Menilai fakta sebenar isu Langat 2
KRISIS air di Selangor terus menjadi isu antara ahli politik apabila kerajaan negeri tetap tidak mahu meluluskan Perintah Pembangunan (DO) Projek Loji Rawatan Air Langat 2 selagi proses penstrukturan semula pengurusan air di negeri itu belum selesai.Kerajaan Pusat yang mengejar masa dan berharap dapat memulakan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 secepat mungkin pula telah mengeluarkan tender tawaran kerana menganggap pembinaan loji itu dan proses penstrukturan semula adalah dua isu berbeza.
Dengan bermacam fakta dan dakwaan disebarkan, rakyat menjadi semakin keliru tetapi terus berharap apa pun penyudahannya tidak akan menjejaskan kehidupan mereka kelak.
Untuk memahami isu ini, pengguna air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya perlu memahami sistem pengurusan industri air Selangor yang melibatkan tiga peringkat iaitu pengurusan sumber air mentah, loji rawatan air (LRA) dan sistem agihan.
Sumber air mentah melibatkan air sungai, empangan dan sebagainya adalah di bawah kuasa kerajaan negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).
LRA diuruskan pemegang konsesi operator rawatan air iaitu Konsortium Abass, Splash, Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd. dan lesen terbaru kepada Konsortium Air Selangor Sdn. Bhd. (KASB).
Sistem agihan air bersih kepada pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya pula diuruskan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas). Peringkat LRA dan sistem agihan turut dikawal selia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Mengikut maklumat terkini, Selangor mempunyai 34 LRA dengan Loji Sungai Labu yang terbaru siap. Daripada jumlah itu, hanya sembilan loji mempunyai kapasiti mengagihkan lebih 100 juta liter air sehari.
Lima loji rawatan air juga beroperasi melebihi kapasiti reka bentuknya termasuk dari tiga sungai sumber utama air mentah iaitu LRA Sungai Selangor, Sungai Semenyih dan Sungai Langat.
Jika salah satu daripada tiga loji utama itu mengalami kerosakan, terutamanya LRA Sungai Selangor yang membekalkan lebih 61 peratus sumber air negeri, maka ramai pengguna awam dan komersial akan terjejas.
Mengikut unjuran bekalan dan permintaan semasa di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, defisit rizab (tiada lebihan simpanan) air akan bermula seawal 2013 dan mula meruncing pada 2014 sebelum kemuncak krisis dijangka pada 2015 dan 2016.
Untuk mengelakkan masalah dalam masa terdekat, program mitigasi termasuk menaik taraf loji sedia ada serta mengurangkan pembaziran air telah dijalankan tetapi langkah itu dijangka hanya dapat menangguhkan krisis bekalan air yang teruk sehingga penghujung 2016.
Oleh kerana sebuah loji rawatan memerlukan sekitar 48 bulan (empat tahun) untuk siap dibina dan boleh memulakan operasi, pembinaan LRA Langat 2 cuba dimulakan secepat mungkin agar sempat disiapkan selewat-lewatnya 2016 iaitu sebelum krisis air dijangka paling teruk.
Malangnya, projek tersebut tidak akan diluluskan selagi kerajaan pusat tidak menyatakan persetujuan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan kerajaan negeri Selangor yang mahu mengambil alih sepenuhnya pengurusan Syabas.
Antara alasan yang diberikan kerajaan negeri Selangor kini adalah penstrukturan semula industri perkhidmatan air jalan terbaik untuk mengatasi masalah dan memastikan bekalan air bersih di Lembah Klang mencukupi.
Di pihak Kerajaan Pusat, isu pengurusan air diperakui langkah baik tetapi adalah proses jangka panjang dan berterusan. Pembinaan LRA Langat 2 pula dianggap isu segera yang berbeza serta perlu digerakkan secepat mungkin agar dapat memulakan operasi bagi mengejar tarikh akhir sebelum krisis air 2016.
Kerajaan negeri Selangor juga mendakwa air mencukupi tetapi pengurusannya sahaja yang tidak cekap dan gagal menurunkan pembaziran air. Langkah mengekang pembaziran air akibat kebocoran, kecurian dan masalah meter dikatakan dapat menambah bekalan sedia ada.
