Sunday, 23 September 2012

Kenapa puak Anwarinas mendiamkan diri?

SEMALAM, ribuan umat Islam di ibu negara turun ke jalanan bagi membantah penerbitan filem 'Innocence of Muslims'.
Di Masjid Jamek Kampung Baru, Pergerakan Pemuda UMNO bersama-sama beberapa pertubuhan bukan kerajaan berkumpul menyuarakan bantahan manakala di Jalan Tun Razak pula berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat (AS), Dewan Pemuda Pas Pusat turut melakukan langkah yang sama.
Dalam soal bantahan ini, biar pun pada mulanya ada perancangan untuk dilakukan secara bergabung namun atas sebab-sebab tertentu ia dibatalkan namun misi dan matlamat tetap sama iaitu menunjukkan kepada dunia bahawa dalam soal berkaitan Islam, umat Islam di negara ini akan bersatu tanpa mengira fahaman politik.
Malahan pemimpin-pemimpin kedua-dua parti juga sepakat membidas kenyataan Naib Pengerusi DAP, Datuk Ngeh Koo Ham yang mempersoalkan bantahan umat Islam terhadap filem itu.
Apa yang paling mendapat perhatian apabila golongan ulama di dalam Pas turut lantang mengkritik tindakan Koo Ham.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak contohnya, menyifatkan kenyataan Koo Nam tidak wajar kerana beliau berada dalam masyarakat Islam.
''Sebagai sebuah parti politik dan memimpin sebuah pakatan, beliau sepatutnya memahami tentang sensiviti umat Islam. Ini adalah masalah berhubung kait dengan akidah dan kepercayaan umat Islam,'' tegas Azizan.
Turut menunjukkan ketegasan ialah Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed yang mahu Koo Ham memohon maaf kerana menganggap perkara yang dilakukan oleh Koo Ham itu amat mengguris hati, sekali gus membangkitkan kemarahan umat Islam kerana ia melibatkan kesucian Islam serta kemuliaan Rasulullah SAW.
Dalam masa sama, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula menyokong usaha untuk menggabungkan Pemuda UMNO dan Pemuda Pas dalam satu saf bagi melakukan bantahan terhadap penerbitan filem itu.
Namun begitu apa yang menjadi persoalan adalah mengenai sikap pemimpin-pemimpin yang dikategorikan golongan Anwarinas dalam Pas. Mereka diam seribu bahasa, langsung tidak mahu mengulas. Biar pun tindakan Koo Ham dianggap keterlaluan sehinggakan Dr.Mahfodz mahu pemimpin DAP itu memohon maaf tetapi bagi golongan Anwarinas kepentingan politik lebih diutamakan.
Mereka tidak mahu menegur Koo Ham kerana bimbang ia akan menyinggung perasaan DAP dan apabila DAP tersinggung maka idola mereka, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim juga akan terasa. Inilah hakikatnya.
Justeru biar pun, ada pemimpin di dalam parti mereka sendiri, membantah kenyataan Koo Ham namun puak-puak Anwarinas lebih rela mendiamkan diri. Mereka tidak mahu dilihat sehaluan dengan golongan ulama dalam mengecam keceluparan Koo Ham.
Hakikatnya, kita tidak perlu terkejut dengan sikap puak Anwarinas ini kerana itulah sikap mereka selama ini apabila timbul isu yang melibatkan pendirian atau kenyataan pemimpin DAP mahupun PKR.
Kita jangan lupa bagaimana tekanan yang diberikan oleh puak Anwarinas kepada golongan ulama dalam Majlis Syura Pas supaya bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa dipecat apabila beliau bercakap soal hudud dan mahu Pas mengkaji semula kedudukan dalam pakatan.
Tindakan mereka berdiam diri dalam isu Koo Ham ini tetapi 'melatah tentu hala' dalam isu Nasharudin sudah menampakkan dengan jelas 'kiblat politik' mereka.
Walaupun sebenarnya, sebagai sebuah parti yang melaungkan perjuangan Islam, kenyataan Koo Ham itu perlu dikecam tetapi puak Anwarinas 'tidak tergamak' melukakan hati pemimpin tersebut dan DAP jika mereka berbuat demikian.
Mereka lebih rela mendesak Pas memecat rakan seperjuangan sendiri demi menjaga hati sekutu politik mereka. Inilah sikap puak Anwarinas yang perlu disedari oleh penyokong-penyokong Pas.
Puak-puak ini seolah-olah tidak peduli jika kenyataan Koo Ham telah melukakan hati umat Islam atau sudah melepasi batas berpolitik, apa yang lebih mereka titik beratkan ialah hubungan politik dengan PKR dan DAP.
Kalau benar mereka senada dengan golongan ulama kenapakah mereka tidak mengecam atau sekurang-kurangnya menegur Koo Ham? Kenapakah mereka tidak membuat kenyataan lantang seperti mana mereka memberi peringatan kepada Nasharudin sebelum ini?
Apakah tindakan mempertahankan prinsip perjuangan Pas termasuk dalam soal hukum hudud dilihat lebih besar kesalahannya daripada tindakan mereka yang dilihat mempersoalkan protes umat Islam terhadap perbuatan menghina Rasulullah SAW?
Sepatutnya, sebagai pemimpin yang berada dalam saf kepimpinan Islam, puak-puak Anwarinas ini perlu sekata dengan golongan ulama tetapi apa yang kita lihat, mereka hanya mendiamkan diri dan inilah yang akan menjadi faktor kenapa Pas akan terus diperkotak-katikkan oleh PKR dan DAP.
Keadaan itu berlaku kerana puak Anwarinas sentiasa bersedia menjadi pelindung kepada keceluparan dan tindakan politik pemimpin-pemimpin PKR dan DAP demi memburu kuasa, kesudahannya yang rugi adalah Pas!

No comments:

Post a Comment