Kisah Imam
Hanafi wajar dijadikan Teladan
oleh Mohd Noordeen
Pada suatu
ketika, kota Baghdad didatangi oleh seorang pendakyah Yahudi bernama Dahri. Kedatangannya
mencetuskan kegemparan dikalangan umat Islam. Dahri cuba merosakkan pegangan
umat Islam dengan membahaskan soal-soal yang berhubung kait dengan ketuhanan.
Dicabarnya para ulama Baghdad untuk berdebat dengannya. Setiap kali cabarannya
disahut, hujah-hujah Dahri tidak pernah dapat dipatahkan sehingga akhirnya
tidak ada lagi ulama Baghdad dan ulama-ulama disekitarnya yang sanggup
berhadapan dengannya.
Dari
kejadiannya ini, tahulah Khalifah bahawa Baghdad sudah ketiadaan ulama yang
benar-benar berwibawa dan tinggi ketaqwaannya. Lalu Khalifah memerintahkan
beberapa orang menteri meninjau ke daerah lain, kalau-kalau masih ada ulama
yang boleh dibawa berdepan dengan Dahri. Akhirnnya wakil Khalifah menemui Imam
Hammad bin Abi Sulaimann Al-Asyari, seorang ulama yang tidak kurang juga
ketokohannya.Khalifah memerintahkan supaya hari perdebatan antara Imam Hammad dan Dahri disegerakan. Dan majlis bersejarah itu mesti dibuat di Masjid Jamek di tengah-tengah kota Baghdad. Sehari sebelum pertemuan itu lagi, Masjid Jamek telah penuh sesak dengan orang ramai.
Masing-masing menaruh harapan agar Imam Hammad berjaya menumbangkan Dahri kerana beliaulah satu-satunya ulama yang diharapkan. "Subhanallah.... Subhanallah .... Walahaulawala quwwata illa billahi a'liyyil a'zim!" Lidah Imam Hammad terus melafazkan kalimat mensucikan segala tohmahan yang tidak layak bagi Zat yang Maha Agung. Dia beristighfar terus. Rasanya dah tidak sanggup telinganya menadah bermacam tohmahan yang dilemparkan oleh Dahri yang biadab dan materialis itu.
Mempertikaikan KeEsaan Allah SWT bukanlah perkara kecil dalam Islam. Ini kes berat! Hatinya cukup pedih. Roh ketauhidannya bergelora. Mahu rasanya dipenggal leher si Dahri yang angkuh itu di depan ribuan mata yang turut hadir dalam majlis iru. Keesokannya, pagi-pagi lagi muncul Abu Hanifah, murid Imam Hammad yang paling rapat dan yang paling disayanginya. Namanya yang sebenar ialah Nu' man, yang ketika itu usianya masih lagi remaja. Bila ternampak keadaan gurunya itu, Abu Hanifah pun bertanya untuk mendapat kepastian. Lalu Imam Hammad menceritakan keadaan yang sebenar. Dalam pada itu teringat Hammad akan mimpinya malam tadi, lalu dikhabarkan kepada muridnya itu. Abu Hanifah mendengarnya dengan penuh khusyuk.
"Aku
bermimpi ada sebuah dusun yang amat luas lagi indah. Di sana kulihat ada
sepohon kayu yang rendang dan lebat buahnya. Tiba-tiba, di situ keluar seekor
khinzir dari hujung sebuah kampung. Lalu habis dimakannya buah-buahan yang
masak ranum dari pokok itu. Hingga ke daun dan dahan-dahannya habis
ditutuh.Yang tinggal cuma batangnya sahaja. Dalam pada itu juga keluar seekor
harimau daripada umbi pohon rendang tadi lalu menerkam khinzir itu dengan gigi
dan kukunya yang tajam.Lalu, khinzir tadi mati disitu juga." Hammad
termenung seketika.
Kekalutan
pemikiran yang telah dicetuskan Dahri, yang boleh menggugat pegangan aqidah
umat ini,tidak boleh di biarkan. Mesti dihapuskan segera. Wajahnya yang tenang
bagai air sungai yang mengalir jernih, masih nampak bercahaya walau di saat
sebegitu genting. Satu kelebihan Abu Hanifah ialah beliau juga dikurniakan
Allah ilmu menta'bir mimpi, sebagai mana nabi Allah Yusuf. Pada pengamatannya
juga, mimpi tersebut akan memberi petanda baik bahawa si Dahri pasti akan
menerima padahnya nanti. Dan setelah mendapat keizinan gurunya, dia pun cuba
mentafsirnya:
"Apa
yang tuan lihat dalam mimpi tuan sebagai dusun yang luas lagi indah itu adalah
tamsilan kepada agama Islam kita. Pokok yang berbuah lebat itu adalah tamsilan
kepada sekalian ulamannya. Manakala sepohon kayu yang masih tinggal itu adalah
tuan sendiri. Dan khinzir yang tiba-tiba muncul dan merosakkan pohon tersebut
ialah si Dahri. Manakala harimau yang keluar lalu membunuh khinzir tadi adalah
saya", jelas Abu Hanifah.
