Anwar setuju ada masalah dalam jiwa orang Islam
KUALA LUMPUR 25 Sept. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui terdapat masalah dalam jiwa umat Islam seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar Britain, The Scotsman semalam.Penulis Eddie Barnes dalam artikelnya menyebut: ''Dalam reaksi umat Islam terhadap filem yang menghina Islam, beliau (Anwar) bersetuju bahawa ada masalah dengan jiwa orang Islam, mereka mudah marah dan beremosi''.
Beliau berkata demikian dalam artikelnya yang bertajuk "Eddie Barnes: Tough challenge to heal the divides in Malaysia" seperti yang dipetik oleh akhbar New Straits Times hari ini.
Anwar sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi apabila mengeluarkan kenyataan menyokong usaha melindungi keselamatan Israel seperti yang dilaporkan di The Wall Street Journal pada 26 Januari lalu.
Eddie yang menemuramah Anwar semasa lawatannya ke United Kingdom baru-baru ini turut menyifatkan Barisan Nasional kini sedang 'goyah'.
Sambil merujuk Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sebagai Dr. Ibrahim, artikel itu memberitahu bahawa Anwar di London bersama Azeem Ibrahim, seorang ahli perniagaan dari Scotland yang bertindak sebagai pembantu antarabangsanya.
Artikel tersebut yang diterbitkan semula di blog Anwar semalam, turut menyebut bahawa beliau yang berusia 65 tahun kini menderita sakit belakang yang kronik selain menekankan tentang konflik yang berlaku di kalangan sekutu politiknya iaitu DAP dan Pas.
''Di sebelah kanan beliau adalah kumpulan Islam Pas yang ingin memperkenalkan undang-undang hudud (Islam) kepada negara.
''Di kirinya pula ada golongan Cina-India DAP yang mahukan negara sekular dan hak-hak yang lebih baik untuk masyarakat bukan Melayu.
''Ia kelihatan sukar buat beliau apabila pada minggu lalu, DAP membantah rancangan Pas untuk memperkenalkan hudud,'' kata Eddie dalam artikel itu.
Selain itu, beliau juga menggambarkan Anwar sebagai a modern traditionalist kerana enggan dikategorikan sebagai pemimpin Islam dan disalahertikan.
''Beliau kata beliau bukan liberal dan masih memegang kepada asas Islam. Tetapi beliau memilih jalan untuk melihat pandangan kedua-dua belah pihak daripada perdebatan tersebut (DAP-Pas),'' katanya.
No comments:
Post a Comment