Sunday 23 September 2012

Mampukah Pas perjuang nasib Melayu?

BUAT kali kedua pada 6 September lalu, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam tulisannya menyeru orang Melayu menyokong Pas.
Di bawah tajuk 'Melayu wajib kuatkan Pas dalam Pakatan Rakyat' Abdul Hadi memberikan justifikasinya kenapa orang Melayu perlu memilih Pas bagi menggantikan UMNO.
Ini merupakan tulisan kedua beliau dalam meraih simpati orang Melayu untuk menyokong parti itu, kali pertama ialah pada awal April lalu dalam tulisan bertajuk 'Surat terbuka untuk pejuang Melayu'.
Antara tulisan pertama dan kedua tiada bezanya, Abdul Hadi yang semakin memahami bahawa Pas semakin terdesak untuk meraih sokongan orang Melayu, cuba memaparkan kononnya Islam yang dilaksanakan oleh UMNO dilakukan secara terpilih demi kepentingan duniawi.
Presiden Pas itu cuba menggambarkan bahawa jika Pas diberi peluang untuk menggantikan UMNO maka mereka akan berupaya membawa pelaksanaan Islam yang cemerlang.
Walaupun pelaksanaan Islam yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan UMNO menjadi tonggak utamanya mendapat pujian masyarakat dunia termasuk alim ulama namun Abdul Hadi seolah-olah tidak mahu mengiktirafkannya.
Beliau masih tetap cuba menggambarkan bahawa Pas yang kini bersekongkol dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP kononnya berupaya melaksanakan Islam dengan cemerlang.
Itulah mimpi Pas dan demikianlah impian Abdul Hadi. Tetapi semua orang tahu sejauh manakah kemampuan Pas untuk menggantikan UMNO dan sehebat mana keberanian pemimpin Pas untuk bercakap soal Islam dalam pakatan pembangkang.
Kenyataan Abdul Hadi yang cuba memberi gambaran bahawa Islam di bawah UMNO tidak akan ke mana hanyalah hujah politik terdesak Pas untuk meyakinkan orang Melayu menyokong mereka.
Ia kerana Abdul Hadi masih belum mahu mengaku secara jujur dan ikhlas bahawa Pas bukanlah parti dominan dalam pakatan pembangkang, Pas tidak akan berupaya memperjuangkan Islam selagi mereka berada dalam pakatan berkenaan.
Oleh itu mana mungkin orang Melayu akan mudah terpengaruh dengan Abdul Hadi bahawa mereka wajib menyokong Pas. Apatah lagi tindak tanduk Pas sejak berada dalam pakatan pembangkang lebih banyak merugikan orang Melayu.
Kita ingin bertanya, apa kata pemimpin Pas apabila pemimpin-pemimpin PKR bercakap kesamarataan semua kaum? Di mana keberanian Pas untuk memperjuangkan Islam apabila DAP secara tegas dan konsisten menolak hukum hudud?
Kenapa Pas tidak bersuara apabila ada pemimpin DAP menuduh UMNO adalah parti perkauman apabila bercakap soal memperjuangkan nasib orang Melayu? Paling klasik kita ingin tahu kalau benar Pas mampu memperjuangkan Islam jauh lebih baik daripada UMNO dan istiqamah dalam soal itu kenapakah menukar arah tuju perjuangan daripada negara Islam kepada negara berkebajikan?
Abdul Hadi dan Pas boleh berkata apa sahaja terhadap UMNO apabila parti itu bercakap soal survival orang Melayu tetapi mereka tidak boleh menafikan bahawa orang Melayu dan umat Islam berada pada tahap sekarang dengan menikmati pelbagai kemajuan dan kesejahteraan melalui perjuangan UMNO.
Kalau mahu mengharapkan kepada Pas, lihat sahaja apa berlaku kepada perkembangan Islam di Kelantan, ia sekadar menjadi slogan, pelaksanaannya bagaikan lepas batuk di tangga sahaja. Begitu juga masalah orang Melayu Kelantan, sampai sekarang biar pun sudah hampir 22 tahun memerintah, kerajaan Pas Kelantan hendak bekalkan air bersih pun susah.
Tindakan
Ini belum lagi mengambil kira nasib orang Melayu yang berada di bawah negeri-negeri pakatan pembangkang yang Pas tumpang sekaki memerintah.