Beliau juga
memohon izin untuk membantu gurunya berdepan dengan si Dahri. Betapa gembiranya
hati Imam Hammad bila tercetusnya hasrat itu dari hati muridnya sendiri. Maka
berangkatlah ilmuan budak itu bersama gurunya untuk pergi ke Masjid Jamek di
mana majlis dialog akan diadakan yang dihadiri oleh orang ramai dan Khalifah.
Seperti
biasanya, sebelum menyampaikan dakyahnya, Dahri akan mencabar dan
memperleceh-lecehkan ulama dengan bersuara lantang dari atas pentas.
"Hai
Dahri, apalah yang digusarkan. Orang yang mengetahuinya pasti
menjawabnya!" Tiba-tiba suara Abu Hanifah memeranjatkan Dahri dan
menyentakkan kaum Muslimin yang hadir. Dahri sendiri terkejut. Matanya
memandang tajam mata Abu Hanifah.
"Siapa
kamu hai anak muda? Berani sungguh menyahut cabaranku. Sedangkan ulama yang
hebat-hebat, yang berserban dan berjubah labuh telah ku kalahkan!" Lantang
suara Dahri membidas Abu Hanifah.
"Wahai
Dahri," balas Abu Hanifah, "sesungguhnya Allah tidak mengurniakan
kemuliaaan dan kebesaran itu pada serban atau jubah yang labuh. Tetapi Allah
mengurniakan kemuliaan kepada orang-orang yang berilmu dan bertaqwa." Abu
Hanifah lalu membacakan sebuah firman Allah SWT yang bermaksud:"Allah
telah meninggikan darjat orang beriman dan berilmu antara kamu beberapa
darjat." (Al-Mujadalah : 11 ) .
Geram
rasanya hati Dahri mendengarnya kepetahan lidah pemuda ini berhujah. Maka
berlangsunglah majlis dialog. Perdebatan antara Abu Hanifah dengan tokoh
Ad-dahriyyah, yang terkenal dengan pemikiran materialis dan ateisnya
itu,berlangsung dengan mendebarkan.
"Benarkah
Allah itu wujud?" Soal Dahri memulakan majlis dialognya."Bahkan Allah
memang wujud", tegas Abu Hanifah.
"Kalau
Allah maujud (wujud), di manakah tempatnya?" Suara Dahri semakin meninggi.
"Allah tetap wujud tetapi dia tidak bertempat!" Jelas Abu Hanifah.
"Hairan, kau kata Allah itu wujud, tetapi tidak bertempat pula?"
bantah Dahri sambil melemparkan senyuman sinisnya kepada hadirin.
"Ah,
itu senang sahaja wahai Dahri. Cuba kau lihat pada dirimu sendiri. Bukankah
pada dirimu itu ada nyawa?" Abu Hanifah mula berhujah. Orang ramai mula
memerhatikan gaya ilmuan muda ini berpidato dengan penuh minat. "Bahkan,
memang aku ada nyawa, dan memang setiap makhluk yang bernafas itu ada
nyawa.!" sahut Dahri.
"Tetapi
adakah kau tahu di manakah letaknya nyawa atau rohmu itu? Dikepalakah, diperutkah
atau adakah dihujung tapak kakimu?" Terserentak Dahri seketika. Orang
ramai mula berbisik-bisik sesama sendiri.
Setelah itu
Abu Hanifah mengambil pula segelas susu lalu ditunjukkan pada Dahri, seraya
berkata: "Adakah dalam air susu ini ada terkandung lemak?"Pantas
Dahri menjawab, "Ya, bahkan!"
Abu Hanifah
bertanya lagi, "kalau begitu dimanakah lemak itu berada? Di bahagian
atasnyakah atau dibawah?" Sekali lagi Dahri terserentak, tidak mampu
menjawab pertanyaan Abu Hanifah yang petah itu.
