Monday, 10 September 2012

Polis perlu fokus selesai isu komuniti

Akhbar Satar
2012/07/20


Penulis ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan ribuan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membawa negara ini ke status negara paling selamat di rantau ini.

Menerusi konsep Community Policing, polis menjalankan tugas dengan baik dan banyak pembaharuan diperkenalkan demi memastikan keluarga dan masyarakat kita dalam keadaan selamat sejahtera. Masyarakat mesti hormat, sokong dan memberi kerjasama penuh kepada polis.

Malangnya, masyarakat kita agak susah mengucapkan terima kasih kepada PDRM.

Polis terus dihukum apabila membuat sesuatu kesilapan atau mengambil tindakan tidak menyebelahi kepentingan mereka.

Kejayaan polis kita pula diukur dari sudut kesilapan yang dilakukan ketika menjalankan tugas. Sebenarnya, konsep Community Policing ini diperkenalkan di Amerika Syarikat sejak 1970-an lagi.

Ia mempunyai misi serampang dua mata; iaitu mewujudkan kerjasama polis dengan komuniti dan mempertingkatkan lagi keberkesanan mencegah jenayah. Keberkesanan pelaksanaan Community Policing memerlukan perancangan sistematik perubahan minda dan sikap positif kedua-dua pihak, iaitu masyarakat dan polis, melalui program Mesra Rakyat yang diatur secara berterusan bagi merapatkan jurang antara masyarakat dan pasukan polis.

Bagi merealisasikan misi PDRM dalam pembanterasan jenayah dengan lebih berkesan, ia perlu mengambil kira pembabitan masyarakat dan memastikan orang awam tidak lagi beranggapan tugas cegah jenayah adalah tanggungjawab polis semata-mata.

Polis bukan lagi dianggap sebagai sole guardian of law and order. Semua aktiviti anjuran polis untuk merapatkan hubungan dengan orang ramai perlu diberi sokongan oleh masyarakat. Bahkan orang ramai, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau swasta digalak mengadakan program bagi merapatkan diri dengan pihak polis.

Tetapi PDRM perlu memberi penghargaan setimpal atas sumbangan mereka itu.

Aktiviti yang berterusan ini dapat mengikis persepsi negatif masyarakat terhadap polis dan persepsi itu boleh bertukar kepada positif dan dengan demikian polis dilihat lebih mesra dengan masyarakat.

Sebaliknya polis juga perlu berubah dan menjalankan tugas mengikut peredaran zaman, yang mana sebarang tindakan hendaklah menggunakan kaedah psikologi untuk menjayakan usaha dalam pembanterasan jenayah, terutama berdepan gen Y yang lahir dalam dunia teknologi tinggi.

Mereka adalah perintis kepada sebuah kehidupan globalisasi dalam dunia tanpa sempadan dan memiliki persepsi yang berbeza dengan zaman dulu.

Apa pun kesempurnaan konsep Komuniti Policing di Malaysia masih pada tahap minimum. Hanya ada beberapa polis negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang saja yang nampak serba sedikit mempunyai ciri konsep Komuniti Policing tetapi masih belum memenuhi kriteria bagi mencapai tahap sebenar.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, yang sentiasa mempunyai idea bernas sudah memperkenalkan Vertical Policing dengan mengadakan rondaan di bangunan tinggi serta aplikasi isyarat jenayah di semua telefon pintar, My Distress mampu mempercepatkan tindakan menahan jenayah dengan berkesan.

Bagaimanapun, konsep Community Policing di Malaysia masih banyak tindakan diambil lebih mirip kepada reactive yang mana mereka masih menunggu panggilan atau laporan sebelum mengambil sebarang tindakan.

Lagipun polis tidak mampu menjalankan tanggungjawab melebihi tugas kepolisan seperti menjalankan kajian punca berlakunya jenayah.

Jenayah masa kini pula lebih kompleks, termasuk jenayah transnasional dan siber yang memerlukan polis bertindak lebih bijak dan menyedari pentingnya untuk berada dua langkah di hadapan penjenayah dan menggunakan teknologi dalam penyiasatan.

Pakar Kriminologi banyak menjalankan kajian mengenai kejayaan dan kegagalan konsep Komuniti Policing.

Kini ada kaedah baru lebih efektif dan relevan dikenali sebagai konsep Problem Oriented Policing yang diperkenal kepada organisasi polis di Amerika Syarikat, United Kingdom, New Zealand dan Australia yang memberi impak positif dalam menangani isu jenayah mengikut peredaran zaman.

Konsep Problem Oriented Policing adalah satu metodologi integrasi kerja harian polis digandingkan dengan teori kriminologi atau keadilan jenayah serta metodologi penelitian bagi merangka strategi terbaik dalam membanteras jenayah. Strategi ini menggunakan model SARA (Scan, Analysis, and Response & Assessment) apabila menganalisis sesuatu jenayah agar dilaksanakan secara bersepadu dan terancang.

Penulis yakin, berbaloi jika PDRM menambahbaik sistem dengan menggandingkan konsep yang sedia ada, iaitu Komuniti Policing (falsafah) dengan Problem Oriented Policing (metodologi), ia dapat mengurangkan, mengekang jenayah dengan lebih berkesan dan profesional.

Polis perlu fokus kepada penyelesaian masalah komuniti dan bukan lagi menitikberatkan bagaimana sesebuah organisasi polis ditadbir.

No comments:

Post a Comment