Sunday, 23 September 2012

Apa Tujuan Kibarkan Bendera Sang Saka?


sang-saka
Azmi Anuar – Apa nak jadi dengan anak muda zaman sekarang?
Memijak bendera negara dan gambar pemimpin, mengibarkan bendera lain selain daripada Jalur Gemilang dan melondehkan seluar menunjukkan punggung ke arah gambar yang sudah dipijak-pijak ketika orang ramai meraikan sambutan Hari Merdeka baru-baru ini bukanlah perbuatan yang boleh dibanggakan walau apapun sebab dan alasan yang diberi.
Penjelasan tentang kenapa dua orang anak muda telah mengibarkan bendera Sang Saka pada malam kemerdekaan selain dari Jalur Gemilang mengundang pelbagai reaksi berbeza walaupun mereka sendiri merasakan bendera itu memang layak berkibar bersama-sama Jalur Gemilang.
Peristiwa ini menunjukkan betapa bendera negara merupakan suatu simbol yang boleh dan terus mencetuskan perdebatan yang masih hangat sesama kita. Jika difikir-fikirkan, apalah sangat yang ada pada sebidang kain yang ada beberapa warna, jalur berserta gambaran bulan dan bintang sehinggakan menimbulkan reaksi yang pelbagai.
Sehelai kain yang walaupun hanya mempunyai satu warna boleh dinobatkan sebagai simbol mewakili satu kelompok manusia. Lihat sahajalah paparan dalam filem-filem yang mempunyai babak-babak peperangan, tidak kira sama ada ceritanya berkisar pada kisah silam, terkini atau khayalan tentang masa hadapan sesebuah masyarakat.
Babak yang menunjukkan pertarungan di antara dua belah pihak pasti akan mempamerkan sehelai kain yang berkibar megah, penanda unik setiap kumpulan yang bertentangan tadi. Matlamat paling utama dalam pertarungan adalah menawan bendera lawan kerana kain sehelai itu adalah simbol yang mewakili sesebuah kumpulan.
Pada malam Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, bukankah bendera Union Jack diturunkan dan sebagai ganti bendera sebuah negara baru, dinaikkan? Simbolik dalam segala erti kata yang boleh difahami ramai.
Lambang baru untuk sebuah negara baru, bersemangat menyertai kumpulan negara-negara merdeka. Memang ada yang tidak bersetuju dengan tafsiran sejarah ini kerana negara baru itu tidaklah merdeka sepenuhnya daripada cengkaman penjajah British. Ketika itu anak merdeka tadi masih bertatih, terpaksa dipimpin tangannya kerana sering terjatuh dan terduduk.
Setelah 55 tahun berlalu, adakah anak tadi boleh dengan bangganya berdiri sama tinggi, dan duduk sama rendah dengan anak-anak lain yang telah merdeka di dunia? Persoalan yang amat subjektif dan jawapannya banyak bergantung kepada siapa soalan itu ditujukan.
Pembangunan sumber manusia
flag-montage
Sang Saka dikibarkan dibeberapa tempat di negeri Selangor.
Secara kasar mungkin anak tadi boleh berbangga dengan pencapaian fizikalnya tetapi dia perlu menimba lebih banyak ilmu untuk memperbaiki tahap pencapaian ilmiahnya. Ilmu di dada mungkin ada dan semakin bertambah tetapi adakah ia digunakan sebaik-baiknya untuk faedah semua atau untuk hanya segelintir yang terpilih.
Negara ini memang bertuah kerana mempunyai sumber alam semula jadi yang melimpah-ruah dan penduduk yang berbilang bangsa, kaum dan agama pula adalah aset yang tidak ternilai jika kita benar-benar menghargainya.
Setakat ini bangunan pencakar langit di kota-kota besar, lebuhraya yang bersimpang-siur dari utara ke selatan dan infrastruktur yang gah di segala pelusok rantau negara ini membuktikan Malaysia mampu mendabik dada daripada segi kejayaan pembangunan fizikalnya.
Adakah negara ini boleh berbangga dengan pencapaian sumber manusianya? Penduduk Malaysia yang akan mencecah hampir 30 juta nyawa dalam beberapa tahun lagi merangkumi pelbagai lapisan masyarakat.
Apa yang paling ketara ialah jurang perbezaan pendapatan yang masih besar sehingga ke hari ini di antara golongan berpendapatan rendah dan yang berpendatan tinggi. Pengagihan kekayaan ekonomi negara tidak dinikmati secara saksama malahan ada segelintir yang masih hidup merempat, kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.
Apabila tahap pendapatan hanya cukup untuk sesuap nasi setiap hari, adakah golongan ini berpeluang melepaskan diri daripada cengkaman kemiskinan tegar dan bagaimana caranya mereka boleh dibantu. Pelbagai skim bantuan seperti 1Azam belum boleh melenyapkan langsung kumpulan miskin tegar di negara ini.
