Wednesday 26 September 2012

ISU-ISU AKHBAR CINA

MALAYSIA KEKURANGAN CERDIK PANDAI?

AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 19 September 2012 menyiarkan artikel mengenai kurangnya golongan cerdik pandai di Malaysia. Artikel bertajuk ‘Pelabur asing tidak jumpa cerdik pandai di Malaysia’ oleh pengarang akhbar berkenaan disiarkan dalam ruangan Pendapat Yuanlun halaman W3.
Pelabur asing tidak menjumpai orang cerdik pandai di Malaysia. Ini sungguh memeranjatkan dan tidak diduga langsung!
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pusat Kepimpinan dan Tadbir Urus (ICLIF), Rajeev Peshawaria semasa ditemu ramah oleh wartawan akhbar Nanyang berkata, beliau menyanjung Malaysia kerana ia terletak di lokasi dan mempunyai suasana yang terbaik di rantau ini.
Menurut beliau, negara ini juga tiada gempa bumi dan bencana alam seperti banjir teruk. Jika dilihat kemudahan infrastruktur sememangnya ia mengagumkan pelabur asing yang pertama kali menjejakkan kaki mereka di bumi Malaysia ini. Sebab itu, negara ini seperti syurga untuk pelabur asing. Tetapi selepas sanjungan tinggi yang diberikan itu tamat, beliau memberitahu, pihak pelabur tidak menjumpai kumpulan orang cerdik pandai di Malaysia.
“Saya anggap banyak sektor dalam negara ini memang kekurangan orang cerdik pandai. Boleh dikatakan setiap CEO yang saya jumpa semuanya berkata, cabaran paling besar bagi mereka adalah tidak menjumpai orang cerdik pandai yang sesuai untuk mereka," kata Rajeev.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan Malaysia mencontohi cara Singapura, Hong Kong, Australia, Amerika Syarikat (AS) dan negara Asia Barat menarik kumpulan orang cerdik pandai. Mereka menggunakan orang cerdik pandai dari luar negara untuk melatih orang cerdik pandai dalam negara mereka.
Laporan Bank Dunia sehingga 2010 menganggarkan seramai sejuta rakyat Malaysia bertaburan di seluruh dunia. Satu pertiga daripadanya ialah kumpulan cerdik pandai dalam teknologi yang memerlukan kemahiran tinggi. Orang cerdik pandai ini kebanyakannya tertumpu di Singapura, Australia, Brunei, AS dan England.
Di Singapura sahaja, sebanyak 54 peratus adalah kumpulan cerdik pandai dari Malaysia. Laporan itu menyatakan, kumpulan cerdik pandai lari ke luar negara disebabkan kekurangan peluang pekerjaan dan masa depan mereka yang kurang baik di sini.
Hal demikian juga disebabkan gaji terlalu murah yang diterima mereka dan ketidakadilan dalam masyarakat. Oleh kerana kita kehilangan banyak orang cerdik pandai, kekosongan jawatan dalam alam pekerjaan tidak dapat dipenuhi. Ini menyebabkan kualiti sumber manusia di negara ini semakin bertambah buruk dan melemahkan keupayaan negara untuk bersaing.
Laporan Persaingan Antarabangsa 2011/2012 jelas menunjukkan kedudukan Malaysia daripada ke-21 telah jatuh ke kedudukan ke-26. Bagi mengatasi masalah yang disebutkan, kerajaan telah mewujudkan Talent Corporation bagi menarik orang cerdik pandai yang berada di luar negara kembali berkhidmat di tanah air.
Mengikut analisis, rakyat Malaysia yang memilih bekerja di luar negara tiada kaitan dengan semangat cintakan ataupun tidak cintakan negara ini. Mereka berkhidmat di negara yang berpendapatan tinggi kerana mereka dapat pendapatan lebih tinggi daripada apa yang ada di negara ini. Pada masa sama, mereka dapat kembangkan kebolehan mereka di luar negara.
Jika kita kekurangan kumpulan cerdik pandai yang berkualiti tinggi, ia akan melambatkan usaha kita untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi.
Talent Corporation telah beroperasi pada Januari tahun ini dan setakat ini belum dapat mencapai sasaran ditetapkan untuk membawa kembali seramai mungkin golongan cerdik pandai.
Pihak kerajaan perlu mewujudkan pasaran bebas dan terbuka. Perbaiki sebarang penyelewengan dalam pentadbiran di semua peringkat jabatan dan kementerian.
Hapuskan kerenah birokrasi dan rasuah. Hapuskan polisi yang memberi pertimbangan berasaskan kaum. Ini penting untuk dibuat oleh kerajaan kerana kita mahukan golongan cerdik pandai dapat mengembangkan kebolehan dan kepakaran mereka di negara ini.
Bagi menarik lebih ramai orang cerdik pandai pulang ke tanah air, kerajaan sepatutnya melonggarkan syarat dalam memberikan status penduduk tetap dan kerakyatan untuk pasangan yang merupakan warga asing.