Namun, langkah ini memerlukan masa dan kos tinggi dengan jangkaan RM7.2 bilion untuk menurunkan pembaziran air kepada sekitar 20 peratus menjelang 2020. Langkah ini juga hanya menambah 510 juta liter air sehari iaitu cukup untuk kegunaan tiga tahun sahaja.
LRA Langat 2 (Fasa 1) pula dijangka dapat menyediakan 1,130 juta liter air sehari iaitu cukup untuk menampung keperluan di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.
Dakwaan berikutnya, sumber air dari tujuh empangan di Selangor yang semuanya penuh adalah mencukupi tetapi sebenarnya cuma mewakili 507,180 juta liter air yang cukup untuk kegunaan selama empat bulan sahaja.
Cadangan mahu menggunakan air lombong, tasik dan air bawah tanah sebagai sumber tambahan juga tidak sesuai memandangkan langkah ini memerlukan kos tambahan, melibatkan isipadu air yang kecil dan mengambil masa lama untuk tasik atau lombong penuh semula berbanding sungai yang mengalir secara berterusan.
Daripada 17 tasik dan lombong di Selangor, hanya 39,128 juta liter air dapat dikumpulkan dan semuanya akan habis digunakan dalam tempoh sembilan hari sahaja berdasarkan permintaan semasa. Ini bakal diburukkan lagi jika berlaku fenomena el Nino dan kemarau panjang kerana semua air lombong, tasik dan empangan tidak akan mencukupi.
Ada juga dakwaan air dari Tasik Kenyir lebih murah kosnya daripada air disalurkan dari Sungai Pahang. Namun, kos memasang saluran paip sahaja (lebih 500 kilometer melalui rizab saluran gas) dari Tasik Kenyir ke Langat dianggarkan RM11.3 bilion. Ini tidak termasuk kos pam dan operasi sedangkan kos projek Langat 2 termasuk loji rawatannya hanya RM6.2 bilion.
Terbaru, Lombong Emas Bukit Koman di Raub pula didakwa menyebabkan air mentah yang akan disalurkan dari Pahang ke Selangor tercemar. Hakikatnya, air dari Bukit Koman mengalir ke Sungai Liang, Sungai Sempam dan seterusnya ke Sungai Lipis ke arah utara.
Sumber air yang akan dihantar ke Selangor pula berada dalam kawasan tadahan berasingan dan bertentangan iaitu dari Sungai Bilut dan Sungai Kelau ke arah selatan.
Projek Langat 2 dan pakej air mentah dari Pahang dikatakan langkah paling ekonomik di samping dapat mengurangkan pergantungan kepada LRA Sungai Selangor dan mempelbagaikan sumber air negeri bagi menjamin bekalan air tidak terjejas kelak.
Akibat penangguhan projek Langat 2, masalah bekalan air tidak mencukupi didakwa mula berlaku lebih awal daripada jangkaan di beberapa kawasan di samping pergantungan kepada LRA Sungai Selangor, yang sudah melebihi kapasiti, juga semakin meningkat.
Lebih membimbangkan, rizab bekalan air sedia ada yang semakin tipis (sekitar dua peratus) sedangkan rizab sekitar 10 peratus diperlukan untuk mengelakkan masalah bekalan terutamanya dengan permintaan yang semakin meningkat saban hari.
Air tidak sepatutnya menjadi isu walau siapapun menjadi pemerintah di peringkat negeri dan persekutuan kerana ia akan menyulitkan kehidupan rakyat khususnya yang tinggal di rumah flat dan kondominium di samping untuk kegunaan komersial.
Isu ini juga dilihat lebih kritikal di Lembah Klang yang mempunyai kepadatan dan peningkatan penduduk yang tinggi di samping pelbagai projek komersial lain yang melibatkan pelabur luar dan dalam negara.
Kini, masalah air bukan sahaja memberi mesej dan gambaran buruk kepada rakyat malah menjejaskan nama negara di kalangan pelabur asing sedangkan Malaysia sebuah negara yang kaya dengan sumber air.
Rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya perlu lihat, fahami dan menilai sendiri isu ini dengan fakta yang tepat, bukannya omong kosong yang dilempar mana-mana individu yang mempunyai agenda peribadi.
No comments:
Post a Comment