Benarkah
Pas parti Islam?
Oleh Zulkiflee Bakar -Pengarang@utusan.com.my
''DENGAN
begitu ramai orang Islam dan tok guru agama menyokong Pas, maka penggunaan
perkataan Islam kepada parti oleh pemimpin-pemimpin Pas sudah tidak dapat
dibatalkan lagi. Jika percubaan dibuat untuk membatalkan kelulusan yang
diperolehi daripada penjajah, Pas akan menjadikan perkara ini isu politik yang
besar.
''Mereka
akan menuduh UMNO mengharamkan Islam dan bukan mengharamkan penggunaan
perkataan 'Islam' dalam nama parti Pas…"
Itulah
petikan daripada ucapan dasar Tun Dr. Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung
UMNO pada November 1994.
Ketika itu,
Dr. Mahathir memberi penjelasan yang agak panjang lebar bagaimana Pas
ditubuhkan dan bagaimana perkataan Islam terdapat kepada parti tersebut.
Antaranya beliau menjelaskan, bahawa kelulusan nama Pas atau Parti Islam
SeMalaya atau nama Inggerisnya Pan Malayan Islamic Party (PMIP) diberikan oleh
British di zaman penjajah.
Kini isu
mengenai pengguguran perkataan Islam pada Pas itu timbul lagi, apabila Mufti
Perak, Tan Sri Harussani Zakaria bersedia untuk membawa perkara tersebut
dibincangkan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan.
Beliau mahu
berbuat demikian selepas membuat kenyataan yang cukup menyebabkan Pas
terutamanya Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat 'panas telinga',
apabila menyifatkan Pas kini sudah menyeleweng daripada matlamat asal serta
menyalahgunakan agama Islam demi kuasa dan kerusi politik.
Berikutan
itu, Harussani mencadangkan Majlis Fatwa Kebangsaan supaya mempertimbangkan
saranan diadakan muzakarah bagi membincangkan kewajaran parti itu menggunakan
perkataan Islam dalam nama parti.
Seperti
biasa, Pas akan melihat pandangan seumpama itu biar pun datang daripada seorang
mufti sebagai bermotif politik sebab itulah Nik Abdul Aziz menyifatkan
kenyataan Harussani sebagai 'pandangan lapuk seorang mufti'. Menteri Besar
Kelantan itu juga meminta Mufti Perak itu sebaik-baiknya tidak campur soal politik.
"Bila
nak nilai dasar dan perjuangan parti Islam seperti Pas, kena baca sejarahnya.
Kerana asal tertubuhnya Pas adalah terlibat sama 'orang UMNO' yang melihat UMNO
tak mampu berjuang Islam. Nampak sangat mufti tu tak baca sejarah," itulah
sindiran yang dibuat oleh Nik Abdul Aziz bagi mempertahankan Pas.
Tetapi
soalnya benarkah Pas sebuah parti Islam? Cubalah kaji fakta-fakta berikut:
l. Parti
Islam sebenar tidak akan menyalahkan musuh apabila mereka mengalami kegagalan
tetapi Pas apabila tewas dalam pilihan raya, mereka bukannya bermuhasabah,
mencari kesilapan sendiri dan berusaha memperbaiki kelemahan tetapi akan
menuduh UMNO dan Barisan Nasional (BN) menggunakan taktik kotor seperti membeli
undi, mengguna pengundi hantu dan menipu, serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
tidak telus.
2. Pas
membiarkan pemimpin-pemimpin memaki-hamun lawan politiknya di atas
pentas-pentas ceramah. Tindakan ini bertentangan dengan ajaran Islam kerana
Rasulullah SAW pernah bersabda; Sifat seorang mukmin itu tidak menjadi
tukang menghina, mengumpat dan mengeluarkan perkataan kesat dan kasar (terhadap
sesama mukmin).
3. Sikap Pas
lebih asabiah qaumiyyah kerana sanggup mempertahan dan membela
anggotanya yang bersalah. Ini jelas apabila Pas sentiasa menyifatkan apa juga
perkara yang berkaitan keburukan pemimpin parti itu atau sekutunya Parti
Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP ia adalah konspirasi politik UMNO dan BN.
4. Pas
menolak untuk mengadakan kerjasama dengan UMNO biar pun bagi membincangkan soal
perpaduan orang Melayu dan Islam. Tindakan ini bertentangan dengan ajaran Islam
yang mahu semua umat Islam bersatu padu dan tidak berpecah-belah.
Hakikatnya,
banyak lagi tindakan yang dilakukan oleh Pas yang dilihat bertentangan dengan
seruan Islam tetapi mereka masih mahu mendabik dada mengatakan mereka parti
Islam.
Justeru jika
sesiapa juga yang cuba memberi teguran biar pun secara ikhlas mengenai
kesilapan Pas maka mereka akan dituduh bermotif politik.
Begitulah
juga yang berlaku kepada Harussani apabila beliau bercakap mengenai
tindak-tanduk Pas sedangkan Harussani menegaskan, ''Kita hanya menasihat atas
perkara yang berlaku, bukan mahu campur hal politik. Namun, saya ingin tegaskan
apa perkara dalam dunia ini, mana yang tiada kena mengena dengan politik. Semua
perkara turut membabitkan politik. Kami hanya nyatakan hukum, kalau dia tak nak
dengar itu dia punya fasal, dia tanggung sendiri, tapi saya harus menjalankan
tanggungjawab."
Oleh itu,
Pas tidak perlu emosional apabila ada pihak menyentuh soal perkataan Islam pada
nama parti itu. Mungkin selama ini perkataan itu yang menyebabkan Pas mampu
bertahan tetapi tindakan berkenaan tidak akan menguntungkan Islam secara
keseluruhan.
Tindak-tanduk
Pas yang dilihat lebih bercorak matlamat menghalalkan cara dalam berpolitik
demi mengejar kekuasaan bersama-sama PKR dan DAP boleh mencemarkan Islam kerana
sesungguhnya pendekatan berpolitik yang dianjurkan oleh Islam jauh berbeza
dengan apa yang dilakukan oleh Pas.
Ia kerana
Pas terus menyemarakkan permusuhan sesama Islam semata-mata kerana perbezaan
fahaman politik. Pas tidak boleh menafikan perkara ini kerana selama ini apa
juga yang berlaku, parti itu akan menyalahkan UMNO dan apabila UMNO cuba
berbaik dengan mereka demi masa depan orang Melayu dan umat Islam di negara
ini, ia ditolak bulat-bulat.
Bagi Pas,
mereka lebih bersedia berpeluk dengan pemimpin-pemimpin DAP bagi memburu kuasa
politik berbanding bersalaman dengan pemimpin UMNO demi kepentingan orang
Melayu dan umat Islam.
Oleh itu,
jika Pas tidak mahu berubah dengan mengamalkan sikap dan tingkah laku serta
pendekatan yang dianjurkan oleh Islam sebenar-benarnya maka sememangnya mereka
tidak layak lagi menggunakan perkataan Islam pada nama parti itu.
No comments:
Post a Comment