Wednesday, 26 September 2012

'Wasiat' Dr. Mahathir demi perpaduan Melayu

TUN Dr. Mahathir Mohamad tidak menangis lagi. Tetapi daripada luahan suara hati beliau, kita dapat merasa kekecewaannya terhadap sikap bangsanya sendiri - Melayu.
"Saya sedih. Bukanlah saya berharap kerana kesedihan saya akan menarik simpati sesiapa. Hanya saya ingin menyatakan perasaan saya - perasaan apabila melihat kaum bangsa saya, orang Melayu, begitu sekali tidak tahu bersyukur, begitu sekali mudah lupa, begitu sekali mudah dipengaruhi dan diperalat oleh orang lain sehingga sanggup memburukkan bangsa sendiri."
Tulisan Dr. Mahathir di dalam Mingguan Malaysia semalam menjentik sudut hati orang Melayu yang ada kesedaran tentang kesan buruk perpecahan yang sedang dialami bangsa ini.
Setelah sekian lama meninggalkan tampuk pemerintahan negara pada 31 Oktober 2003 (hampir sembilan tahun lalu), beliau masih tidak jemu-jemu mengingatkan orang Melayu tentang kepentingan perpaduan.
Nasihat Dr. Mahathir boleh dianggap untuk memperingatkan semula dan membuka mata hati kita semua yang semakin lalai dan alpa terhadap pentingnya perpaduan di kalangan umat Melayu.
Semalam, Dr. Mahathir meluahkan kesedihan dan kebimbangannya tentang nasib orang Melayu yang semakin lemah kuasa politiknya akibat perpecahan dan perbezaan politik yang melampau.
Jelas, sebahagian besar di kalangan orang Melayu tidak benar-benar menghayati dan menyerapkan nasihat dan pesanan yang dibuat oleh beliau semasa dan selepas menerajui negara.
Kita hanya mendengar teguran dan kritikan beliau bagaimana hendak menguatkan orang Melayu, tetapi kurang usaha dilakukan untuk melaksanakan apa yang disuruh oleh beliau. Sikap kita masih belum banyak berubah terutama rakyat yang kini majoritinya adalah generasi selepas merdeka.
Kita tidak merasai penderitaan hidup di bawah pemerintahan kuasa bangsa asing seperti yang dilalui oleh generasi bekas Perdana Menteri keempat itu.
Sebagai insan Melayu dari Kedah yang merasai hidup tiga zaman penjajah - pemerintahan Siam, Inggeris dan Jepun - beliau sudah melihat bagaimana bangsa Melayu dihina - segala-galanya kerana kebodohan dan tidak bersatu padu.
"Bagi generasi yang dilahirkan selepas merdeka tentulah mereka tidak merasai sendiri kehinaan yang dialami oleh orang Melayu semasa mereka dijajah dahulu. Tetapi takkanlah mereka tidak baca sejarah bangsa mereka." Demikian luahan hati Dr. Mahathir.
Dalam kebanyakan wawancara dengan Dr. Mahathir, beliau sering ditanya oleh para wartawan tentang politik negara dan masa depan orang Melayu.
Kini secara bersendirian beliau meluahkan perihal perpecahan orang Melayu. Barangkali ada di kalangan kita yang tidak akan ambil peduli nasihat Dr. Mahathir kerana beliau bukan lagi pemimpin utama negara ini.
Apatah lagi kehidupan orang Melayu kini sudah bertambah baik - punya kereta, ada rumah dan tidak ada yang kelaparan. Berbeza dengan keadaan orang Melayu sebelum dan pada awal kemerdekaan negara dahulu.
Sebagai pesara, Dr. Mahathir sepatutnya tidak perlu berkecil hati dan rasa bersalah. Beliau boleh bersikap tidak ambil peduli setelah 22 tahun berkhidmat sebagai Perdana Menteri. Beliau berkhidmat untuk kita - menjaga orang Melayu; mencetuskan pelbagai peluang untuk orang Melayu menjadi senang.
Jadi benarkah - terpulang kepada kita sama ada hendak menggunakan peluang itu dengan betul atau tidak? Tidak mengapa kalau orang Melayu tidak lagi menghargai apa yang telah dilakukan beliau untuk kita. Tidak mengapa jika orang Melayu terus berpecah, ikut haluan masing-masing?
Hakikatnya Dr. Mahathir bukan seorang pesara yang sudah lanjut usia dan ingin bersenang-lenang dalam persaraannya. Beliau adalah seorang yang tidak mengerti jemu untuk meneruskan perjuangannya yang belum selesai itu demi bangsanya.
Beliau sudah berkali-kali berpesan supaya orang Melayu tidak mengkhianati bangsa sendiri.
Jangan berpecah, kelak membinasakan masa depan bangsa. Apa yang dilontarkannya dahulu, semakin hari kian ketara kesan perpecahan umat Melayu, ditambah pula faktor cubaan campur tangan kuasa asing.
Beliau kembali lagi mengulangi nasihatnya dan mengharapkan supaya orang Melayu memperbaiki kesilapan dan bangkit menjadi bangsa yang benar-benar merdeka.
Sesungguhnya tiada guna kita memberi sanjungan kepada Dr. Mahathir jika segala pesanan, nasihat, ingatan serta sifat-sifat baiknya tidak kita pedulikan.
Dalam ucapan terakhirnya pada majlis berbuka puasa bersama Presiden dan Timbalan Presiden UMNO pada 30 Oktober 2003 (sehari sebelum bersara), beliau berkata, tiada penghargaan yang lebih besar baginya melainkan orang Melayu tidak bersengketa, tapi berganding bahu meneruskan perjuangan bangsa.
Jadikanlah 'suara hati' Dr. Mahathir itu sebagai wasiat terakhir beliau untuk umat Melayu/Islam di Malaysia.

No comments:

Post a Comment