Proses membantu golongan paling daif memerlukan kesabaran dan kesungguhan berterusan kerana hasilnya tidak mungkin dilihat sekelip mata dalam jangka waktu yang terdekat. Apa yang perlu ditekankan ialah jangan sekali-kali kita abaikan saudara senegara kita yang kurang bernasib baik ini.
Golongan berpendapatan rendah merangkumi juga kaum asal dan pribumi di Sabah dan Sarawak. Kebanyakan daripada mereka masih bergantung hidup pada hasil mahsul hutan belantara yang menjadi kawasan penempatan turun-temurun kumpulan ini. Acapkali hutan belantara yang menyimpan khazanah bernilai tinggi itu juga merupakan lubuk emas kepada kumpulan manusia lain di luar sana.
Mereka yang hanya berkiblatkan wang ringgit, tidak akan mengambilkira nasib penduduk yang bergantung hidup pada kawasan hutan yang semakin galak disalahguna seperti yang dapat dilihat menerusi kegiatan pembalakan haram. Apabila hutan, sumber hasil pendapatan golongan ini semakin pupus, kehidupan seharian mereka berubah daripada sebuah kumpulan masyarakat yang berupaya hidup berdikari kepada penduduk yang terpaksa meminta bantuan daripada pihak pemerintah untuk meneruskan hidup.
Segala rancangan yang diperkenalkan untuk membantu golongan berpendapatan rendah disokong dan dialu-alukan oleh semua yang prihatin tentang nasib mereka yang kurang bernasib baik dalam menjalani hidup di zaman penuh cabaran ini. Tidak ada yang akan membantah, menentang atau mempersoal segala usaha murni ini jika semua yang dijalankan telus dan ketirisan berjaya dibendung.
Ini baru menyentuh soal ekonomi iaitu pendapatan penduduk yang amat jauh berbeza di antara kumpulan teratas berbanding yang terbawah. Kita belum lagi menyentuh soal bangsa, bahasa dan agama. Kita juga tidak menyentuh tentang perbezaan yang masih wujud di antara dua bahagian negara ini yang dipisahkan oleh Laut Cina Selatan. Perbezaan, persepsi, pencapaian dan segala macam persoalan akan timbul apabila Sabah dan Sarawak turut menjadi topik perbualan tentang negara ini.
Sosialisme negara-negara Skandinavia
Mungkinkah ini sebenarnya tujuan anak muda mengibarkan bendera Sang Saka di samping Jalur Gemilang?
Tindakan mereka adalah peringatan bahawa apa yang kita lihat dan nikmati sekarang merupakan hasil pilihan generasi yang bertungkus-lumus memperjuangkan kemerdekaan negara dan berjaya memegang tampuk pemerintahan sekian lama. Pihak yang menandatangani perjanjian kemerdekaan telah mencorak dan membawa negara ini ke satu tahap kejayaan yang konkrit yang memang boleh dilihat di depan mata tanpa ragu-ragu.
Adakah keadaan akan berubah jika kumpulan lain yang membawa kemerdekaan iaitu kumpulan berbendarakan Sang Saka?
Mungkin ya, mungkin tidak. Mungkin jurang perbezaan pendapatan di kalangan rakyat tidak seketara sekarang.
Kalau fahaman sosialis yang diagung-agungkan, contoh hasil yang positif boleh dilihat dari negara-negara Eropah Barat yang mengamalkan fahaman sosialis berdemokrasi seperti negara-negara Skandinavia yang masyhur sebagai sekumpulan negara yang telah mencapai status negara maju, dengan pendapatan per kapita yang tinggi dan jurang perbezaan pendapatan yang kecil.
Kejayaan ini mungkin tercapai di sini tetapi sejarah telah menentukan pihak yang diberi kuasa pada tahun 1957 ialah kumpulan yang memerintah negara sehingga sekarang. Baik buruk, kepimpinan kumpulan ini, harus diterima dengan hati terbuka.
Jalan ke hadapan jika mahu mengubahnya bukanlah dengan mengibarkan bendera selain daripada Jalur Gemilang, memijak gambar pemimpin atau melondehkan seluar. Carilah jalan yang lebih praktikal. Satu idea yang bernas dan boleh dipraktikkan yang dapat memberi gambaran alternatif yang positif berbanding apa yang sedia wujud.
Bukan omong-omong kosong tetapi sesuatu yang lebih konkrit dan gunakanlah kertas undi untuk mencapai matlamat tersebut. Tindakan mereka di malam menyambut hari kemerdekaan hanya mengundang pandangan yang negatif dan membataskan peluang orang ramai melihat apa sebenarnya yang terbuku di hati golongan ini. Niat mereka mungkin murni tetapi matlamat tidak menghalalkan cara.

No comments:

Post a Comment