Sunday, 9 September 2012

Krisis Keyakinan Intelek Pas?


Dr Mashitah Ibrahim – Umum tahu kenapa Datuk Dr Hassan Ali meninggalkan Pas. Beliau seorang ilmuwan, pakar motivasi dan bekas pensyarah universiti. Sepanjang pembabitan beliau dalam Pas, Dr Hassan diberi banyak tugas penting dan memegang pelbagai jawatan tinggi termasuk Naib Presiden dan Pesuruhjaya Pas Selangor.
Semasa meninggalkan Pas, beliau adalah Exco Kerajaan Selangor bagi hal ehwal agama. Namun, ini semua bukan lagi perkiraan apabila beliau mendapati hala tuju Pas sudah tidak selari dengan prinsip dan perjuangan politiknya.
Saya percaya inilah juga dilema yang dihadapi seorang lagi intelek dalam Pas, iaitu Ustaz Nasharudin Mat Isa. Beliau juga seorang bekas pensyarah dan tokoh akademik semasa mula-mula bersama Pas dahulu.
Seperti Dr Hassan, beliau juga diangkat menjadi pemimpin dalam parti sehingga menjawat jawatan Timbalan Presiden dan masih Ahli Parlimen Bachok. Namun, akhir-akhir ini, beliau mendapati perjuangan Pas semakin menyimpang daripada perjuangan asal.
Jelas, beliau tidak selesa dengan kedudukan Pas dalam Pakatan Rakyat, khususnya hubungan politik dengan DAP.
Adakah golongan intelek dalam Pas semakin hilang kepercayaan kepada parti atau dipinggirkan? Dalam buku Resah Manusia Desa Dan Kota: Sebuah Festschrift Untuk Shahnon Ahmad (Ed. Siti Hajar Che Man, USM, Pulau Pinang, 2010), Dr Rahimah A Hamid berpendapat antara punca Profesor Emeritus itu ‘menjeruk perasaan’ ialah sikap golongan muda yang semakin hilang hormat kepada para ulama.
Golongan muda mahu ulama kunci mulut dan kurang bercakap sementara pemimpin-pemimpin daripada golongan profesional pula dinobatkan. Menurut pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM ini, Shahnon tidak gemar dengan reformasi yang berlaku dalam Pas.
Beliau memetik kata-kata Shahnon: “Pada ketika-ketika tertentu, penyesalan kadang-kadang melanda hati. Mengapa gerangan aku boleh terjebak dalam jaringan politik murahan begini?” (Buku Perjalananku Sejauh Ini: Sebuah Autobriografi, 2006, hal 117).
Menurut Dr Rahimah lagi, walaupun Shahnon pernah mendakwa dirinya “ahli Pas seumur hidup’, kata-kata beliau jelas memperlihatkan kekesalannya terlibat dengan parti itu.
Padahal, penyertaannya dalam Pas telah memungkinkan Profesor Emeritus itu menjadi Ahli Parlimen Sik. Namun, khidmatnya singkat – cuma satu penggal sahaja.
Seorang lagi pensyarah USM, Dr Sohaimi Abdul Aziz berkata gelaran YB terlalu berat untuk Sasterawan Negara itu. Katanya, Shahnon tidak begitu selesa. Dalam buku sama, Dr Sohaimi menulis:
“Terlalu banyak kepalsuan yang ditemui… menjadi wakil rakyat parti pembangkang, iaitu Pas pada tahun 1999 tidak membawa banyak erti kepada kehidupannya… Sebagai wakil rakyat, penglibatannya dalam perbahasan di Parlimen tidak semurni dan seintelektual berbanding dalam dunia akademik.
Kemudian, parti Pas pula tidak lagi diterajui oleh barisan ulama. Sehubungan itu, beliau berpendapat bahawa jemaah Pas tidak lagi berpaksi kepada akidah secara total. Kelemahan mula terasa dalam perjuangan Pas.” (hal 214)
Inilah ironi Pas hari ini. Dalam mana para pemimpinnya nampak begitu suka menerima kemasukan beberapa kerat artis dan selebriti, sebilangan ilmuwan dan para intelek pula yang meninggalkan perjuangannya.
Ketika beberapa pelakon, penyanyi dan pemuzik diarak untuk berceramah ke sana ke mari, golongan intelek dalam Pas semakin hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan.
Manakala para artis yang menjadi ahli baru mendapat publisiti meluas dalam media parti, peranan dan sumbangan golongan intelek hampir tidak kelihatan. Malah bagi mereka, Pas sudah melencong jauh daripada perjuangan sebenar, sehingga hampir tiada lagi rupa paras asal.

No comments:

Post a Comment