Pengisian 55 tahun kemerdekaan
SETIAP tahun apabila datangnya bulan sambutan kemerdekaan, ia dilihat amat signifikan untuk negara-bangsa ini, dahulunya dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya sehingga ia lahir sebagai negara bersama merangkumi Semenanjung, Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963; membawa kepada 49 tahun penubuhan Malaysia.Ia bukan sahaja menandakan 55 tahun kita sudah mengharungi hari kemerdekaan 31 Ogos 1957, tetapi juga menandakan tradisi 'syukur', 'berterima kasih', 'imbas', dan 'nilai' anjakan yang telah berlaku dan apa yang boleh dilakukan agar negara ini terus memacu kecemerlangan perubahan dalam kesinambungan yang telah dilakukan oleh warisan kepimpinan.
Pencapaian 55 tahun merdeka adalah pengisian kemerdekaan yang membezakan Malaysia dengan negara lain. Jika pengisian dan pencapaian kita sama dengan negara lain, kenapa Malaysia sering dijadikan contoh sebagai negara pesat membangun dan siapakah yang memeta pencapaian selama 55 tahun merdeka dengan pengisian yang membolehkan Malaysia gagah di mata dunia; bukan sebagai sebuah negara yang terletak antara Singapura dan Thailand lagi, tetapi digeruni kerana mampu membangun dengan pantas serta kesediaan melakukan pelbagai perkara yang tidak pernah terfikir bagi sesebuah negara yang terus membangun seperti kita.
Hakikatnya, Malaysia sudah berubah wajah kerana proses pemodenan dan pembangunan pesat. Bagaimanakah Malaysia boleh tersenarai antara 21 negara paling kompetitif dalam Laporan World Economic Forum 2012; tangga ke-18 sebagai negara paling mudah memulakan perniagaan dalam Laporan Bank Dunia Doing Business 2012; yang 10 teratas dalam Indeks Keyakinan Pelaburan Langsung Asing 2012; pendapatan perkapita negara pada AS$9,700; KDNK RM852.7 bilion dan PNK pula RM830.7 bilion tertinggi sejak 1957; dan hasil tertinggi iaitu RM185.54 bilion.
Setiap warga harus boleh mengimbas dan menilai persekitaran dan alam sekitar mereka untuk memahami pengertian sebenar kemerdekaan. Kita perlu bertanyakan mana datangnya pembangunan ekonomi, politik dan sosial sehingga Malaysia dihormati dan diiktiraf oleh negara mundur, pesat membangun dan maju.
Apakah dalam jangkamasa 63 tahun merdeka pada 2020; kita boleh bersama menyuburkan semangat bangsa Malaysia yang menjunjung ketertinggian Perlembagaan, fasih berbahasa Malaysia dan bangga menjadi warga Malaysia, takrifan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam merangka Wawasan 2020?
Insan yang menghuni negara ini ketika itu dan generasi transisi ke arah itu kini barangkali sudah boleh bergelar 'kelas satu di negara kelas pertama', bukan sahaja memiliki infrastruktur dan prasarana kemudahan kelas pertama tetapi bangsanya merupakan yang ada ilmu, kebolehan dan kemahiran yang diselaputi dengan nilai moral pada perilaku dan karakternya. Erti persaudaraan adalah pada kekuatan nilai kemanusiaan agar tidak ada sifat syak wasangka dan curiga dan mencari titik keseimbangan bersama demi masa depan tanah air dan generasi yang akan terus mewarisi setiap inci pusaka bumi ini.
Ia juga amat memerlukan jiwa nasionalisme dan patriotisme. Ia bukan semata-mata menaikkan bendera pada bangunan, rumah atau kenderaan. Ia juga bukan sekadar menyanyikan lagu Negaraku. Ia juga bukan sekadar menghormati nilai simbolik kenegaraan. Pembangunan juga adalah nasionalis; memelihara alam sekitar, menjaga kebersihan, mempunyai kualiti kehidupan yang baik, sektor pendidikan yang membanggakan, peluang pekerjaan, sektor kesihatan yang melihat kadar kelahiran lebih baik dari kematian, sukan dengan pencapaian yang cemerlang atau apa saja yang kita harungi setiap hari demi untuk negara; kesemua yang membawa unsur positif lahirnya dari kesungguhan untuk memartabatkan kebebasan dengan pengisian yang memberi manfaat kepada populasinya.
