Isu-Isu Akhbar Cina
Sambutan Merdeka bebas politikAKHBAR Sin Chew Daily bertarikh 31 Ogos 2012 menyiarkan artikel mengenai sikap sesetengah pihak yang mempolitikkan sambutan kemerdekaan sehingga ia tidak boleh disambut secara bersama oleh seluruh rakyat.
Artikel bertajuk Imbas kembali hari kemerdekaan tulisan Pengarang Eksekutif akhbar berkenaan, Lim Ming Fah disiarkan dalam ruangan Sudut Pendapat halaman B6.
Berikutan pendirian politik yang berbeza maka tema sambutan kemerdekaan peringkat kebangsaan tahun ini iaitu Janji Ditepati menjadi kontroversi.
Selain perhimpunan secara rasmi seperti kebiasaan, terdapat pula 47 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut serta berhimpun dengan tema Janji Demokrasi yang jelas membawa gelombang bertentangan.
Perhimpunan hari kemerdekaan kini tidak dapat keluar melepasi cengkaman politik dan tidak dapat merentasi parti-parti politik yang membolehkan semua orang meraikannya di hari yang sama. Ini adalah satu perkara yang amat menghampakan.
Jika dilihat dari sudut demokrasi, anda boleh melakukan apa sahaja mengikut cara tersendiri yang anda fikirkan baik.
Saya boleh melakukannya dengan cara saya tersendiri dan ini juga adalah satu perkara biasa yang boleh dilakukan. Ia tidak perlu diterjemahkan secara paksa dan pihak-pihak tertentu juga tidak perlu terlalu agresif memberi tindak balas.
Setiap orang mempunyai cara individu dan cara tersendiri, mempunyai wajah-wajah dan mempunyai pandangan yang tersendiri.
Sebab itu kita perlukan pelbagai adegan dalam masyarakat, perlu ada sebuah kerajaan yang mentadbir rakyat; sebab itu kita perlu ada pelbagai undang-undang dan peraturan, supaya rakyat dapat menghormati dan mematuhi undang-undang yang dibentuk itu.
Jika kita berdiri di satu sudut politik yang berlainan, rakyat juga boleh mematuhi ataupun membantah apa sahaja isu ataupun perkhidmatan yang diberikan itu.
Ahli falsafah Greek, Aristotle ada sebuah ungkapan: Manusia seperti haiwan yang bernegara dan sejenis haiwan yang pandai berpolitik."
Jika benar dalam masyarakat wujud apa yang dinamakan politik termasuk yang menyentuh mengenai asas-asas demokrasi yang memberi kebebasan kepada semua pihak, maka tidak mungkin tiada pandangan yang tidak berbalah.
Masalahnya sekarang ini, selain daripada perbalahan kenapa kita sendiri tidak dapat mencari sesuatu yang boleh dijadikan persamaan?
Negara kita sudah 55 tahun merdeka. Sepanjang tempoh itu, setiap hari kita membincangkan tentang demokrasi dan mengenai perlunya semua perkara berlandaskan kepada demokrasi.
Bagi saya demokrasi itu adalah umpama satu jentera yang terus berputar ke hadapan. Ia sentiasa berusaha dan terus menerus mencari serta mencipta sesuatu yang lebih sesuai dan yang lebih wajar yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat.
Selain daripada kita boleh berfikir secara bebas, demokrasi juga menekankan mengenai perlunya sikap toleransi.
Negara kita adalah sebuah negara berbilang kaum, budaya dan agama. Kepelbagaian itu mempunyai ciri-ciri yang baik dan kelebihannya, tetapi dalam masa sama turut tersorok percanggahan dan persengketaan di dalamnya.
Dengan adanya sifat toleransi, kaum yang berlainan budaya dan agama akan dapat saling berinteraksi, hormat menghormati dan saling hidup bersama di antara satu sama lain.
Bertoleransi tidak akan meletakkan kita di posisi yang lemah, sebaliknya menjadikan kita lebih hebat dan kuat. Ia juga membolehkan kita menghormati perbezaan pandangan daripada orang lain.
