Sunday 23 September 2012

'Retorik 16 September' 2.0

TARIKH 16 September 2012 berlalu dengan semangat dan komitmen baru kalangan pemimpin Malaysia untuk meneguh 'semangat 16 September 1963' yang menjadi teras aspirasi pimpinan negara terdahulu.
Sambutan yang disempurnakan di Bintulu, Sarawak berlangsung dengan sangat meriah, dihadiri oleh ribuan rakyat yang mahu sama-sama meraikan Hari Malaysia dengan semangat yang tinggi dan utuh.
Mungkin ramai juga rakyat yang terhimbau dengan sejarah beberapa tahun lalu, sekitar Mac-September 2008, di mana kuatnya ura-ura Malaysia akan menyaksikan perubahan kepimpinan secara 'jual beli'. Tanpa berselindung, cubaan demi cubaan dilakukan untuk membolehkan satu perubahan politik dilakukan melalui jalan belakang. Sememangnya pada tempoh yang tidak menentu itu, gegak gempita bunyinya bahawa Malaysia akan menyaksikan perubahan politik yang sangat besar.
Dek kerana terlalu percaya dengan kekuatan dan karisma peribadi, tampil seorang individu yang amat yakin bahawa dia bakal mendapat mandat dan kepercayaan kalangan Ahli Dewan Rakyat untuk menukar kerajaan. Ramai juga yang mula risau bahawa akan berlaku suasana politik yang tidak menentu. Mandat rakyat sudah bertukar menjadi 'komoditi politik' yang mahu ditukar tangan di atas pentas jual beli pengaruh yang disediakan oleh individu terbabit.
Seorang ulama, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga pernah berkata dan mempertahankan pandangan bahawa pertukaran kerajaan bukan sekadar gimik politik.
"Usaha ke arah membentuk kerajaan baru pada 16 September dengan diketuai Parti Keadilan Rakyat tidak boleh disifatkan sebagai angan-angan Mat Jenin.
"Ini kerana istilah angan-angan Mat Jenin itu tidak ada pada orang politik," katanya ketika ditemui pemberita selepas perasmian sambutan ulang ke-18 Tabung Serambi Mekah sekitar 2008.
Malangnya, plot ceritera politik tidak berlaku seperti yang diharapkan. Proses jual beli tidak dapat dilaksanakan seperti yang diharapkan. Akhirnya, kerajaan yang ada kekal memimpin Malaysia sehingga menjelangnya tarikh 16 September 2012.
Mungkin benar kata Tuan Guru, tidak ada istilah angan-angan Mat Jenin dalam politik - namun apakah matlamat boleh menghalalkan cara, semata-mata mahu mendapatkan tampuk kuasa?
Retorik 2.0
Tarikh 16 September 2012 tidak berlalu begitu sahaja. Ternampak jelas, kumpulan tertentu bersedia untuk memberikan 'tawaran politik baru' kepada warga Sabah dan Sarawak. Tanpa berlengah, kumpulan yang dikepalai individu sama yang menjanjikan pertukaran kuasa 16 September 2008, sudah bersedia dengan isu-isu pokok yang dirasakan mampu menarik perhatian rakyat Sabah dan Sarawak.
Apa yang dipanggil sebagai 'Deklarasi Kuching' mengetengahkan beberapa 'tawaran politik' yang boleh dihadiahkan kepada rakyat Sabah dan Sarawak. Selari dengan niat mendapatkan setinggi mungkin peratusan undi - sejumlah tujuh tajuk utama diangkat sebagai komitmen kepada deklarasi:
Kerjasama bersekutu;
Perwakilan yang adil;
Kewarganegaraan;
Pengiktirafan hak ke atas tanah adat;
Kecekapan dan Kemandirian Sabah dan Sarawak;
Keadilan dalam isu minyak;
Pembangunan sekata;
