Integriti, kredibiliti dan mimpi
PERJALANAN Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan rakan-rakan dalam pakatan pembangkang terasa kian tidak keruan. Semakin sukar untuk mencari orang daripada parti ini yang ada kredibiliti - bersungguh-sungguh memegang kata dan mengagungkan janji.Yang ramai, hanya mahu melakukan kerja mudah - menjual mimpi. Tetapi apabila dikerah untuk mengotakan mimpi itu, masing-masing bersikap lepas tangan. Mereka lebih suka berkelit dan menuding jari menyalahkan pihak lain dan bukannya berdepan untuk menangani apa jua cabaran dan masalah.
Inilah drama baru yang kita saksikan dalam isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang memerangkap PKR dan pakatan pembangkang dalam satu rumusan bahawa mereka hanya jaguh atas pentas, tidak lebih sekadar parti tin kosong.
Walaupun pendekatan PTPTN membekukan pinjaman kepada pelajar baru Unisel bukanlah langkah bijak tetapi ia mengesahkan andaian selama ini bahawa janji pendidikan percuma di peringkat pengajian tinggi oleh mereka hanya temberang sahaja.
Betapa hipokritnya mereka. Bersuara lantang dan sanggup mengerah tenaga mengecam pinjaman PTPTN tetapi pada masa sama mahu pinjaman itu dikekalkan. Yang manakah mereka mahu, hapuskan atau teruskan PTPTN yang terbukti telah banyak membawa manfaat kepada keupayaan rakyat negara ini untuk mendapatkan pengajian lebih tinggi?
Betapa sukarnya memahami mereka. Berdegar-degar menyeru pelajar jangan bayar pinjaman sedangkan sebagai pertubuhan sahsiah yang bertanggungjawab, mereka sepatutnya bertungkus-lumus membantu pelajar untuk melangsaikan hutang kepada mana juga pihak.
Bersungguh-sungguhkah mereka dengan janji itu? Daripada cara kerajaan PKR Selangor yang mewarisi kerajaan kaya dan makmur menangani pembekuan sementara pinjaman PTPTN di Unisel itu, jelaslah mereka tidak melakukan sebarang persiapan
.
Jika benar mereka ikhlas dengan janji pendidikan percuma, sepatutnya yang mereka kecohkan ialah mencari jalan segera mengatasi masalah itu agar pengajian pelajar tidak terjejas, bukan beramai-ramai mengecam langkah tersebut sebagai satu tekanan supaya pembekuan ditarik balik.
Lihatlah siapa yang menaruh keyakinan terhadap langkah jangka pendek dan panjang yang diambil oleh Menteri Besar Selangor. Jika Unisel pun tidak yakin dengan merayu agar pinjaman PTPTN diteruskan, apatah lagi pelajar dan ibu bapa serta rakyat keseluruhannya?
Apakah setelah pembekuan itu ditarik balik mereka berterima kasih? Hanya pelajar, ibu bapa dan Naib Canselor Unisel, Prof. Dr. Anuar Ahmad yang berbuat demikian. Mereka lega kerana keputusan tersebut memberi semula peluang kepada kira-kira 80 peratus daripada lebih 1,000 pelajar pengambilan baru universiti itu menyambung pengajian.
Sementara mereka berterima kasih dan lega tetapi tidak ahli politik di sebelah sana itu. Malah ada pemimpin mereka menyeru supaya pelajar jangan berterima kasih kerana pinjaman itu merupakan hak pelajar berkenaan. Totok sungguh pegangan politik mereka.
Jika ini satu ujian kepada pakatan pembangkang, jelas mereka telah gagal. Mereka seharusnya berasa amat malu kerana ternyata tidak berupaya melaksanakan janji walaupun dalam konteks yang lebih kecil di peringkat negeri.
Bayangkan mimpi-mimpi besar mereka untuk menghapuskan tol, menurunkan harga minyak, membuat lebuh raya dan bermacam lagi. Sebagaimana bermacam alasan digunakan dalam ujian kecil ini, alasan yang sama akan digunakan.
Sekarang alasannya belum menawan Kerajaan Persekutuan. Kelak, jika benarlah majoriti rakyat akan memilih mereka tentu sekali akan muncul alasan ekonomi dunia menjadi penghalang.
Keadaan ini juga berlaku di Kelantan. Isu utama rakyat negeri itu yang mahukan air bersih sebagaimana dijanjikan sejak berpuluh tahun lalu dijawab pula dengan janji membangunkan lebuh raya.
Mudahnya cara mereka, gagal menjual mimpi air bersih, dijual pula mimpi lain sebuah lebuh raya berharga berbilion ringgit. Untuk menjadikan janji itu lebih manis, mereka membuat gimik ia sebagai lebuh raya rakyat.
Tetapi sebagaimana yang kerap dilakukan dalam janji-janji mereka terdahulu, ini tidak lebih sekadar gimik untuk meraih simpati rakyat. Ia dibuat sebagai cara mengelabui mata rakyat agar reda dengan kegagalan mereka menunaikan janji-janji terdahulu.
Supaya lebih dramatik, mereka menjalankan kempen kutipan derma untuk lebuh raya itu. Lihatlah, orang kampung sekarang pun tidak lagi mengutip derma untuk membuat atau memperbaiki jalan.
Itu era 60-an dan 70-an. Sekarang semuanya disedia dan diselenggarakan oleh kerajaan kerana itu adalah tanggungjawab asas sebuah kerajaan.
Begitu juga di Pulau Pinang yang menjanjikan sebuah kerajaan Cekap, Akauntabiliti dan Telus. Tetapi apakah yang kerajaan DAP lakukan selama hampir empat tahun ini menepati slogan itu?
Mereka yang memperjuangkan kebebasan akhbar tetapi apabila berkuasa mereka bertukar wajah menjadi juara menyekat kebebasan akhbar. Mereka dulu mengagumi hak bersuara tetapi kini mahu menguburkan pula falsafah universal itu.
Selain diboikot dari segi iklan dan jualan, media yang lantang mengkritik tidak diberikan akses untuk maklumat mengenai kerajaan negeri. Malah pihak yang memberikan sokongan kepada media tertentu juga diugut untuk diboikot.
Dalam tempoh empat tahun ini banyak perkara dapat disaksikan yang hanya memperlihatkan betapa orang politik boleh berubah apabila diberi kuasa. Yang lebih buruk, mereka tidak lagi lagi peduli untuk mengotakan janji kerana sebenarnya tahu ia tidak mampu untuk ditunaikan.
Tetapi kerana nafsu dan kenikmatan sementara, mereka sanggup berbohong dan terus berbohong walaupun sebenarnya tahu tidak mampu. Nyatalah daripada ujian-ujian kecil yang telah dilalui, pakatan pembangkang telah terkepung dengan mimpi-mimpi yang mereka cipta sendiri.
No comments:
Post a Comment