Apakah negeri-negeri berkenaan nasib orang Melayu jauh lebih baik berbanding negeri-negeri di bawah BN? Adakah demi menghormati Pas, soal Islam menjadi perkiraan utama PKR dan DAP dalam melaksanakan pentadbiran atau tindakan? Jawapannya tidak!
"Tiada maknanya Abdul Hadi merayu orang Melayu kuatkan Pas kerana parti itu telah mengecewakan orang Melayu sejak menyertai pakatan.
"Pas lebih utamakan kerusi daripada menjaga maruah orang Melayu dan kedudukan Islam, oleh itu untuk apa orang Melayu hendak perkuatkan Pas," tanya Prof.Datuk Mohamed Mustafa Ishak ketika dihubungi.
Malah Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara itu menegaskan, Abdul Hadi perlu memperbetulkan Pas dan Pakatan Rakyat terlebih dahulu sebelum meminta simpati orang Melayu.
Sememangnya Abdul Hadi perlu sedar bahawa sebahagian besar orang Melayu tidak mempunyai keyakinan terhadap Pas untuk memperjuangkan nasib mereka apatah lagi Islam.
Selagi Pas berada dalam pakatan pembangkang, selagi itulah perjuangan Pas tidak akan mampu memberi jaminan bahawa mereka berupaya membawa kesejahteraan kepada orang Melayu dan mendaulatkan Islam.
Ia memandangkan dalam pilihan raya parti itu bertanding jumlah kerusi yang bukan sahaja jauh lebih kurang berbanding UMNO tetapi juga PKR dan DAP.
Justeru mana mungkin Pas hendak menjadi tonggak menggantikan UMNO dalam membela nasib orang Melayu dan memperjuangkan Islam sebagai addin.
Sebab itulah ketika diminta mengulas perkara ini penganalisis politik, Ahmad Masrizal melontarkan persoalan apakah jaminan Pas akan kuat dalam pakatan kalau orang Melayu menyokong mereka.
"Jika diteliti kepada senario semasa dan cara parti ini menangani isu-isu strategik seperti penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, isu penjualan arak di Selangor, isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT), isu murtad dan seumpamanya, ternyata Pas tidak konsisten dan terumbang-ambing dalam membuat keputusan," katanya.
Oleh itu Ahmad Masrizal menganggap kenyataan Abdul Hadi tersebut menampakkan bahawa Pas sudah ketandusan idea untuk mencari penyelesaian terhadap kedudukannya dalam pakatan.
"Kenyataan ini juga pada pendapat saya merupakan strategi pintas yang cuba dilakukan atas dasar survival parti mereka dan ia bukan tulen untuk mengajak rakyat bagi meneruskan legasi Pas yang dibina suatu masa dahulu," katanya.
Atas sebab itulah orang Melayu tidak harus mudah terpengaruh dengan sentimen agama yang cuba dimainkan oleh Abdul Hadi kerana Pas sekarang bukannya Pas tulen yang memperjuangkan Islam sebagai landasan perjuangannya.
Islam sekadar menjadi slogan dan modal kepada Pas untuk meraih undi kerana semua orang Melayu tahu selagi Pas berada dalam pakatan, perjuangan Islamnya tidak akan ke mana.
Apatah lagi pada masa ini Pas bukannya seratus peratus dikuasai oleh ulama sebalikya sudah diresapi oleh elemen lain atau dalam kata mudah puak Anwarinas yang dilihat mempunyai cengkaman politik cukup hebat dalam parti itu.
Selagi puak ini masih ada selagi itulah perjuangan Islam Pas tidak akan ke mana, ini memandangkan puak berkenaan sering sahaja bertindak mengikut kemahuan politik PKR dan DAP.
Justeru apa jaminan yang boleh diberikan oleh Abdul Hadi bahawa orang Melayu dan Islam akan lebih cemerlang jika mereka menyokong Pas? dan benarkah sokongan orang Melayu akan memperkuatkan Pas atau orang Melayu akan menang sorak sahaja...seperti mana nasib penyokong Pas dalam pakatan?
Kesimpulannya Abdul Hadi mahukan sokongan orang Melayu bukan kerana perjuangan Islam tetapi disebabkan sudah merasai bahang bahawa "Orang Melayu wajib menolak Pas dalam Pakatan Rakyat".

No comments:

Post a Comment