Sepanjang 55 tahun, ada kelemahan wujud dan diakui oleh mereka yang terlibat secara langsung dalam proses merekayasa negara tetapi kita boleh menyoal, apakah sepanjang 55 tahun kemerdekaan, kita lebih banyak diselubungi masalah sehingga menyukarkan suapan diri atau pencapaian mendahului dan menutup kelemahan yang wujud tanpa dinafikan sebarang kelemahan perlu diatasi agar tidak menjejaskan pembinaan negara-bangsa. Misalnya, keperluan 40 peratus ahli masyarakat yang berada di bawah garis kemiskinan bandar dan luar bandar merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak perlu terus diberi kepentingan agar sumbangan mereka dihargai dengan memelihara kebajikan mereka.
Kita juga menyedari bahawa dunia ini tidak terpinggir dari kebencian tetapi di Malaysia, perlu ada keinginan untuk mempertahankan nilai kemerdekaan. Barangkali, pejuang kemerdekaan sudah membayangi kita akan berhadapan dengan keadaan yang kita lihat selepas 55 tahun sehingga bersedia untuk 'berkorban' dan 'berkompromi' di bawah gabungan besar politik kepartian agar masing-masing masih boleh gelak, ketawa, berjumpa, pejam mata dan esoknya negara masih kekal selamat.
Jangan menumpang simpati sisipan sejarah kerana tiada sebarang pertemuan yang direkacipta secara kosmetik dalam cubaan mendapatkan merdeka. Ia datang kerana pejuang kemerdekaan mencintai tata merdeka dan Raja-raja Melayu juga bersedia untuk memindahkan kuasa kepada pentadbiran kerajaan dan kekal sebagai ketua negara.
Tanpa Kontrak Sosial tidak akan lahir Perlembagaan dan tanpa Perlembagaan, tidak mungkin kita meraikan 55 tahun merdeka tahun 2012. Asasnya, warisan kepimpinan merangka masa depan bersama tanpa mengira latar belakang etnik, agama dan praktis berbeza dalam kehidupan kepelbagaian negara ini.
Pejuang kemerdekaan tidak mendidik perasaan bangga diri tetapi pandai merendahkan diri dengan tatacara sendiri. Dalam mendapat kemerdekaan ketika itu, semua yang baru hendak naik tidak sombong atau biadab tetapi kuat, tabah dan ampuh dengan pujian perwatakan; penekanan kepada nilai hormati antara satu sama lain.
Kemerdekaan tidak boleh ditukar ganti. Kestabilan, keamanan dan hidup muhibah tidak boleh dipisahkan dan dalam keadaan tidak menentu, ia tidak boleh dikorbankan. Ia mesti dijunjung oleh kesemua warga yang sayangkan makna merdeka dan pengisian di sebalik kemerdekaan.
Persahabatan dengan penipuan akan menggagalkan kebenaran. Jangan kita senyapkan sejarah merdeka dengan kemungkaran kita. Pengisian kemerdekaan hanya dapat dilakukan secara berterusan jika kita mahu memahami dan terlibat sama dalam proses penambahbaikan pembentukan negara ini dalam acuan sendiri.
Kita bertanggungjawab ke atas tindakan kita, mengikut tuntutan hati. Perjuangan kemerdekaan bukan untuk melihat siapa menang dan siapa kalah. Ini perjuangan bersama walaupun fahaman politik berbeza. Keangkuhan tidak boleh menghalalkan pembohongan semata-mata mahu melihat erti merdeka dari lensa berbeza. Dalam perjuangan pengisian merdeka, jangan biarkan ketakutan menjadi perisai kegagalan. Biar tatacara dan sopan sila dalam Malaysia menggerunkan musuh di luar kerana warganya cekal dan bersatu.
Mari kongsi kesedihan dan kegembiraan negara atas nama Malaysia. Melalui kepercayaan ini kita mampu mengharungi apa sahaja masalah bersama, memberi dan menerima seadanya dan dapat lakukannya kerana percaya kita juga ada hak dan tanggungjawab. Tradisi lama boleh digantikan dengan tradisi generasi baru tanpa menghilangkan nilai sebenar di sebalik kesinambungan pembinaan 55 tahun Malaysia.
Pengisian kemerdekaan adalah pelengkap kepada transformasi yang merupakan satu perjalanan yang memerlukan kestabilan sepanjang masa dan bukan keadaan tidak menentu terutama dalam demografi dan populasi yang majmuk dan kompleks seperti Malaysia.
No comments:
Post a Comment