Friday, 7 September 2012

Memacu pertumbuhan saksama bandar - luar bandar

SUDAH semestinya ekonomi pasaran bebas tidak sesuai diamalkan di Malaysia. Ekonomi pasaran bebas yang hanya mementingkan yang kuat dan kaya sahaja tetapi mengabaikan yang lemah mempunyai banyak kelemahan yang amat ketara.
Krisis subprima di Amerika Syarikat (AS) dan krisis hutang di zon Eropah menggambarkan dasar ekonomi pasaran bebas tidak mendatangkan kemakmuran yang holistik kepada rakyat. Laungan prinsip keadilan yang diuar-uarkan oleh negara Barat hanya sekadar omongan kosong.
Pengangguran semakin bertambah, rakyat semakin melarat manakala jurang kekayaan di antara golongan kaya dengan yang miskin semakin melebar.
Dasar ekonomi pasaran bebas telah lama dipinggirkan oleh Malaysia. Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diasaskan pada era 1970-an berteraskan kepada prinsip keadilan sosial banyak membantu rakyat Malaysia. Melalui dasar ekonomi ini, kadar pertumbuhan ekonomi juga menjadi fokus utama.
Sememangnya dasar ini berjalan dengan baik sehinggalah Krisis Kewangan Asia 1997/1998 melanda negara telah memperlihatkan betapa masih ada ruang penambahbaikan terhadap dasar ini.
Malaysia memerlukan satu dasar ekonomi yang dapat memacu pertumbuhan secara saksama. Penulis lebih gemar menggunakan perkataan saksama bagi menggambarkan kepentingan keadilan sosial untuk semua pihak di Malaysia.
Dasar-dasar ekonomi yang saksama tidak boleh memihak mana-mana pihak mahupun lokasi. Sebagai contoh apabila sesuatu kaum sahaja yang mengawal ekonomi ia menggambarkan keadilan sosial dalam ekonomi tidak dilaksanakan dengan baik. Dasar ekonomi keadilan sosial perlu membantu kaum yang lemah.
Nikmat kekayaan bukan hanya untuk golongan kaya. Di Malaysia, diketahui umum, kaum bumiputera masih ketinggalan dalam banyak perkara, misalnya dalam pemilikan hartanah mewah, maka, dalam memastikan dasar ekonomi dilaksanakan dengan saksama, kaum ini juga berhak untuk memiliki hartanah yang lebih banyak dan bernilai tinggi. Bezanya dalam pasaran bebas, kaum bumiputera akan dipinggirkan terus menerus kerana mereka ini adalah kaum lemah.
Maka, mereka tidak layak untuk memiliki hartanah mewah di bandar meskipun mereka ini golongan majoriti rakyat Malaysia. Secara tidak langsung, sedikit demi sedikit kaum bumiputera disisihkan dalam arus pembangunan ekonomi bandar dan akhirnya mereka terpaksa mencari tempat baru untuk bertapak mencari rezeki. Di manakah tempatnya jika tidak di tempat asal mereka iaitu di kampung-kampung. Ini amatlah tidak baik untuk negara dalam jangka masa panjang.
Malahan, dasar ekonomi pasaran bebas yang tidak adil ini akan memberi kesan negatif dari segi perpaduan kaum. Dengan mengamalkan dasar ekonomi keadilan sosial, jurang besar ekonomi antara kaum dapat dikurangkan, rasa tidak puas hati pula di kalangan mereka dapat diminimumkan manakala ekonomi negara dapat dipacu dengan lebih saksama dan mapan.
Bagaimanapun ia tidak mudah dilaksanakan kerana dalam mana-mana sistem ekonomi dunia sekalipun masih ada segelintir golongan yang oportunis yang hanya memikirkan diri sendiri. Ini tidak menghairankan kerana sekian lama dasar ekonomi pasaran bebas telah menjajah pemikiran golongan sebegini.
Bagi mengubah pemikiran mereka agar lebih melihat kemaslahatan masyarakat secara menyeluruh, dasar-dasar ekonomi yang sedang dan akan dilaksanakan perlu mengambil kira pendekatan inovatif, kreatif, tegas dan berani serta wasatiyyah. Inilah yang dikatakan sebagai memecah tembok kemustahilan bagi memastikan pengagihan kek ekonomi dilaksanakan dengan saksama.
Dasar ekonomi yang menitik beratkan keadilan sosial juga tidak boleh meminggirkan kawasan luar bandar. Penumpuan yang berlebihan terhadap ekonomi di bandar-bandar besar menyebabkan modal insan di luar bandar berhijrah secara besar-besaran ke bandar seperti Kuala Lumpur dan produk-produk luar bandar pula dipinggirkan.
Implikasinya cukup besar sama sekali kerana apa akan terjadi kepada ekonomi luar bandar jika tiadanya modal insan terbaik untuk memacu ekonomi luar bandar? Jurang kekayaan di antara bandar dan luar bandar semakin melebar manakala taraf hidup penduduk bandar akan semakin tinggi berbanding penduduk luar bandar sedangkan pertumbuhan yang saksama mestilah melibatkan keterangkuman sebagaimana yang ditetapkan dalam Model Baru Ekonomi (MBE).
Kuantiti dan kualiti pertumbuhan hanya menjadi sia-sia belaka jika tidak melibatkan prinsip keterangkuman untuk seluruh rakyat. Bagi mereka yang kurang bernasib baik seperti ibu tunggal, anak yatim, orang miskin dan orang kelainan upaya (OKU) juga perlu diberi perhatian dalam Bajet 2013 selain golongan berpendapatan sederhana ke bawah.
Sejumlah besar program dan insentif dalam Bajet 2013 mestilah tertumpu kepada mereka kerana merekalah yang paling banyak terkena tempias kos sara hidup yang semakin tinggi.
Bagi memperkukuhkan ekonomi negara dan mempertingkatkan produktiviti, seterusnya meningkatkan pendapatan rakyat ke tahap negara terbaik, agihan Bajet 2013 perlu dibuat secara berhemah mengambil kira kemampuan kewangan kerajaan. Justeru, pengurangan defisit dan hutang kerajaan patut menjadi agenda utama Bajet 2013 supaya ekonomi negara akan kekal mapan dan seterusnya kekayaan negara dapat diagihkan secara saksama.
Inilah cabaran dan intipati utama yang perlu ditekankan dalam Bajet 2013 agar semua pihak dapat merasai kemakmuran negara. Hanya kerajaan yang berpegang pada prinsip keadilan sosial mampu untuk mengharungi cabaran ini dan juga dapat melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat dengan saksama.

No comments:

Post a Comment