Sunday, 23 September 2012

Apa tersirat di sebalik Twitter Ngeh Koo Ham


Zainal Salleh – Belum duduk sudah berlunjur. Belum berkuasa sepenuhnya sudah menunjukkan belang. Apa yang dikhuatiri oleh umat Islam Melayu akan Pakatan Rakyat kini sudah dapat dilihat pembayangnya berikutan peristiwa penyebaran filem “Innocence of Muslims” di alam siber.
Ketika umat Islam sedunia, termasuk di Malaysia, terguris oleh mesej filem ini, luka iman mereka terus dijirus oleh minyak dan api dek kecacatan watak “keMalaysiaan” seorang pemimpin pembangkang.
Meskipun Ahli Majlis Exco Pusat DAP, Datuk Ngeh Koo Ham sudah memohon maaf kepada umat Islam di Malaysia kerana mempertikaikan kebangkitan umat Islam mempertahankan kehormatan Rasulullah S.A.W, ia tetap memberi gambaran apakah nasib umat Melayu Islam jika Pakatan Rakyat (Pakatan) memerintah negara ini.
Pakatan Rakyat yang bangga dengan Buku Jingganya juga harus mewujudkan instrumen berkesan untuk menangani kelakuan dan keceluparan seperti yang dilakukan oleh pemimpin kanan parti kerabatnya.
Bukan sahaja pakatan pembangkang ini tiada sistem kekangan moral politik yang jelas untuk mendisiplinkan ahli parti kerabat masing-masing, malah keutamaan mereka sekarang ialah untuk memperluaskan konsep hak asasi manusia agar menjadi piagam Pakatan itu sendiri.
Ini kerana DAP terutamanya, yakin jika konsep hak kebebasan bersuara dan hak asasi manusia ini dianuti oleh majoriti pengundi di Malaysia, Pakatan pasti menang.
Sebab itu, agak malang bagi umat Melayu Islam apabila ada pemimpin PAS yang berpandangan bahawa komen atau perbuatan yang mempersoalkan cinta umat Islam pada Rasulullah S.A.W hanya luahan pendapat peribadi Ngeh Koo Ham.
Itu sebenarnya strategi DAP. Apabila baik PAS, dan lebih-lebih lagi PKR, nyaman dengan konsep hak asasi sebagai panduan politik mereka, mudahlah DAP menguasai pemikiran dan tindakan Pakatan Rakyat.
Ini amat berlainan dengan sistem iman umat Islam yang akur bahawa pemikiran dan kebebasan manusia ada batasannya. Sebab itu kalimah tauhid muslim mendahulukan Allah dan kemudian mencurahkan kepatuhan dan kecintaan pada RasulNya.
Ngeh Koo Ham melontarkan persoalan yang memperlekeh umat Islam bukan kerana beliau jahil mengenai adab dan emosi agama umat Melayu-Islam. Malah sebaliknya, beliau bertindak demikian kerana terlalu amat faham sikap dan budi pekerti mereka.
Beliau amat faham bahawa dengan ucapan minta maaf sahaja, semuanya akan kendur dan orang Melayu Islam akan melupakan keterlanjurannya itu.
Betapa tidaknya. Datuk Ngeh Koo Ham yang berumur 51 tahun dan lahir di Ayer Tawar, Perak adalah anak penoreh getah. Beliau beragama Kristian dan menggunakan nama James.
Koo Ham mendapat pendidikan awal di Methodist English School, Ayer Tawar dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan China Shyr Tien Ayer Tawar serta Anglo-Chinese School, Setiawan.
Beliau kemudian belajar undang-undang di Universiti Malaya dan berkhidmat dengan syarikat guaman Nga Hock Chen and Co. di Sitiawan sebelum menubuhkan syarikatnya sendiri, Ngeh and Co di Ayer Tawar dan kini mempunyai cawangan di Ipoh dan Kuala Lumpur.
