Monday, 10 September 2012

Kesederhanaan hapus ekstremisme

Khalek Awang
2012/07/10


Tiada idea yang boleh beroperasi di dalam keadaan vakum. Rangsangan dalaman dan luaran adalah kunci kepada kelahiran mana-mana konsep perhubungan antarabangsa.

Begitu juga dengan idea seperti Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM).

GMM pada asalnya diperjelaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke-65 pada September 2010.

Matlamatnya adalah untuk menggalakkan aliran sederhana dan menyatukan dunia dengan meminggirkan ‘bisikan minoriti’ agar suara kesederhanaan jelas kedengaran. Ada dua sebab mengapa GMM diperlukan.

Pertama, Perdana Menteri sememangnya prihatin terhadap kealpaan kebanyakan kerajaan dan badan bukan kerajaan mengenai masa depan perhubungan antarabangsa.

Idea yang popular seperti pertembungan tamadun, ancaman China dan kebangkitan yang lain telah menembusi wacana antarabangsa, dan seterusnya mempengaruhi cara kita melihat isu perhubungan antarabangsa.

Namun, pertempuran antara sederhana dengan ekstremisme adalah satu aspek yang patut diambil kira tetapi isu ini telah diabaikan.

Masa depan kita hanya satu iaitu di antara sederhana dan ekstremisme, Perdana Menteri mengetengahkan isu ini di Mesyuarat Asia Eropah, Mesyuarat Ketua Kerajaan Komanwel, Mesyuarat Asia Pasifik Eropah (APEC) dan ASEAN pada 2010-2011.

Kedua, walaupun dunia jelas dibanjiri banyak masalah, seperti perubahan iklim, penyeludupan manusia global, aliran dana haram, ketergantungan perbankan antarabangsa dan jaminan kredit besar-besaran, pelbagai pihak di negara maju masih mengutarakan penafian berulang.

Perdana Menteri dengan secara tepatnya menjelaskan isu ini pada Persidangan Antarabangsa Pergerakan Kesederhanaan Global, di Kuala Lumpur pada Januari lalu, bahawa kos untuk menyelamatkan sistem kewangan antarabangsa pada 2008-2009 adalah beberapa kali ganda lebih tinggi berbanding serangan Tentera Bersekutu di Iraq dan Afghanistan.

Sistem perbankan antarabangsa yang beroperasi berdasarkan unsur ekstremisme memerlukan campur tangan kerajaan berterusan dan ini telah menjejaskan kepentingan setiap pembayar cukai.

Dengan kata lain, ekstremisme tidak lagi hanya berlaku dalam bidang agama, ia telah menular ke sektor sekular, ini termasuk perbankan, ekonomi dan kewangan.

Jika golongan pelampau masih dibenarkan meneruskan formula ini walaupun telah terbukti berat sebelah, ia pasti akan mendatangkan implikasi negatif kepada dunia. Ini jelas terbukti menerusi cara kuasa besar dunia menangani isu Palestin.

Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global (GMMF) ditubuhkan oleh Perdana Menteri untuk mencabar kepelba-gaian manifestasi ekstremisme dengan mempromosikan konsep dan amalan sederhana dari segi pembangunan lestari, pendidikan, penyelesaian konflik, kedaulatan undang-undang dan demokrasi, ekonomi dan kewangan demi kesejahteraan sejagat yang berterusan.

Pencapaian menggalakkan setakat ini adalah inisiatif ini telah diluluskan pada peringkat ASEAN. Kertas kerja tentang konsep GMM kini berada di tangan Dr Surin Pitsuwan, Setiausaha Agung ASEAN.

Disebabkan rekod cemerlang dalam mengekalkan keamanan dan kemakmuran di rantau ini, ASEAN diamanahkan dengan tanggungjawab untuk mengoperasikan konsep GMM pada peringkat tempatan, nasional dan antarabangsa.

Dalam konteks ini, GMMF berfungsi sebagai pusat pertama dalam penyebaran maklumat penting tentang GMM di rantau ini, dan juga di seluruh dunia.

Adalah menjadi harapan besar agar GMM boleh menarik minat dan sokongan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang dapat melihat nilai ini mampu menyatukan seluruh dunia demi kepentingan bersama, dan akhirnya berjaya menjauhi daripada ortodoks.

Ekstremisme akan terus berkembang selagi kita tidak mencabarnya secara logik, sistematik dan kreatif.

GMMF berhasrat menumpas ekstremisme berpandukan kesederhanaan, dan kita berkeyakinan mencapai kemenangan disebabkan sederhana adalah berakar umbi dalam demokrasi tulen dan pemikiran kreatif.

No comments:

Post a Comment