Monday, 10 September 2012

Kisah isteri Guan Eng dan pemimpin berani

Amirullah Andy Nur
arullah@bharian.com.my
2012/07/18


Berbanding negeri lain, aktiviti politik di Melaka agak jarang diperkatakan. Bukan kerana tiada isu menarik, cuma mungkin kerana rakyat di negeri bersejarah itu mempunyai fokus lain yang dianggap lebih penting.

Namun sejak awal bulan ini, tumpuan kelihatan banyak terarah ke negeri yang sudah berstatus maju ini. Ada dua kisah politik yang bukan saja mendapat perhatian penduduk negeri itu sendiri, malah negara ini.

Pertamanya, membabitkan isu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana dari DAP, Betty Chew Gek Cheng enggan menjawab soalan kontroversi membabitkan suaminya, Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Ia mengenai dua gambar. Satu mengenai seorang wanita bernama Ng Phiak Kheng dan satu lagi menunjukkan dahi suaminya itu ditampal plaster. Soalan itu dibangkitkan ADUN Duyong, Datuk Gan Tian Loo pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2 Julai lalu.

Seperti diduga dalam reaksinya, Gek Cheng bersama empat lagi wakil DAP dalam dewan itu terus melenting sebelum sidang ditangguh. DUN Melaka mempunyai 28 DUN dengan 23 dikuasai Barisan Nasional (BN).

Pada hari kedua pula, mereka membuat kecoh sebaik sidang bermula apabila mempertikaikan tindakan Tian Loo itu.

Kemuncaknya mereka mengeluarkan kain rentang dalam sidang itu yang berbunyi Shame On You Gan Tian Loo, sebelum bertindak meninggalkan tempat berkenaan sebagai tanda protes. Pada hari ketiga dan terakhir sidang, mereka muncul semula.

Pada kali ini, Gek Cheng dan empat lagi rakannya cuba melakukan tindakan sama. Namun kali ini, nasib tidak menyebelahi mereka apabila persidangan mengambil keputusan menggantung semuanya selama enam bulan kerana melanggar peraturan dewan.

Kisah ini mendapat pelbagai reaksi masyarakat khususnya ahli politik selepas mendapat liputan meluas daripada pelbagai genre media pada hari sama dan sehari selepas itu.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dalam ulasannya menyifatkan Gek Cheng sebagai pengecut apabila enggan menjawab soalan itu di Dewan.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP dalam sidang medianya di Georgetown pula menafikan isu dibangkitkan Pengerusi MCA Melaka itu. Gek Cheng pula sehingga kini tidak pernah menjawab soalan dibangkitkan Tian Loo itu.

Mutakhir mengenai kisah ini, apabila Mohd Ali pada Isnin lalu dalam satu majlis di Melaka, mencabar Phiak Kheng tampil memberi penjelasan mengenai isu itu kerana ia sudah menjadi perhatian umum termasuk diperdebatkan dalam pelbagai laman sosial di internet.

Selain kisah di atas, satu lagi isu politik yang mendapat perhatian apabila Mohd Ali mengumumkan hasratnya untuk berpindah ke Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Kenyataannya itu dikeluarkan menerusi New Sunday Times.

Beliau memberi alasan ingin mencari cabaran lebih besar selepas tiga penggal sebagai Ketua Menteri. Hasrat itu juga didorong kerana hendak membantu membangunkan negara ini dan membawa kemajuan kepada semua negeri seperti dilakukannya di Melaka.

Beliau juga menyatakan tidak bimbang mengenai penggantinya kerana negeri kelahirannya itu mempunyai ramai pemimpin berwibawa.

Laporan itu jelas memberi kesan besar kepada perkembangan politik Melaka. Ini adalah kali pertama beliau membuat pengumuman rasmi seperti itu kerana isu berkenaan sebetulnya sudah lama kedengaran. Malah sejak pilihan raya lalu lagi, ia sudah berbangkit.

Susulan itu pelbagai reaksi diterima. Ada yang suka, ada juga tidak setuju. Malah ada juga perasaan bercampur-campur. Bagi yang suka, tindakan itu dianggap mampu menyerlahkan lagi ketokohan Mohd Ali pada peringkat nasional selepas berjaya dengan cemerlang di Melaka.

Selain itu, ada juga menyifatkan ia bakal membuka ruang kepada beberapa pemimpin lain yang sebelum ini sudah lama memasang impian memegang jawatan berkenaan selepas kecewa pada 2008.

Bagi yang tidak gemar dengan keputusan itu, kebimbangan mereka sudah tentu berkait dengan nasib bakal menimpa Melaka selepas ketiadaan beliau itu. Persoalan yang ditimbulkan, mampukah pengganti beliau meneruskan kesinambungan legasi yang ditinggalkannya itu?

Seorang pemerhati politik di Melaka ketika ditemui, menyifatkan tindakan Mohd Ali itu sebagai sesuatu yang berani, bersandarkan kepada suasana politik ketika ini. Namun dia tidak menolak, betapa dalam politik semua boleh berlaku.

Apa lagi dalam keadaan kedudukan Melaka yang dianggap sebagai kubu kuat BN sejak sekian lama, tentunya Mohd Ali sudah mengambil kira semua pertimbangan ketika mengambil keputusan meninggalkan keselesaan pejabatnya di Seri Negeri dan kediaman rasminya, di Seri Bendahara

No comments:

Post a Comment