Akta Patriotik: Hukum pencabul kedaulatan negara
APA perasaan anda apabila gambar anda dipijak hingga lumat dan bendera negara kesayangan anda ditukar warna dan reka bentuknya?Sudah tentu orang yang waras akan marah. Tambahan yang memijak gambar berkenaan terdiri dalam kalangan anak-anak remaja dan orang berumur yang sudah tentu mempunyai akal dan fikiran yang rasional.
Apakah dosa pemimpin negara, hingga tiga hari lalu pada sambutan malam menjelang kemerdekaan ada sekelompok manusia yang entah apa usul fikirannya tergamak memijak gambar pemimpin negara dan mengibar bendera entah mewakili negara apa. Ada juga yang menayangkan punggung terhadap gambar pemimpin nombor satu negara itu.
Kebiadapan yang berlaku pada malam tersebut bukannya kali pertama, jika dibuka rekod pijak-memijak gambar ia merupakan budaya dalam parti pembangkang.
Pemimpin DAP, Lim Guan Eng pernah juga memijak gambar tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang masuk menyokong Barisan Nasional (BN) di Perak hingga pakatan pembangkang yang dipimpin oleh Datuk Seri Nizar Jamaluddin terpaksa bersidang di bawah pokok akibat hilang majoriti di Dewan Undangan Negeri Perak.
Inilah bahana apabila pemimpin terlalu asyik berpolitik sehingga tanggungjawab menjaga rakyat dan kebajikan pemimpin dalam parti diketepikan.
Sudah sampai masanya kebiadapan manusia yang kononnya memperjuangkan agenda Bersih untuk mendapat pilihan raya yang adil dibanteras kerana ia jelas menidakkan hak majoriti rakyat untuk merayakan kemerdekaan dalam suasana yang aman dan harmoni.
Mengapa kita terus-terusan mencipta kemelut dalam negara yang bukannya milik seorang pemimpin sahaja yang kononnya dianiayai oleh pemimpin-pemimpin lain.
Adakah kita tidak menganiayai pemimpin lain semasa kita berada di tampuk kuasa? Jangan sampai sejarah menghakimi kita hingga jasa menjadi binasa.
Menjadi pemimpin bukan untuk diri sendiri tetapi untuk rakyat jelata. Memperjudikan keamanan dengan meracuni pemikiran generasi Y bukanlah penyelesaian untuk memacu negara kita ke persada dunia tetapi ke persada neraka sebagaimana yang berlaku di negara luar yang bergolak pada hari ini.
Pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 dan wujudnya Akta Perhimpunan Aman 2012 seharusnya diraikan dengan lebih menghormati kepimpinan negara yang ada.
Namun tindakan menghina Jalur Gemilang dengan mengibar bendera yang entah mewakili bendera negara mana jelas menunjukkan kita kufur dengan nikmat hidup di negara Malaysia yang mempunyai panjinya yang tersendiri.
Jika kita rajin ke luar negara, sekali sekala pergilah negara yang masih membangun seperti Nepal mahupun Bangladesh. Bukan niat memperlekehkan negara tersebut, jika kita bertanyakan kepada pekerja dari kedua-dua negara itu, ada yang berkata, Malaysia adalah syurga kepada mereka.
Mereka juga pelik dengan sikap anak muda kita yang dilihat berlebih-lebihan dalam menyambut kemerdekaan hingga sanggup mengguris hati pemimpin dan rakyat negara ini.
Amat malang jika pemikiran anak muda terus dikuasai oleh kandungan blog dan laman sosial yang negatif, tumbuh bak cendawan selepas hujan. Lebih malang, cendawan yang tumbuh adalah kulat sosial yang beracun dan jika termakan akan menyebabkan kematian minda yang tiada penawarnya.
Mengapa kita terus meracuni golongan muda dengan fitnah dan tuduhan melulu bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah sebuah kerajaan yang tidak betul dari segala segi sedangkan inilah kerajaan yang memerintah negara ini hingga bertahan selama 55 tahun.
Adakah menukar kerajaan dan menukar sistem pilihan raya mampu mengubah negara ini menjadi lebih baik dari sekarang?
Sepatutnya sebagai pemimpin yang telah berusia, anak-anak muda perlu diwariskan dengan negara yang kuat dan maju dari segala segi. Namun teknologi yang ada digunakan untuk merosakkan pemikiran remaja hingga tergamak mempamerkan punggung mereka kepada orang ramai.
Berpijaklah di bumi yang nyata jika sesebuah kerajaan dimenangi semasa pilihan raya umum dengan kebencian maka kebencianlah yang akan tumbuh selama-lamanya.
Justeru, penubuhan Akta Patriotik (bukan Akta Patriot Amerika Syarikat) perlu disegerakan sebelum kebiadapan ini menjadi kemalangan mahupun kemusnahan kepada individu terbabit.
Kepada anak-anak muda negara ini lahir dari kasih sayang antara kita, jangan mengotorkan bumi Malaysia ini dengan kelakuan di luar batas norma-norma ketimuran.
Turunkan bendera kebencian selama-lamanya. Akta Patriotik sememangnya amat didambakan ketika ini. Inilah masa sebenar (moment of truth) untuk bertindak.
No comments:
Post a Comment