Sifat itu akan membolehkan kita bekerjasama dan mencari persamaan apabila timbul perbalahan.
Oleh itu, ketika kita meraikan hari kemerdekaan, adalah perlu dikekalkan pemikiran yang mempunyai kesedaran, keluar daripada pemikiran yang mengutamakan kepentingan parti masing-masing.
Kita perlu belajar cara berfikir yang bebas dan merdeka. Utamakan dan pertahankanlah sifat toleransi!
Pas bertanding di Sarawak
USAHA Pas untuk bertapak di Sarawak turut diulas akhbar Sin Chew Daily bertarikh 3 September 2012.
Berita bertajuk Tidak lama lagi tokoh-tokoh besar akan lompat parti disiarkan dalam ruangan Dalam Negeri halaman sembilan.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tidak lama lagi akan ada beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) yang menyertai pihak pembangkang termasuk Pas.
Berikutan perkembangan itu, katanya, pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Pas akan bertanding di enam kerusi Parlimen di Sarawak dan perkara itu telah dipersetujui parti pembangkang lain.
Beliau berkata, persetujuan itu akan membolehkan hanya satu calon pembangkang diturunkan bagi bertanding satu lawan satu dengan calon BN.
Mengenai adakah calon Pas itu daripada kalangan golongan profesional ataupun bukan, Abdul Hadi secara berseloroh berkata, calon-calon yang akan bertanding itu menyayangi rakyat, muda dan bertubuh sihat.
Sebelum ini, Pas Miri pernah memberitahu ada tiga calon berpotensi dan salah seorang ialah profesional berketurunan Iban.
Apakah yang dimaksudkan itu ialah seorang berketurunan Iban yang memeluk agama Islam bernama Bobby Zaid Tadang? Beliau pernah menjadi pengacara televisyen dan seorang yang bijak berkata-kata.
Ramai meramalkan dua lagi tokoh yang akan dicalonkan itu ialah seorang yang baru masuk Pas di Miri tahun ini yang hanya dikenali sebagai Johari dan Pengerusi Pas Miri, Jofri Jaraiee.
Tambah Abdul Hadi, keputusan Pas meletakkan calon di Sarawak itu adalah berikutan tahap penerimaan pengundi Sarawak terhadap parti itu sudah sama keadaannya seperti di Semenanjung.
Nafi boikot
Sin Chew Daily
AKHBAR Sin Chew Daily bertarikh 1 September 2012 menyiarkan penafian Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bahawa DAP telah memboikot akhbar itu yang sering menyiarkan berita propembangkang.
Berita bertajuk Pendirian peribadi saya sama dengan DAP, tidak boikot Sin Chew Daily disiarkan dalam ruangan Dalam Negeri halaman lima.
Setiausaha Agung DAP itu berkata, parti itu tidak memboikot akhbar berkenaan kerana kedua-duanya sejak sekian lama telah mempunyai hubungan erat.
Beliau berkata, parti itu mahu akhbar berkenaan sentiasa mengkritik dan terus bersuara berkaitan perkara-perkara yang tidak adil dan melaporkan perkara-perkara yang benar.
Kenyataan itu dibuat selepas seorang warga emas yang dikenali dengan gelaran Aunty Anne yang dijemput berucap pada majlis sambutan merdeka DAP di Bandar Baru Ipoh, Perak baru-baru ini tersasul menyebut supaya diboikot akhbar Sin Chew Daily dan beberapa media elektronik lain.
Aunty Anne adalah nama gelaran kepada bekas guru, Ann Ooi, 65, yang telah diangkat sebagai ikon perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0.
Apabila kata-kata itu terkeluar dari mulut Aunty Anne, beberapa pemimpin DAP yang hadir ketika majlis berkenaan termasuk Penasihatnya, Lim Kit Siang segera membuat penjelasan kepada pihak media dan wartawan di situ, menyatakan itu bukan pendirian DAP.
Bagi meredakan keadaan, wartawan akhbar itu yang membuat liputan majlis berkenaan turut dijemput untuk duduk di kerusi orang kenamaan (VIP).
No comments:
Post a Comment