30 Ogos lalu. Kedua, individu mempamerkan bendera bagi menggantikan Jalur Gemilang.
Ketiga, insiden memijak gambar Perdana Menteri (PM). Keempat, insiden menunjukkan punggung ke atas gambar PM. Kesemua perbuatan tersebut, sengaja dizahirkan untuk menanamkan politik kebencian.
Pada saya, jika terlalu marah pun kepada PM, buatlah pada hari lain. Malah, jika tidak tahan kerana terlalu geram, mereka boleh rebus, bakar, pijak gambar PM di tempat tertutup, tidak siapa tahu. Kenapa perlu dilakukan untuk mencari publisiti murahan pada hari bersejarah ini? Apa tujuan sebenar? Kita sengaja mahu menyakitkan hati dan mencabar kewibawaan PM serta pihak berkuasa. Apabila dikenakan tindakan nanti, maka bercananglah ultra kiasu menunjukkan inilah hero.
Maka tidak hairanlah, pemimpin pembangkang, tidak dapat menerima hakikat ini. Kecuali pemimpin ultra kiasu Melayu, yang ghairah untuk ke Putrajaya sahaja berkata bahawa mengibarkan bendera Sang Saka Malaya tidak salah. Saya harap rakyat Malaysia, terutama yang beragama Islam, sedar betapa liciknya pengkhianat ini yang sanggup bersekongkol dengan ultra kiasu untuk menjahanamkan negara tercinta ini.
Ultra kiasu berhujah dan mencabar polis dengan berkata, sejak bila mengibar bendera selain dari bendera Malaysia satu kesalahan? Tunjukkan peruntukan Perlembagaan? Kenapa tarian punggung di rumah Ambiga tidak dikenakan tindakan? Begitu pemijakan gambar ketua ultra kiasu di Pulau Pinang? Sama dengan kes-kes rasuah yang tidak disiasat dan lain lagi.
Insiden ini berbeza dengan isu diperkatakan. Saya tidak hairan jika mereka memijak gambar ultra kiasu. Siapalah mereka jika dibandingkan dengan Perdana Menteri.
Perkataan ‘Perdana’ itu membawa makna begitu besar berbanding nama ultra kiasu yang hanya memimpin sebuah negeri. Begitu juga memimpin Majlis Peguam.
Persoalan saya, kenapa perlu kibarkan bendera Sang Saka Malaya?
Dalam peperangan, bendera adalah elemen utama. Menang atau kalah, benderalah menjadi tandanya. Bendera akan diangkat dan dipacak jika mencapai kemenangan. Bendera putih akan dinaikkan jika kalah sebagai tanda menyerah.
Ultra kiasu Cina sudah tentu amat maklum tentang perkara ini kerana dalam sejarah raja China, raja cukup sinonim dengan bendera. Perintah Raja adalah melalui bendera, selain cop mohor.
Begitu juga dalam Islam. Mari kita imbau peristiwa tragis Perang Muktah (nama kampung di Sham) yang terjadi pada Jamadilawal, 8 hijrah (629 Masihi). Dalam peperangan ini, tentera Islam seramai 3,000 orang berhadapan tentera musuh sejumlah 200,000 orang. Zaid bin Harithah dilantik Baginda Rasul sebagai panglima perang. Baginda menitipkan pesan, jika Zaid terbunuh, penggantinya adalah Jaafar bin Abi Talib. Jika Jaafar terbunuh, penggantinya adalah Abdullah bin Rawahah.
Ketika mahu bertolak ke medan perang, Rasulullah SAW menyerahkan bendera kepada Zaid. Zaid memegang bendera dan bertarung hebat sehingga gugur syahid. Lalu, Jaafar datang mengambil bendera, bagi memastikan kesinambungan perjuangan. Bendera tidak boleh tersungkur dalam peperangan kerana ia adalah pembakar semangat. Jaafar terus bertarung sehingga putus tangan kanannya. Bendera tetap dipegang, beralih ke tangan kirinya. Malangnya tangan kiri Jaafar juga putus, maka bendera dipeluk erat dengan lengan dan digigit kemas.
Ketika Jaafar terbunuh, melalui 90 tusukan lembing dan panah, bendera masih diangkat dan didaulatkan. Sehinggalah seorang tentera Rum mencantas tubuh Jaafar mengakibatkan terbelah dua. Lantas, bendera tadi dipegang oleh Abdullah bin Rawahah yang turut gugur syahid.
Dipendekkan cerita, ketangkasan panglima-panglima Islam menyelamatkan bendera yang sama tanpa ditukar membakar semangat dan memberi kemenangan kepada Islam dengan izin ALLAH SWT.
Namun, bendera bukanlah segala-galanya. Tidak ada gunanya kita terlalu berbangga dengan bendera, mengibarkannya di sana sini, tetapi dari segi pengamalan dan kerja seharian, kitalah perasuah, pengkhianat dan sebagainya.