Selain itu, pihak kerajaan sepatutnya melaksanakan polisi sama-rata dan terbuka di institusi pengajian tinggi serta kolej bagi melahirkan kumpulan cerdik pandai yang akan menyumbang sumber tenaga secara berterusan kepada negara ini.
Melalui latihan, kita akan dapat meningkatkan kualiti orang ini dan akan dapat menampung keperluan sumber pasaran yang semakin berkembang.
Perdana Menteri bercita-cita mahu mengubah negara ini untuk menjadi sebuah negara maju dan ini hanya boleh dicapai sekiranya pihak kerajaan mengurangkan kerenah birokrasi dan memperkenalkan dasar yang bersifat terbuka.
MCA TOLAK CALON SUKA MELOBI
ISU pihak tertentu yang melobi untuk menjadi calon turut disentuh pengarang Nanyang Siang Pau dalam artikel bertarikh 20 September 2012. Artikel bertajuk “MCA perlu ada cerdik pandai" disiarkan dalam ruangan Pendapat Yuanlun halaman W3.
Wanita MCA Bahagian Gopeng di Perak dalam mesyuarat tergempar pada 14 September lalu telah meluluskan satu usul menentang calon ‘payung terjun’.
Mereka hanya menyokong pemimpin di bahagian itu sahaja dicalonkan bagi bertanding kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Dalam usul tersebut, semua pemimpin MCA di luar kawasan Gopeng, walaupun datangnya dari Perak dianggap sebagai calon payung terjun.
Kenapa MCA Bahagian Gopeng begitu risau? Dikhabarkan seorang pemimpin MCA Perak telah menyebarkan berita beliau akan menjadi calon bagi kerusi Parlimen Gopeng.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek pada 16 September lalu mengesahkan beliau menerima aduan berhubung perlakuan seorang timbalan menteri wanita daripada kalangan MCA yang melobi supaya dapat bertanding di kerusi Parlimen Gopeng.
Menteri Besar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang turut mengulas isu berkenaan berkata tindakan MCA Gopeng menentang calon payung terjun adalah satu emosi yang normal.
“Apabila pemimpin MCA dan BN telah tetapkan nama calon ini, Bahagian Gopeng perlu mengikut keputusan ini bagi kepentingan semua dan juga kepentingan parti dan negara," katanya.
Tambah Zambry, semua pihak perlu menerima calon yang telah dipilih hasil daripada perbincangan dan tidak sepatutnya berlaku perbuatan sabotaj.
Selepas tsunami politik pada 2008, BN telah kehilangan dua pertiga majoriti dan lebih buruk lagi MCA telah tersungkur ke dalam jurang dengan hanya menang di 15 kerusi Parlimen. PRU13 ini adalah penentu hidup atau mati bagi MCA yang telah banyak berjasa kepada masyarakat Cina sejak negara mencapai kemerdekaan.
Jika berlaku pergolakan mengenai soal calon sebelum bertanding, ini bermakna MCA telah tewas sebelum pergi berperang. Agenda MCA menentang kehadiran calon payung terjun memang selalu berlaku setiap kali PRU menjelang tiba.
Ahli MCA sering melaungkan lagu ‘Bersatu Adalah Kekuatan’ dan sesama ahli juga selalu menyebut perkataan ‘sahabat’, tetapi setiap kali tibanya PRU, akan berlaku pemisahan antara mereka.
Pemimpin yang tidak mendapat pencalonan di peringkat bahagian sendiri, mereka ini seperti anak tiri MCA, selama-lamanya mereka disisihkan. Keadaan tidak adil seperti ini telah lama berlaku. MCA sepatutnya mengambil perhatian serius dan memperbaiki keadaan ini.
MCA perlu faham. Bijak menggunakan orang pandai, pastinya MCA akan kembali gemilang untuk mengharungi masa depan.
Langkah mengambil cerdik pandai luar mungkin tidak boleh diamalkan selalu. Sebaliknya parti perlu bijak menggunakan ahli dan melayan mereka secara adil.
Langkah itu sudah pasti dapat mencungkil cerdik pandai daripada dalam parti. Kita yakin inilah cara yang paling berkesan untuk memperkukuhkan parti.
Apa yang disebut oleh Zambry bahawa tindakan bahagian mencalonkan wakil daripada bahagian sendiri adalah satu perkara yang normal, memang tidak boleh dinafikan.
Sama juga seperti pemimpin yang mahu dicalonkan untuk bertanding di bahagian lain, cara itu juga tidak boleh dianggap salah. Bagaimanapun, dalam berebut menjadi calon, ramai yang terlupa bahawa mereka perlu mendukung dan mempertahankan imej dan kehormatan parti.
Pada Selasa minggu lalu, Soi Lek membuat kenyataan bahawa mana-mana ahli atau pemimpin MCA yang mahu dicalonkan, perlu mendapat sokongan parti dan tidak menganggap mereka akan berjaya menjadi calon semata-mata dengan melobi.
MCA mahu mencapai kemenangan dalam pilihan raya. Matlamat itu pastinya semakin susah dan bertambah susah untuk dicapai sekiranya ada sebahagian orang yang cuba memperkotak-katikkan parti.

No comments:

Post a Comment