Demam Gangnam style
SANA sini orang ghairah memperkatakan perihal sensasi tarian Oppa Gangnam Style. Malah selepas menjaringkan gol dalam perlawanan futsal kelmarin, rakan di tepi padang meminta saya menari aksi kuda halimunan ciptaan Psy atau Park Jae-sang. Saya buat muka hairan. Malas nak layan.Bekas bos, Datuk Johan Jaafar mengaku menonton video muzik Gangnam ini lebih 20 kali. Saya mungkin tidak sampai tujuh kali, itu pun sebentar tadi perlu menonton semata-mata untuk kajian artikel ini. Saya percaya anda, walaupun sekadar memiliki akses Internet di Kafe Siber paling tidak pun pasti pernah menontonnya sekali.
Anda tentu terpesona walaupun tidak mengerti bahasa Korea (kecuali korus bahasa Inggeris: Sexy Lady) kerana rentaknya memang 'menangkap' dan tarian kuda halimunan Psy yang diistilahkan signature dance move (langkah tarian tulen) yang lawak untuk ditiru.
Fenomena luar biasa Oppa Gangnam Style ini dianggap menyamai sensasi tarian Moonwalk yang dipersembahkan pertama kali oleh Michael Jackson pada 25 Mac 1983. Ia adalah langkah tarian yang memberi gambaran penari ditarik ke belakang ketika cuba berjalan ke hadapan. Moonwalk diiktiraf sebagai teknik tarian paling dikenali di dunia.
Apakah tarian kuda halimunan ini bakal berada di takhta yang sama dengan Moonwalk? Ini memerlukan kajian sosio-budaya pop yang teliti. Harus diperingatkan sekali lagi terutama kepada generasi bawah usia 16 tahun hari ini, Gangnam bukan 'satu-satunya' trend muzik tarian yang meledak, merasuk ke seluruh dunia dari Korea ke Amerika dan Eropah, apatah lagi Malaysia yang memiliki ramai pencinta K-Pop. Seni muzik dan tarian itu sendiri sifatnya dinamik, sentiasa berubah-ubah mengikut persekitaran dan kemajuan semasa.
Generasi bawah usia 16 tahun tentu masih segar ingatan kepada kegilaan menari Shuffling. Tarian ini belum berkubur dan masih popular ke hari ini. Sementara tarian kuda halimunan Gangnam tiada sempadan usia peminatnya, tarian Shuffling ini mengecil skop kepada anda yang bukan setakat muda tetapi berkemampuan daripada segi stamina dan ringan kaki untuk melakukan gerak tari kaki, selain masih nampak cool mengenakan seluar jeans skinny.
Daripada konteks di atas, itulah perbezaan jelas mengapa Gangnam pantas merebak popularitinya dan dianggap 'sesuai untuk semua'. Penampilan Psy dengan pakaian sut kemas yang beliau sebut dress classy, dance cheezy (pakaian kemas, menari kelakar) adalah imej yang senang diterima oleh semua lapisan usia, budaya dan agama.
Selain itu, badan gempalnya menyebabkan Psy yang disifatkan suatu identiti anti-K-Pop kerana lazimnya artis K-Pop tampil dengan badan kurus dan hidung mancung. Penampilan Psy disifatkan gambaran sebenar rupa orang Korea, bukan artis K-Pop yang khabarnya sering ke klinik pembedahan plastik.
Selain Shuffling yang meletup tahun lalu dan Gangnam sejak Julai lalu, trend muzik tarian boleh dijejaki dari tahun 1960-an. Mengikut beberapa tulisan pengkaji, tarian Twist dipersetujui sebagai trend tarian muzik pertama di dunia.
l The Twist (1960-an)
Ia dikatakan berakar umbi dari tarian hamba abdi Afrika yang dibawa ke Amerika Syarikat dipanggil 'wringin' and twistin' pada 1890an. Pada 1960-an, seiring dengan ledakan budaya pop di Amerika iaitu menerusi muzik rock and roll, tarian Twist menjadi kegilaan ramai. Ini didorong oleh lagu The Twist dendangan Chubby Checker pada 1960 disusuli lagi dengan Let's Twist Again pada 1961.