Mungkin ramai daripada kita yang tidak sedar, kira-kira 12 hari sebelum tarikh 16 September, Pas Sarawak melancarkan cadangan dan tawaran politik mereka sendiri. Dengan tema ''12 Tawaran Pas Sarawak: Membangun Sarawak Yang Maju dan Berkebajikan' untuk 'menakluki' Sarawak menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Pas dengan yakin dan menganggap tawaran ini akan mampu 'menakluk' Sarawak dalam PRU yang akan datang.
Antara perkara yang akan 'dijayakan' oleh Pas di Sarawak adalah - menubuhkan Suruhanjaya Diraja Untuk Reformasi Tanah NCR Sarawak; kemiskinan sifar tanpa mengira kaum; Lebuh Raya Pan-Borneo sebagai lebuh raya terbaik; SCORE sebagai hab teknologi hijau berinovatif; Sarawak sebagai agropolitan pengeluar makanan utama malaysia; jalan raya, bekalan elektrik dan air bersih untuk semua; capaian sistem pendidikan yang berkualiti untuk semua; meningkatkan royalti hasil petroleum Sarawak kepada 20 peratus; Tabung Warisan Petroleum Anak Sarawak; tawaran khas untuk golongan wanita dan tawaran khas untuk golongan muda.
Sekali imbas, kita dapat melihat Pas mempunyai cita-cita jauh lebih besar berbanding PKR dan DAP di Sarawak. Soalnya, apakah Pas akan dibenarkan untuk tampil lebih yakin dan bertanding di kawasan Parlimen yang lebih banyak pada PRU kali ini?
Berdasarkan 'trend' PRU yang lepas, Pas hanya bertanding di satu kawasan Parlimen di Sarawak. Apakah wajar, untuk sebuah parti politik yang hanya bertanding satu kawasan Parlimen untuk mengungkapkan pelbagai 'tawaran' kepada rakyat Sarawak?
Mungkin sahaja rakyat Sarawak boleh bertanya - di antara 'Deklarasi Kuching' dan '12 Tawaran Pas Sarawak'; mana satu yang diangkat sebagai prioriti? Apakah kepimpinan Pas tidak pernah risau jika rakyat Sarawak bertanya; apakah yang telah lakukan di Kelantan dan Kedah selama ini?
Hakikatnya, untuk melambakkan 'janji' tanpa mempunyai sandaran politik yang bersesuaian adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab. Apakah DAP Sarawak boleh mengakui dan menerima '12 Tawaran' Pas ini sebagai manifesto bersama dalam pakatan politik mereka?
Apakah DAP akan memberikan ruang lebih besar kepada Pas untuk bertapak dan menjadi lebih relevan dalam masa terdekat ini? Apakah DAP Sarawak sanggup menjaja '12 Tawaran' Pas ini ke seluruh Sarawak sebagai tanda kesepakatan politik?
Ternampak jelas, ada petanda yang nyata bahawa tiada 'kesepakatan' dalam pada mereka menabur janji dan memperkasa retorik politik. Semua ini wajar dilihat oleh rakyat, bukan sahaja di Sarawak dan Sabah, malahan seluruh Malaysia - bahawa intonasi, gaya bahasa, komitmen dan iltizam politik apa yang dikatakan 'pakatan' ini semakin menjurang dan tidak boleh disorokkan dengan 'ayat-ayat politik' yang manis.
Rakyat wajar menggunakan tempoh masa menjelang PRU yang akan datang ini untuk melihat 'kejujuran dan keikhlasan' parti politik dalam memberikan janji dan tawaran politik.
Sebarang janji, tawaran, komitmen - mestilah disesuaikan dengan keterlibatan sesebuah parti di dalam politik arus perdana negeri dan kawasan terbabit. Untuk menjanjikan 'bulan dan bintang', sedangkan hanya bertanding di satu kawasan adalah satu 'penghinaan' kepada hikmah dan kebijaksanaan politik rakyat di Sarawak.
Cukup jelas, apa yang dipersembahkan kepada rakyat adalah janji dan omong kosong - tanpa sebarang iltizam pelaksanaan yang bersungguh. Jika manifesto pilihan raya 2008 pun tidak pernah dianggap sebagai 'janji'; di mana agaknya taraf sebuah 'deklarasi' longgar dan penuh retorik?

No comments:

Post a Comment