Monday, 11 June 2012

PTPTN : Anwar Hanya Pandai Berjanji, UNISEL Yang Susah




 “Akibat mulut badan binasa,” itulah kiasan yang paling tepat dalam kes antara janji Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kes ujian pembekuan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Universiti Industri Selangor (UNISEL) dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

April lalu, ketua pembangkang mencanang idea pendidikan percuma dan pemansuhan PTPTN untuk menarik undi golongan muda.

Malah lebih dramatik lagi, Ketua Umum PKR itu menyeru kepada golongan peminjam supaya tidak membuat bayaran kepada PTPTN, meskipun Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Othman berkata haram hukumnya, jika sekiranya peminjam PTPTN tidak melunaskan semula hutang yang dipinjamkannya.

6 Jun lalu, pihak UINSEL dan KUIS, dua intitusi pendidikan yang di bawah kerajaan negeri Selangor mengalami kekecohan apabila pinjaman PTPTN dibekukan di kedua institusi itu.

Menteri pengajian tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyalahkan Anwar Ibrahim dalam isu pinjaman tersebut yang berjanji tanpa sebarang persediaan untuk mengotakan janjinya itu
“Beritahu Anwar yang gesa peminjam jangan bayar hutang PTPTN. Bagi Pakatan Rakyat dan PKR, PTPTN menyebabkan pelajar berhutang dan atas sebab itu mereka gesa pelajar jangan bayar balik hutang PTPTN.

“Unisel boleh hapuskan yuran, dengan sendirinya memenuhi matlamat pendidikan percuma dan penutupan PTPTN yang dilaungkan Anwar dan Pakatan,” katanya dalam Twitter seperti dilaporkan Malaysiakini.

9 Jun, PTPTN menarik balik pembekuan itu setelah rayuan dibuat oleh universiti berkenaan.
“PTPTN sekadar ingin menguji sama ada negeri ini serius dalam menyediakan pendidikan percuma.
“Sekarang mereka telah mengakui kepentingan PTPTN, jelas sekali mereka tidak dapat mencapai matlamat memberikan pendidikan percuma,” kata Menteri Pengajian Tinggi pada Jumaat.

Menurutnya, rayuan yang dikemukakan oleh UNISEL supaya menarik balik pembekuan penyaluran pinjaman PTPTN kepada pelajarnya membuktikan pinjaman tersebut relevan dan masih diperlukan.
Mohamed Khaled berkata, surat rayuan oleh Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad memaklumkan pelbagai perkara termasuk kekesalan pihak universiti mengenai tindakan sekumpulan kecil pelajarnya yang terlibat dalam demonstrasi menuntut pemansuhan pinjaman PTPTN di Dataran Merdeka.

“Surat itu antara lain menyatakan bahawa Unisel tidak bersetuju dengan perbuatan pelajar terbabit dan berkata mereka mungkin dipengaruhi oleh pelajar universiti lain untuk bertindak sedemikian.
“Mereka juga merayu supaya penangguhan pinjaman dibatalkan kerana pelajarnya amat memerlukan pinjaman tersebut.

“Memansuhkan PTPTN dan menyediakan pendidikan secara percuma tidak mudah.
“Pembangkang perlu berfikir bagaimana cara untuk berurusan dengan pembayaran balik RM4 bilion yang sudah diselesaikan oleh para pelajar dan hutang RM29 bilion PTPTN kepada bank,” katanya.

Dalam pada itu, laman suarapakatanrakyat menggesa agar Naib Canselor UNISEL dipecat kerana bertindak membelakangi kerajaan negeri apabila membuat rayuan kepada PTPTN.

“Sepatutnyalah sebagai sebuah agensi dibawah kerajaan negeri, UNISEL menunggu arahan selanjutnya dari kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum membuat keputusan menghantar surat rayuan kepada PTPTN.

“Kelihatannya UNISEL tidak yakin dengan kemampuan kerajaan negeri menguruskan masalah ini dan lebih sanggup mengambil tindakan sendiri tanpa memikirkan implikasi dari tindakan tersebut terhadap imej kerajaan negeri dan Pakatan Rakyat.

“Sedarkah UNISEL bahawa akibat dari tindakannya itu, masyarakat semakin tidak yakin Pakatan Rakyat mampu melaksanakan janji untuk memberi pendidikan percuma kepada seluruh rakyat Malaysia?, “kata penulis laman itu.

No comments:

Post a Comment