Friday, 7 September 2012

Benderaku oh Benderaku…

DI AMERIKA SYARIKAT, sejahat-jahat mana sekali pun manusia itu yang disumbat ke dalam penjara paling ketat kawalannya, bendera adalah panji-panji yang akan mereka hormati. Jangan sesiapa menghina bendera itu, nahas dia! Sejahat-jahat samseng atau banduan di negara itu bendera mereka amat dihormati.
Tiada mana-mana pembangkang di negara Uncle Sam itu yang sanggup meminta bendera negara itu ditukar atau dicela dan dipijak-pijak. Jika ia berlaku orang itu pastinya tidak akan selamat dari segi undang-undang dan manusia.
Ketaatan kepada bendera, sama tarafnya seperti mentaati bangsa dan negara. Semasa peperangan, bendera mereka adalah panji-panji terakhir yang dipegang sehingga ke titisan darah terakhir.
Semasa berada di Istanbul, Turki baru-baru ini saya berpeluang menyusuri Selat Bosphorus yang memisahkan Turki Asia dan Turki Eropah. Saya dapat melihat bendera-bendera gergasi Turki berkilauan di sinari mentari pagi berkibar megah di atas setiap penjuru bukit di kiri dan kanan selat itu. Terlalu megah saya melihat bendera merah menyala bulan bintang itu berkibar ditiup angin kencang. Bendera Turki atau Panji-panji Merah dikenali sebagai Alsancak. Tiang-tiang bendera itu sama tinggi dan sama hebat dengan yang terdapat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur (KL).
Di KL atau di bandar-bandar besar Malaysia, atau di kawasan sempadan negara, tiang bendera gergasi harus dibina bagi mengibarkan Jalur Gemilang. Ia adalah simbol patriotisme. Ia adalah simbol kenegaraan. Sesiapa yang melihat kibaran itu pasti akan naik semangat.
Mengapa tiada tiang gergasi untuk mengibarkan Jalur Gemilang dibina di sepanjang Selat Tebrau atau di tepi Tambak Johor, atau di atas Bukit Timbalan, Johor Bahru yang menghadap ke arah Pulau Temasik? Jangan salahkan rakyat jika generasi kita tidak hormatkan bendera sendiri, kerana pemerintah sendiri tidak sensitif untuk mengibarkannya.
Mengapa juga tidak diarahkan bangunan-bangunan korporat yang tinggi di KL, misalnya mengibarkan bendera gergasi di atas puncak bangunan masing-masing?
Kita akan pasti berbangga melihat kibaran Jalur Gemilang di setiap penjuru skyline, pencakar langit KL.
Rakyat Turki terlalu megah dengan bendera mereka. Mereka juga terlalu megah dengan tanah air mereka. Walaupun Perlembagaannya sekular, mereka kini secara perlahan-lahan sudah mengenali Islam dan mengamalkannya. Tiada revolusi dilancarkan untuk menjatuhkan kerajaan sekular yang ada. Semuanya melalui pilihan raya. Mereka tidak sukakan persengketaan yang boleh menghancurkan negara. Sejarah pahit manis mereka terlalu panjang dan matlamat mereka kini ialah ke arah kesejahteraan.
Turki ialah satu-satunya negara contoh yang boleh diikuti dari segi kemajuannya. Mungkin ada hikmah juga apabila negara itu diambil alih oleh Kamal Attarturk selepas kejatuhan era Othmaniah dulu. Jika tidak mungkin Turki akan terus mundur seperti negara-negara Islam yang lain.
Malaysia seperti juga Turki ialah sebuah negara yang cukup beruntung. Syiar Islam di Malaysia berkembang pesat. Malaysia ialah pendokong industri kewangan Islam. Orang Melayu Malaysia juga dikenali sebagai orang Islam yang terlalu Islamik. Semuanya ada di sini. Semuanya cukup makan. Banyak negara yang mencemburui Malaysia. Negara-negara jiran juga mencemburui Malaysia. Sepatutnya mereka yang mencontohi bendera Malaysia, bukan sebaliknya.
Kita tidak pasti idea siapa yang mereka bendera baru Malaysia itu dengan menciplak bendera Singapura dan Indonesia. Tiada lagi jalur yang menggambarkan negeri-negeri di Malaysia. Apakah itu tanda awal Malaysia mahu direpublikkan seperti Indonesia dan Singapura? Jika Malaysia menjadi republik, maka tiada lagilah Raja Berperlembagaan. Simbol kemelayuan itu akan dikuburkan. Adakah itu hasratnya?
