Monday, 10 September 2012

Bank Negara Digesa Siasat Aliran Dana SUARAM


AIDCNews – 11/09/12 – Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa pihak Bank Negara Malaysia (BNM) menyiasat aliran dana yang meragukan yang disalurkan kepada Suara Rakyat Malaysia (Suaram).
Siasatan BNM itu katanya boleh dilakukan mengikut Akta Penggubahan Wang Haram dan Akta Anti Pengganas 2007 (AMLA).
Menurutnya, jutawan George Soros dipercayai penyumbang dana terbesar SUARAM melalui Suara Inisiatif Sdn Bhd (SISB).
“SSM boleh menyiasat tapi tidak boleh mengambil sebarang tindakan. Jadi kita minta Bank Negara campur tangan dalam perkara ini dan memberi kenyataan berhubung isu ini segera.
“Malah, Suaram adalah NGO dan bukan syarikat mengikut Akta Syarikat 1965 atau Akta Perniagaan 1956. Oleh itu, Suaram tidak tertakluk di bawah bidang kuasa SSM,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Beliau juga turut meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengesahkan status SUARAM yang dipercayai pertubuhan haram kerana maklumat tidak rasmi pihaknya mendapati ia tidak berdaftar dengan mana-mana pihak.
Menurutnya, beliau mempunyai maklumat sebuah NGO yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) yang ada kaitan dengan Soros telah menyalurkan dana kepada SUARAM di Malaysia.
“Kami masih di peringkat awal siasatan. NGO terbabit adalah satu daripada dua NGO berpangkalan di Amerika Syarikat yang menjadi penyumbang dana terbesar Suaram.
“Berdasarkan maklumat, NGO itu dipercayai mempunyai kaitan dengan Soros berdasarkan dokumen dan e-mel (antara kedua-dua pihak),” katanya.
Mengulas lanjut,dalam laporan Harian Metro hari ini, Ismail Sabri mengesahkan NGO milik Soros itu adalah Open Society Institute (OSI).
Katanya berdasarkan dokumen-dokumen bertarikh 17 Oktober 2007, 18 Disember 2008 dan 12 Februari 2010, dana berjumlah keseluruhan berjumlah berjumlah RM558,000 telah diterima SUARAM daripada OSI di New York di mana Soros ialah pengasas dan pengerusi NGO terbabit.
Beliau berkata, daripada siasatan didapati surat tawaran penyaluran dana itu dialamatkan kepada Pengarah Eksekutif dan Pemangku Pengarah Suaram.
“Saya dimaklumkan secara tidak rasmi bahawa SUARAM tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS), jadi mengikut undang-undang mereka tidak boleh menerima wang atau menandatangani apa-apa perjanjian.
“Kalau dia (SUARAM) mahu kata ia dilaksanakan melalui Suara Inisiatif Sdn Bhd (SISB), kenapa e-mel, faks dan surat-menyurat menggunakan nama SUARAM bukan SISB,” katanya.
Beliau turut menyoal bagaimana sebuah pertubuhan yang tidak didaftarkan boleh menerima sejumlah dana yang besar.
“Rabu ini, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan mengadakan mesyuarat dengan BNM dan ROS untuk membincangkan perkara ini,” katanya.
Menurutnya, amat malang jika Soros terbabit dalam penyaluran dana itu kerana dia terkenal sebagai penyangak mata wang yang mensabotaj ekonomi banyak negara.
“Daripada siasatan awal, kita memang mendapati wujud pertalian dan memang malang apabila ada pihak di negara ini bersekongkol dengan individu yang dikenali sebagai penyangak mata wang,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Siasatan SSM mendapati wujud keraguan dan kekeliruan dalam dokumen dan penyata kewangan SISB yang membiayai Suaram.
Siasatan juga mendedahkan SISB yang didaftarkan mengikut Akta Syarikat 1965 menyalurkan dana kepada Suaram, didaftarkan sebagai NGO.
SISB pula mendapat pembiayaan dana asing sejak 2008 daripada empat sumber antarabangsa iaitu Open Society Institute (NGO di New York), National Endowment for Democracy (NGO di Washington), Southeast Asian Centre for e-Media dan Kedutaan Jerman di Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment