Wednesday, 26 September 2012

Tadbir urus jadi harapan semua masyarakat

MENTADBIR urus negara bukan semudah mentadbir urus sebuah syarikat. Ini dibuktikan apabila bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang berlatarbelakangkan ahli perniagaan yang berjaya dengan jumlah kekayaan yang tidak terhitung banyaknya 'gagal' mentadbir urus negaranya.
Walaupun konsep asal mentadbir urus syarikat hampir sama sebagaimana mentadbir urus negara, namun perbezaan ketara, syarikat hanya mementingkan keuntungan pemegang saham, manakala negara melibatkan kepentingan rakyat jelata.
Sebab itulah rakyat sentiasa memberi harapan yang menggunung kepada para pemimpin. Harapan ini bukannya datang bulat-bulat tetapi berdasarkan apa yang dijanjikan oleh para pemimpin.
Para pemimpin tidak boleh sewenang-wenangnya memberi harapan tinggi kepada rakyat tetapi akhirnya tidak mengotakan kata-katanya. Lebih teruk lagi, para pemimpin tersebut mengetahui sejak awal lagi bahawa mereka tidak mampu menunaikan segala janji mereka.
Salah satu harapan rakyat kepada para pemimpin diterjemahkan melalui pembentangan bajet tahunan. Bajet tahunan negara wajib memenuhi harapan rakyat. Apakah yang diharapkan oleh rakyat?
Secara umumnya, rakyat mengharapkan kesejahteraan dalam kehidupan. Sebarang gangguan dalam kehidupan menjejaskan kesejahteraan mereka.
Dalam konteks Bajet 2013, tidak lain tidak - rakyat amat menaruh harapan ke atas beberapa isu yang amat dekat dengan mereka. Antaranya isu perumahan yang amat mahal dan sewenang-wenangnya dimiliki oleh warga asing.
Penulis difahamkan ramai warga Singapura telah membeli rumah di kawasan Nusajaya, Johor sehinggakan rakan penulis yang menetap di Johor Bahru mengatakan rakyat Singapura seolah-olah berkampung di negara kita.
Bagi mereka apalah sangat harga rumah berharga RM800,000 ke atas dengan mata wang negara kita 2.5 kali ganda kecil berbanding mata wang Singapura. Perlu diingat, rakyat Singapura tidak langsung membayar cukai kepada kerajaan tetapi mereka pula diberikan keistimewaan memiliki rumah.
Keuntungan yang diperoleh oleh pemaju perumahan adalah untuk jangka masa pendek sahaja tetapi kerugian besar kepada rakyat Malaysia dalam tempoh jangka masa panjang apabila tanah-tanah dimiliki oleh warga asing.
Bahkan, penulis juga difahamkan kawasan perumahan teres setingkat di Kulai yang sedang dimajukan pun harganya mencecah RM300,000 sebuah.
Kerajaan perlu mentadbir urus isu ini sebaik mungkin. Jika tidak, negara kita akan dihuni oleh warga asing. Sudahlah sekian lama, isu kebanjiran warga asing masih belum diselesaikan secara holistik sehingga meningkatkan kadar jenayah di Malaysia, timbul pula isu warga asing yang sewenang-wenangnya membeli rumah di negara kita sendiri. Utamakan rumah untuk rakyat Malaysia. Bukannya rumah untuk warga asing.
Selain perumahan, isu yang paling dekat dengan rakyat adalah berkaitan dengan kos sara hidup. Meskipun kadar inflasi adalah rendah di Malaysia tetapi secara umumnya kenaikan kos sara hidup amat dirasai bukan sahaja oleh rakyat berpendapatan rendah tetapi juga rakyat berpendapatan sederhana.
Satu pelan jangka masa panjang terutamanya dalam memajukan sektor pertanian secara besar-besaran perlu dilaksanakan secara bersungguh-sungguh.
Kita tidak boleh terlalu bergantung dengan import makanan dan barangan pertanian. Jaminan makanan untuk rakyat Malaysia adalah teras utama dalam memajukan sektor pertanian.
Di samping itu, rakyat mengharapkan keselamatan awam lebih terjamin. Sejak akhir-akhir ini banyak kes melibatkan pelbagai kategori jenayah tidak kira jenayah ragut, berat mahupun komersial berlaku di serata negeri. Bajet 2013 perlu memperuntukkan dana tambahan untuk menangani isu ini.
Isu-isu lain yang dekat dengan rakyat adalah seperti kos perubatan hospital swasta yang terlalu tinggi dan kos menjaga anak-anak yang semakin meningkat.
Kerajaan disarankan memberi pelbagai insentif untuk rakyat seperti meningkatkan lagi potongan cukai individu dan anak-anak di samping meneruskan pelbagai produk 1Malaysia seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, Perumahan Rakyat 1Malaysia dan yang terbaru Kedai Buku 1Malaysia.
Selain rakyat sebagai golongan individu, ahli-ahli perniagaan juga perlu dibantu kerana mereka juga merupakan rakyat Malaysia yang membayar cukai pendapatan. Jadi, mereka juga mengharapkan insentif dalam Bajet 2013.
Justeru, kerajaan perlu meneruskan agenda probisnes dalam memacu pertumbuhan ekonomi terutamanya memacu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi menggalakkan pelaburan domestik.
Pada masa sama kerajaan tidak boleh meminggirkan sama sekali pelaburan langsung asing (FDI). Bezanya pada era ini pemilihan FDI mestilah yang mempunyai impak tinggi ke atas negara.
Industri minyak dan gas, kewangan Islam, pelancongan dan automatif menjadi tumpuan dalam perancangan ekonomi kerajaan. Begitu juga, kerajaan jangan sesekali meminggirkan para peniaga kecil-kecilan yang kebanyakannya melibatkan kaum bumiputera.
Mereka juga sewajarnya dibantu dalam memajukan ekonomi masing-masing. Permudahkan mereka untuk mendapatkan lesen dan tapak perniagaan serta kemudahan pinjaman.
Nasib mereka juga perlu dibela selain ahli-ahli perniagaan yang terlibat dengan konglomerat yang sekarang ini banyak tertumpu kepada peralihan industri inovasi dan kreatif.
Senarai di atas hanya sebahagian daripada pengharapan rakyat, banyak lagi senarai harapan rakyat yang perlu dipenuhi oleh kerajaan dalam Bajet 2013.
Dengan sasaran pendapatan dianggarkan melebihi RM200 bilion pada tahun ini, Bajet 2013 perlu ditadbir urus dengan baik bagi memenuhi harapan semua peringkat masyarakat.
Hanya kerajaan yang beramanah, berintegriti dan tidak lupa dengan janji mampu membantu rakyat menikmati kesejahteraan dalam menjalani kehidupan seharian.

No comments:

Post a Comment