Atau mungkin juga bunga-bunga kebencian terhadap bendera kita telah diterapkan oleh para pemimpin politik sendiri. Ingat lagi pada Hari Malaysia September 2011? ADUN DAP Kota Alam Shah, M. Manoharan mahu Jalur Gemilang ditukar dengan bendera baru jika mereka memerintah kelak.
Dia enggan mengibarkan bendera kebangsaan sempena hari itu, sebaliknya mengedarkan bendera DAP di kawasan pilihan rayanya.
Sebenarnya, banyak pihak yang mengidamkan kemakmuran Malaysia. Berjuta-juta rakyat Indonesia sedang mencari makan di Malaysia. Difahamkan ramai rakyat Indonesia yang tinggal di negara ini atau yang mendapat taraf penduduk tetap negara ini tidak mencintai negara ini. Mereka hanyalah pendatang ekonomi yang mahu mencari rezeki. Ironinya ramai juga yang menyokong pembangkang.
Malah beberapa kawasan di Kuala Lumpur telah diambil alih sebagai koloni orang Indonesia. Orang Malaysia ini sebenarnya terlalu baik. Baik sangat.
Di Kampung Datuk Keramat, apabila saya dan isteri melintasinya beberapa hari lalu, isteri saya yang pernah tinggal di situ di zaman bujangnya terkejut melihat nilai-nilai Indonesia telah mengambil alih kawasan itu. Begitu juga di Chow Kit dan di Kampung Baru.
Adakah disebabkan fenomena itu, orang Malaysia mahu menukar bendera Jalur Gemilang menjadi seakan-akan bendera Indonesia? Singapura pula, walaupun sebuah negara maju juga terlalu cemburukan Malaysia.
Mereka juga terlalu mengidamkan Malaysia. Jika Malaysia boleh dikuasai, maka legalah hati mereka. Amanlah Singapura. Jika pembangkang dapat menguasai Malaysia, ia sudah cukup baik bagi Singapura merasa aman secara strategik. Itu bukan rahsia lagi. Semua orang tahu mengenainya.
Namun, orang Malaysia masih tidak sedar itu semua. Orang-orang Melayu kini terlalu keliru dengan hasutan pembangkang yang sebenarnya mempunyai agenda tersembunyi.
Kita amat kasihan melihat segelintir rakyat Malaysia, terutamanya Melayu yang celaru dan keliru itu. Fikiran mereka bercelaru tiada tujuan. Amarah dan benci kesumat terhadap perkara-perkara kecil dan peribadi terlalu menguasai diri, sehinggakan apa yang berada di depan mata mahu dihilangkan.
Marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Kini tuntutan-tuntutan yang tidak dipenuhi dijadikan ancaman untuk menukar kerajaan, waima tiket saman parking sekali pun!
Melihatkan wanita-wanita bertudung ketawa mengilai melihat rakan-rakan mereka memijak gambar Perdana Menteri dan isterinya, kita tergamam. Melihatkan segelintir anak-anak muda mengangkat bendera lain, yang diberi nama Sang Saka Malaya, seakan-akan bendera Indonesia, Sang Saka Merah Putih, mengingatkan kita apakah unsur-unsur subversif (tempatan dan asing) sudah mulai meresapi dan menguasai generasi kita?
Mungkinkah mereka terlalu berani berbuat demikian kerana Malaysia kini sudah terlalu terbuka. Tiada lagi ISA, tiada lagi EO (Ordinan Darurat), Akta Hasutan dan lain-lain. Malah kita juga belum melihat akta yang menggantikan ISA dilaksanakan? Malaysia kini sebenarnya terlalu baik dan tolerans.
Itu pasal perkara yang tidak terfikir di fikiran kita sebelum ini, kini sedang berlaku.
Apakah Malaysia kini sudah terlalu demokratik, terlalu bebas? Tapi persoalannya siapa yang peduli?
Adakah pihak tertentu di Amerika Syarikat, yang turut membiayai NGO pembangkang di Malaysia, termasuk Suaram dan portal-portal media anti kerajaan atas nama kebebasan bersuara, peduli? Apakah Singapura dan Indonesia juga peduli?
Malaysia tanah air tercinta ini, sepatutnya ditentukan oleh kita sendiri, bukan mereka!

No comments:

Post a Comment