Wednesday, 12 September 2012

11 tahun dunia harungi impak 11 September

SEBELAS, angka yang tidak semena-mena menjadi popular ekoran disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, baru-baru ini, sebagai petunjuk terbaru tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Mulalah peramal dan penganalisis politik menjangkakan PRU-13 akan diadakan pada bulan November ini. Bulan November ini juga merupakan tarikh pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS). Ketika ini calon-calon Presiden AS sedang rancak berkempen untuk memastikan kemenangan masing-masing.
Mungkin disebabkan PRU-13 dan pilihan raya Presiden AS, ramai yang sudah melupakan tarikh 11 September 2001. Sebelas tahun ia sudah berlalu. Tragedi 11 September telah mengubah kehidupan manusia di pelosok dunia. Tragedi ini bukan sekadar digunakan untuk merasionalkan tindakan ketenteraan AS terhadap negara Afghanistan dan Iraq, tetapi implikasinya lebih besar sama sekali dari sudut ekonomi dunia.
Tragedi ini merupakan permulaan hilangnya keyakinan para pelabur dan negara-negara lain ke atas AS. Sampai ke hari ini, AS tidak dapat membuktikan bahawa adanya tindakan pengganas yang didalangi oleh penganut Islam. Permulaan pembohongan AS diikuti oleh pembohongan-pembohongan seterusnya oleh syarikat-syarikat korporat AS dan institusi perbankan AS. Masihkah kita ingat skandal Enron-Andersen yang terbongkar pada tahun yang sama tragedi 11 September? Ini diikuti oleh pembohongan gergasi korporat AS seperti World.Com.
Tatkala itu, bekas Presiden AS, George Bush terpaksa memberi pelbagai alasan bagi merasionalkan tindakan AS ke atas pengganas dan juga penyelewengan yang dilakukan oleh syarikat-syarikat korporat AS. Di saat-saat akhir George Bush bergelar Presiden AS, satu lagi skandal pembohongan yang terbongkar pada hujung tahun 2006. Kali ini lebih teruk lagi kerana ia menjejaskan ekonomi dunia sehinggakan ekonomi dunia setakat hari ini masih lagi belum pulih sepenuhnya.
Krisis yang dikenali sebagai krisis subprima telah menjatuhkan banyak institusi kewangan AS seperti Lehman Brothers dan syarikat insurans terbesar di dunia American International Group (AIG). Sikap tamak segelintir golongan yang berkuasa telah menyebabkan banyak pihak termasuk yang tidak bersalah diheret sekali dengan krisis subprima ini.
Malahan, bekas pengerusi Rezab Persekutuan AS, Alan Greenspan yang suatu ketika dahulu dipuja kerana kehebatan beliau mengubah ekonomi AS dan dunia ke tahap terbaik dalam sejarah ekonomi moden telah dipersalahkan atas dasar-dasar ekonomi beliau yang menyebabkan krisis subprima berlaku. Beliau telah bersara pada tahun 2006, selepas hampir dua puluh tahun memegang jawatan tertinggi dalam Rezab Persekutuan AS.
Disebabkan takrifan ekonomi dunia sudah berubah menjadi ekonomi global, tiada negara yang mampu terlepas daripada krisis subprima AS. Pada tahun 2010, benua Eropah pula menerima tempias kemelesatan ekonomi paling teruk dalam sejarah. Negara Greece secara teknikalnya muflis, manakala negara-negara Eropah yang lain seperti Sepanyol, Portugal dan Itali diambang kemuflisan. Puncanya sama seperti krisis subprima AS, iaitu amalan dan pengurusan hutang rakyat dan negara-negara tersebut yang tidak dikawal secara berhemah.
Kedua-dua krisis ini juga memberi kesan terhadap negara Jepun dan akhirnya Jepun terpaksa mengaku kalah ke atas negara China sebagai negara kedua ekonomi terbesar di dunia.
Buat seketika, ekonomi China menjadi tumpuan negara dan pelabur-pelabur asing. Kalau sebelum tahun 1990-an, perang dingin di antara AS dan Soviet Union telah diketahui ramai, kini perseteruan AS dan China terutamanya dari sudut ekonomi telah mengambil alih tempat perang dingin. Pada awal krisis subprima, ekonomi China mengalami peningkatan berganda, namun, terbaru, adanya tanda-tanda ekonomi China telah mula terkena tempias krisis kewangan dunia. Inilah dikatakan sebagai ekonomi moden, global dan tiada sempadan.
Malaysia pada awal krisis subprima juga telah diheret dan mengalami kemelesetan ekonomi. Tindakan cepat kerajaan Malaysia ketika itu dengan mengumumkan pakej rangsangan telah mengurangkan kesan krisis kewangan dunia ke atas ekonomi negara. Tahun lalu dan enam bulan pertama tahun ini Malaysia telah mengalami pertumbuhan ekonomi yang baik di sebalik ekonomi global yang tidak menentu.
Ekonomi dunia dijangka masih 'bergelora' sehingga tahun hadapan apabila sistem perbankan China mengalami tekanan ekoran ekonomi yang lemah menyebabkan ramai peminjam tidak mampu membayar kembali hutang. Pada masa yang sama pihak berkuasa perbankan China mengkehendaki institusi-institusi perbankan China mempunyai nisbah minimum kecukupan modal pada tahap 11.5 peratus.
Kalau dikaji secara mendalam punca kemelesetan ekonomi yang sebenarnya bermula 11 tahun yang lalu disebabkan oleh pembohongan demi pembohongan di kalangan pemimpin AS, syarikat-syarikat korporat dan institusi kewangannya. Pembohongan ini menyebabkan politik dan ekonomi dunia semakin hari semakin tidak menentu termasuklah negara-negara Asia Barat seperti Yemen, Mesir dan Syria.
Disebabkan pembohongan ini, calon Presiden AS, Barack Obama berjanji melakukan perubahan besar terhadap ekonomi AS. Tidak terkecuali, di Malaysia ahli-ahli politik menabur pelbagai janji bagi menghadapi PRU-13. Sewajarnya, segala janji ini disusuli dengan keyakinan dan kepercayaan tinggi rakyat dan para pelabur terhadap ahli-ahli politik yang menabur janji sebagai mengambil iktibar tragedi 11 September yang berlaku sebelas tahun yang lalu.

No comments:

Post a Comment