Jika anda berusia bawah 16 tahun, sila ke Youtube dan taip "P Ramlee Bunyi Gitar'' iaitu dari filem 3 Abdul terbitan tahun 1964. Bukan P Ramlee mencipta tarian Twist. Tetapi sekadar contoh. Sambil P Ramlee menyanyi, saksikan aksi empat penari. Filem ini menjadi faktor Twist meletup di Malaysia ketika itu.
Satu lagi klip video wajib tonton ialah ''Malam Pesta Muda Mudi" nyanyian Saloma dari filem Nasib Do Re Mi terbitan 1966. Aksi Twist turut dipaparkan, terutama oleh watak 'Pak Maon' lakonan Mahmud June. Awas, berderai air mata anda ketawa nanti!
l Disco (1970-an)
Bermula di Philadelphia, genre ini disifatkan sebagai penentangan terhadap muzik rock and roll. Tarian ini paling diingati menerusi filem Saturday Night Live, dengan gerak tari John Travolta kekal sebagai ikonik sehingga ke hari ini.
l The Nutbush (1970-an)
Ditarikan bersama lagu Tina Turner berjudul 'Nutbush City Limits', merupakan tarian berbentuk barisan dengan gerak tangan dan kaki mengikut korus lagu.
l Breakdance (1980-an)
Ia melibatkan aksi tarian menyerupai atlet akrobat atau sarkas. Ia pernah diharamkan persembahannya di khalayak umum di negara ini ekoran banyak kes anak-anak muda yang mencuba tarian berpusing kepala patah tengkuk dan mati. Hari ini, tarian ini dikenali sebagai B-boying dan telah menjadi satu acara peraduan tarian antarabangsa yang mana dua pasukan akan berentap di atas pentas, memaparkan gerak tari yang tangkas dan bengis.
l Robot (1980-an)
Satu elemen dalam tarian Breakdance ialah Robot. Ia dipopularkan oleh Michael Jackson menerusi video Dancing Machine dan Billie Jean. Tidak lama dahulu, pemain bolasepak England, Peter Crouch mengembalikan populariti tarian itu semasa meraikan kejayaannya menjaringkan gol.
l The Cabbage Patch (1987)
Ia adalah tarian yang mana anda menggenggam penumbuk, tangan hampir ke dada dan digerakkan secara berpusing serta bahu digerakkan. Ia pertama kali diperkenalkan dalam filem The Cabbage Patch tahun 1987. Sering kali dipaparkan dalam filem masa kini untuk mengisahkan zaman 80-an.
l The Locomotion (1988)
Lagu ini agak istimewa kerana ia melangkaui tiga generasi penyanyi berbeza dan kesemuanya 'meletup'. Pertama kali ia dinyanyikan oleh Little Eva pada 1962, diikuti Grand Funk Railroad pada 1974 dan Kylie Minogue pada 1988.
Lirik lagunya sendiri memang mengisahkan tarian dan ia menjadi trend. Namun, ramai berpendapat lagu itu sendiri memiliki kekuatan berbanding tarian.
l Achy Breaky Heart (1992)
Ini juga adalah lagu tarian sebaris yang dianggap tarian koboi (country music) paling popular. Didasarkan dari lagu berjudul sama nyanyian Billy Ray Cyrus (bapa Miley Cyrus). Lazimnya penari memakai topi, jeans dan but koboi.
l Macarena (1995)
Macarena adalah lagu tarian berbahasa Sepanyol dendangan Los del Rio. Ia diiktiraf sebagai satu daripada lagu ikonik bagi dekad 1990-an. Lagu ini berada dalam carta Hot 100 selama 60 minggu, penguasaan terlama di kalangan lagu nombor satu (sebelum rekod itu dipecahkan 15 tahun kemudian oleh Adele dengan lagu Rolling In The Deep selama 65 minggu).
l Ketchup Song (2002)
Lagu berbahasa Sepanyol ini turut dikenali sebagai lagu ''I say le heh'' atau ejaan sebetulnya, Asereje dendangan kumpulan Las Ketchup.
No comments:
Post a Comment