Koo Ham mula menyertai pilihanraya umum sejak tahun 1990, Beliau, kalah tipis kepada Presiden Gerakan, Datuk Dr Lim Keng Yaik bagi merebut kerusi parlimen Beruas pada 1990.
Bagaimanapun, Koo Ham mula menjadi wakil rakyat bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kawasan Setiawan sejak 2004. Beliau juga adalah Ketua Pembangkang di DUN Perak hingga tahun 2008.
Pengalaman politiknya luas. Dia mengerti perlembagaan dan sensivitinya. Dia mengenali orang Islam dengan segala emosi dan budi pekertinya. Maka adalah mustahil beliau tidak terfikir bahawa tulisan Twitternya boleh menyinggung perasaan orang Islam.
Malangnya, ramai Melayu Islam hari ini sudah terbuai oleh kempen membenci orang Melayu-Islam sendiri. Kerja ini diketuai oleh Anwar Ibrahim. Yang jadi sasaran ialah pemimpin-pemimpin Melayu juga. Lantas agak sukar untuk mengajak orang Melayu Islam melihat implikasi Pakatan Rakyat jadi pemerintah di Malaysia terhadap orang Melayu-Islam.
Tindakan Koo Ham bukan yang pertama dilakukan oleh pemimpin DAP. Sebelum seorang lagi pemimpin DAP, M Manoharan mahu Jalur Gemilang ditukar serta mempertikaikan komitmen Datuk Lee Chong Wei di sukan Olimpik London.
Sebenarnya, terjahan seperti ini bertujuan mengukur bacaan suhu kefahaman politik orang Melayu-Islam.
Misinya ialah mahu tahu betapa tebal, akrab dan tingginya kasih orang Melayu-Islam akan ikon dan perlambangan nasionalisme dan patriotisme mereka. Nyata dengan bantuan Anwar serta Melayu PKR, patriotisme Malaysia tidaklah begitu tebal. Ucapan maaf boleh mereda dan menjinakkan mereka.
Sebab itu, keterlanjuran ini diulang berkali-kali. Bagi DAP kerabat Pakatan mereka, PAS masih dalam keadaan “keliru” kerana melihat politik dari perspektif Melayu dan pilihan raya sahaja.
Sebaliknya DAP mempunyai perancangan rapi untuk memenangi sayembara politik untuk berkuasa. Maka setiap kali melihat PAS terjaga dari buaian politik Melayu-Islam mereka, DAP akan meminta Anwar Ibrahim menjadi penimbang tara. Maka redalah kegelisahan PAS.
Lulus jarum lulus kelindan. Anwar tahu untuk berkuasa Umno dan BN mesti ditumbangkan. Anwar juga tahu untuk menang, beliau perlu mendapat sokongan bukan Melayu, pengundi Cina terutamanya.
Maka apabila ada isu yang sensitif seperti twitter Koo Ham, Anwar akan mendiamkan diri. Dia akan bersandar pada hujah bahawa itu adalah hak peribadi dan hak kebebasan bersuara individu.
Dengan sikap sedemikian, orang bukan Melayu akan memuji keterbukaan Anwar dan orang Melayu akan berasa silu kerana “terasa kolot” sebab kurang faham tuntutan hak asasi manusia.
Cuma bezanya kali ini, orang Melayu-Islam bangkit untuk menyatakan kecintaan mereka pada Rasulullah yang cuba dihina oleh pihak kafir sedangkan Anwar terus berselindung di sebalik konsep hak asasi.
Sejarah berulang. Namun bilakah orang Melayu Islam seperti pemimpin PAS dan Anwar Ibrahim sendiri mahu sedar bahawa kerana konsep Malaysian-Malaysia dahulu mereka kehilangan pulau Temasik kepada pemimpin politik yang mengasaskan DAP?
Semuanya belum terlambat. Jika PAS boleh bersabar komitmennya pada hukum Allah seperti hudud boleh dicabar secara terbuka oleh DAP, masihkah PAS mahu bersabar apabila Rasulullah dihina? Anwar Ibrahim pula bagaimana?

No comments:

Post a Comment