Malaysia model contoh menentang rasuah
PIHAK yang sering mencanang Malaysia sebagai sebuah negara yang diselubungi rasuah minggu lalu menerima tamparan hebat apabila sebuah media Barat mengangkat negara ini sebagai model contoh dalam menentang aktiviti rasuah.Bagai meletakkan 'garam ke luka' bagi musuh kepimpinan negara, penulis rencana itu juga adalah pengasas bersama Transparency International, Michael J. Hershman yang menganggap sistem anti rasuah Malaysia di bawah program transformasi Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai sesuatu yang komprehensif dan unik.
Hershman dalam artikel bertarikh 22 Jun itu menasihatkan agar negara yang terlibat dalam rusuhan 'Arab Spring' mahupun negara yang berisiko mengalami nasib serupa melihat kepada model inovatif Malaysia dalam menentang rasuah, isu utama yang membawa kepada kebangkitan rakyat di sana.
Antara contoh yang dipuji beliau adalah penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2008, satu badan tetap bagi mengatasi kelemahan yang timbul dalam usaha menentang gejala rasuah dalam kerajaan, dunia perniagaan dan masyarakat setempat.
Selain itu, penglibatan kakitangan awam dan komuniti perniagaan dalam usaha itu turut dipuji melalui Perjanjian Integriti secara sukarela yang bukan sahaja memberi insentif tertentu malahan implikasi besar jika terlibat dengan aktiviti rasuah.
Hershman turut mengaitkan ketelusan dan pembaharuan perundangan sebagai salah satu strategi penting bagi Malaysia menentang aktiviti rasuah terutamanya penubuhan mahkamah anti rasuah dan memendekkan perjalanan kes rasuah dalam tempoh 12 bulan sahaja.
Peningkatan penggunaan pangkalan data elektronik untuk proses pemerolehan, akauntabiliti, memudahkan ketelusan penuh, kemampuan mengaudit serta penubuhan Akademi Anti Rasuah Malaysia turut dilihat satu kejayaan bagi Malaysia.
Walaupun masih ada ruang penambahbaikan, beliau mengakui sistem anti rasuah Malaysia masih dalam proses pembangunan tetapi menegaskan komitmen dan sasaran jelas telah ditonjolkan di bawah program transformasi untuk kerajaan dan ekonomi oleh Perdana Menteri.
Bagi pensyarah di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling, apa yang ditulis Hershman itu merupakan satu pengiktirafan masyarakat antarabangsa terhadap kualiti pentadbiran dan pengurusan negara.
"Usul Hershman agar Malaysia dijadikan model contoh negara luar dalam menentang rasuah bertepatan kerana kerajaan telah memberi kuasa besar kepada SPRM sehingga berjaya menurunkan kadar rasuah.
"Rakyat kita juga perlu sedar keberkesanan usaha kerajaan menentang rasuah sedangkan orang luar sendiri telah memperakuinya," katanya.
Tegasnya, walaupun langkah-langkah yang diambil kerajaan positif dan berkesan, pengiktirafan terhadap kejayaan itu juga sesuatu yang penting.
Menurutnya lagi, proses transformasi menentang rasuah sejak 2008 menggambarkan kesungguhan Perdana Menteri membawa pembaharuan dan meningkatkan kualiti dalam urus tadbir negara dan masyarakat.
"Ini bagi menjamin kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat dan negara ini. Apa yang ditulis Hershman itu perlu dilihat secara positif dan secara meluas kerana ia satu pengiktirafan. Mereka yang kutuk atau kritik artikel beliau itu menunjukkan usaha memburukkan imej SPRM dan kerajaan di mata rakyat demi kepentingan peribadi, sedangkan ia benda baik dan berfaedah," ujarnya.
Berkenaan komen negatif terhadap artikel Hersman yang dipaparkan melalui blog dan media alternatif, Mohamad Faisol beranggapan minda pemikiran dan sifat semulajadi pembangkang adalah untuk bangkang sahaja dan cuba mengaburi mata rakyat terhadap kebaikan yang dilakukan kerajaan.
"Malang bila orang kita sendiri runtuhkan negara sedang orang lain memuji. Masyarakat sepatutnya bersama membantu usaha menentang rasuah ini dan menilai hasilnya secara adil. Pembaharuan dalam sesuatu dasar akan mengambil masa dan tidak mungkin melihat hasilnya dalam sekelip mata," tegasnya.
Beliau berpendapat proses transformasi minda dan sikap manusia berkaitan amalan rasuah adalah yang paling sukar dan akan mengambil masa panjang.
Tambahnya, walaupun ada sudut yang boleh ditingkatkan, pengiktirafan antarabangsa dalam tempoh singkat program transformasi oleh Perdana Menteri menjadi bukti ia satu kejayaan bagi negara.
Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak pula berpendapat mereka yang jujur dan tiada kepentingan politik pasti dapat menilai apa yang dicapai Malaysia dalam menentang rasuah.
"Bukan sahaja rasuah, kita juga telah berusaha keras mengurangkan jurang sosioekonomi antara orang kaya dan miskin, lebih-lebih lagi bila melibatkan jurang etnik.
"Bila satu kaum dilihat kaya dan satu lagi miskin, ini berpotensi membawa ketidakstabilan. Kita telah mengenalpasti masalah itu dan menjadikan usaha menanganinya satu agenda nasional," katanya.
Usaha mengurangkan jurang antara yang kaya dan miskin itu tegasnya, juga dapat mengurangkan potensi berlakunya rasuah.
Jelas beliau, Arab Spring berlaku apabila kumpulan majoriti merasakan mereka tiada apa-apa sementara yang minoriti dan pemerintah ada segalanya.
"Kita berjaya urus dan bangunkan negara sehingga kekayaan dapat dikongsi. Walaupun ada yang tidak berpuas hati, sekurang-kurangnya tidak sampai tahap rakyat merasakan tiada apa-apa.
"Demokrasi sahaja tidak cukup, perlu ada dasar kurangkan jurang kaya-miskin, menentang rasuah dan pendidikan. Inilah resipi rahsia kita sejak merdeka," ujarnya.
Tambahnya, kombinasi pelbagai faktor ini memainkan peranan penting dan sekalipun Malaysia tidak bersih sepenuhnya, sekurang-kurangnya negara ini tidak sekumpulan dengan negara yang teruk amalan rasuahnya.
"Jika mahu banding, lihat kepada situasi rasuah di Indonesia, Thailand dan Filipina. Mereka juga ada demokrasi tetapi rasuah tetap banyak berlaku. Jangan pula dibanding dengan Singapura yang sudah capai negara maju serta pendapatan per kapita yang tinggi," tegasnya.
Menurutnya lagi, Singapura juga lebih kecil dan penduduknya jauh lebih sedikit dengan sebilangan besar daripada mereka membayar cukai berbanding sekitar satu juta rakyat Malaysia sahaja membayar cukai individu.
No comments:
Post a Comment