"Untuk
mencari dimanakah beradanya roh dalam jasad dan tersisip dimanakah kandungan
lemak dalam air susu ini pun kita tidak upaya, masakan pula kita dapat
menjangkau dimanakah beradanya Zat Allah SWT di alam ini? Zat yang telah
mencipta dan mentadbir seluruh alam ini termasuk roh dan akal dangkal kita ini,
pun ciptaan-Nya, yang tunduk dan patuh di bawah urusan tadbir kerajaan-Nya yang
Maha Agung!" Suasana menjadi agak bingar. Dahri terpaku di kerusi.
Terbungkam
lidahnya. Merah mukanya. Kesabarannya mula terburai. Bila keadaan agak reda,
Dahri membentangkan soalan. "Hai anak muda! Apakah yang wujud sebelum
Allah. Dan apa pula yang muncul selepas Dia nanti?" Semua mata tertumpu
pada Abu Hanifah, murid Imam Hammad yang pintar ini. "Wahai Dahri! Tidak
ada suatu pun yang wujud sebelum Allah Taala dan tidak ada sesuatu jua yang
akan muncul selepas-Nya. Allah SWT tetap Qadim dan Azali. Dialah yanng Awal dan
Dialah yang Akhir", tegas Abu Hanifah, ringkas tapi padat.
"Pelik
sungguh! Mana mungkin begitu.Tuhan Wujud tanpa ada permulaan Nya? Dan mana
mungkin Dia pula yang terakhir tanpa ada lagi yang selepas Nya?" Dahri
cuba berdalih dengan minda logiknya. Sambil menuding ibu jarinya ke langit,
dengan tersenyum Abu Hanifah menjelaskan, "Ya! Dalilnya ada pada diri kamu
sendiri. Cuba kau lihat pada ibu jari mu itu. Jari apakah yang kau nampak
berada sebelum jari ini?"
Dan beberapa
hadirin turut berbuat demikian. "Dan pada jari kelingking kau itu, ada
lagikah jari yang selepasnya." Dahri membelek-belek jarinya. Tidak
terfikir dia persoalan yang sekecil itu yang diambil oleh Abu Hanifah.
"Jadi, kalaulah pada jari kita yang kecil ini pun tidak mampu kita fikir,
apatah lagi Allah SWT Zat yang Maha Agung itu, yang tiada suatu pun yang
mendahului-Nya dan tiada sesuatu yang kemudian selepas-Nya."
Sekali lagi
Dahri tercenggang. Bungkam. Namun masih tidak berputus asa untuk mematahkan
hujah anak muda yang telah memalukannya di khalayak ramai. Khalifah
memerhatikan sahaja gelagat Dahri dengan penuh tanda tanya. Dahri berfikir
seketika, mencari jalan, mencari idea.
Semacam
suatu ilham baru telah menyuntik mindanya, diapun tersenyum. Hati Dahri
bergelodak bagai air tengah menggelegak. "Ini soalan yang terakhir buat mu
wahai budak mentah!" Sengaja Dahri mengeraskan suaranya agar rasa malunya
itu terperosok. "Allah itu ada, katamu. Ha, apakah pekerjaan Tuhan mu
ketika ini ?" Soalan tersebut membuat Abu Hanifah tersenyum riang.
"Ini
soalan yang sungguh menarik. Jadi kenalah dijawab dari tempat yang tinggi
supaya dapat didengar oleh semua orang!" Katanya. Pemuda ideologi
Ad-Dahriyyun yang sedari tadi mentalitinya dicabar terus, berjalan turun
meninggalkan mimbar masjid Jamek, memberi tempat untuk Abu Hanifah lalu Abu
Hanifah menjawab : "Wahai sekelian manusia. Ketahuilah bahawa kerja Allah
ketika ini ialah menggugurkan yang bathil sebagaimana Dahri yang berada di atas
mimbar, diturunkan Allah ke bawah mimbar. Dan Allah juga telah menaikkan yang
hak sebagaimana aku, yang berada di sana, telah dinaikkan ke atas mimbar Masjid
Jamek ini!"
Bagai
halilintar, hujah Abu Hanifah menerjah ke dua-dua pipi Dahri. Seiring dengan
itu bergemalah pekikan takbir dari orang ramai. Mereka memuji-muji kewibawaan
Abu Hanifah yang telah berjaya menyelamatkan maruah Islam dari lidah Dahri yang
sesat lagi menyesatkan itu. Sehingga ke hari ini, nama Imam Abu Hanifah terus
dikenali keserata dunia sebagai seorang Fuqaha dan salah seorang daripada Imam
Mujtahid Mutlak yang empat. Kemunculan Mazhab Hanafi dalam fiqh Syar'iyyah,
juga mengambil sempena nama ulama ini.
No comments:
Post a Comment