Patriotik dikompromi kerana politik?
Hujung minggu yang dipenuhi dengan jamuan rumah terbuka hari raya dan majlis kenduri kahwin telah mencetuskan perbualan hangat perkara seperti di atas di kalangan tetamu yang hadir. Itu keluhan suara majoriti rakyat yang mahu sesuatu tindakan dikenakan ke atas mereka yang terlibat mempromosikan 'bendera baru' Malaysia dan juga insiden memijak gambar Perdana Menteri.Rata-rata orang ramai bersuara sesama sendiri. Mereka amat marah terhadap insiden 'bendera baru'. Seperti sudah sepakat, walaupun berlainan ideologi politik, mereka mengutuk keras insiden tersebut. Malah mereka juga melontarkan persoalan utama, jika pihak berkuasa tidak mengambil tindakan, hendak mengharapkan siapa pula?
Apakah semboyan pilihan raya umum yang telah lama dibunyikan, maka perkara mencabar kedaulatan dan maruah negara boleh dikompromi dan 'dilembutkan' tindakannya? Ini insiden melibatkan kenegaraan dan kedaulatan negara. Lebih-lebih lagi ia berlaku di ambang sambutan kemerdekaan negara yang ke-55. Di manakah jati diri warganegara yang sewenang-wenangnya boleh mempermainkan panji negara?
Pemimpin negara harus ingat bahawa dalam mengejar populariti dan sokongan rakyat untuk meraih undi dalam pilihan raya, suara majoriti rakyat yang tidak menganggotai mana-mana parti politik tidak harus dibiarkan begitu sahaja. Berjuta-juta rakyat yang mempunyai hak mengundi dan tidak mendokong mana-mana parti politik sedang memerhatikan tindakan selanjutnya daripada pemimpin negara berkaitan insiden tersebut.
Jangan sampai insiden 'bendera baru' ini akan mengakibatkan kerajaan sekarang hilang populariti dan hilang undi. Silent voters boleh beralih arah pada bila-bila masa sahaja. Tagihan slogan Janji Ditepati mampu dilupakan oleh golongan ini akibat tiadanya tindakan segera dan keras daripada pihak berkuasa.
Jangan takut mengambil tindakan disebabkan takut sokongan politik akan berkurangan. Ini soal patriotik bukannya politik.
Saya secara peribadi merayu kepada pihak kepimpinan negara, lakukan sesuatu dengan segera. Ramai masih sayangkan kerajaan yang didokong oleh BN pada hari ini. Ramai juga telah mula bersuara di laman sosial mengapa kerajaan lambat bertindak. Tidak semestinya mereka yang memberi komen yang keras menentang kerajaan.
No comments:
Post a Comment