'Perjuangan' homoseksual makin menular
Oleh NURUL ANUAR KARI- anuar.kari@utusan.com.myDALAM menentukan menang-kalah sesuatu perjuangan, taktik dan ideologi menjadi titik penting, tetapi akhirnya bilangan pengikut 'perjuangan' itu yang menentukan ia berjaya atau tidak.
Sama juga untuk agenda
'hak' individu homoseksual atau gay yang mahu masyarakat di sekeliling mereka
membenarkan mereka hidup dengan apa sahaja cara mereka mahu, bilangan
'pengikut' akan menentukan menang atau kalah.
Minggu ini, antara
kejayaan perjuangan gay global adalah membatalkan pengharaman perkahwinan
pasangan sejenis oleh Mahkamah Rayuan di California, Amerika Syarikat (AS).
Dengan alasan melanggar
Perlembagaan dan undang-undang kesamarataan AS, pengharaman perkahwinan
pasangan sejenis dibatalkan hakim mahkamah tersebut sedangkan majoriti penduduk
California mahu mempertahankan 'perkahwinan tradisional'.
Mungkin tidak begitu
mengejutkan bila menyebut golongan gay di AS berbanding Malaysia tetapi ia
tetap satu kejayaan besar bagi golongan itu 'menawan' baki 44 daripada 50
negeri di AS yang belum menerima perkahwinan sama jantina sebagai satu norma
kehidupan.
Bukan sahaja di Eropah
dan AS, malahan Afrika, India, China, Jepun, Korea, Asia Tenggara serta rantau
Arab juga kini semakin tumpas kepada pelbagai tuntutan golongan gay sama ada
untuk bebas berpakaian, pesta atau tapak hiburan khas homoseksual, berkahwin,
mahupun warisan harta pasangan dan hak memiliki anak.
Di Namibia, golongan gay
secara terbuka mencabar norma kehidupan setempat dengan mengadakan pertandingan
'Mr. Gay Namibia' yang membolehkan pemenangnya bertanding di pertandingan 'Mr.
Gay Dunia' di Afrika Selatan pada bulan April ini.
Wendelinus Hamutenya,
25, yang menjadi juara Mr. Gay di Namibia baru-baru ini bakal menjadi lelaki
kulit hitam pertama dari Afrika yang bertanding sebagai Mr. Gay Dunia.
Kebanyakan negara di
benua Afrika, kecuali Afrika Selatan, mempunyai undang-undang ketat menghalang
aktiviti homoseksual termasuk hukuman mati tetapi berterusan dicabar golongan
gay tempatan dengan bantuan pihak luar seperti pertubuhan gay atau pertubuhan
hak asasi dari Barat.
Ghana dan Tanzania
baru-baru ini bertindak tegas dalam menyahut dan menolak sebarang usaha
mengugut perundangan anti-homoseksual negara tersebut daripada Britain yang
mahu menghentikan bantuan ke negara yang tidak memperakui hak golongan gay.
Ancaman Britain itu
dikeluarkan Perdana Menterinya, David Cameron tahun lalu selepas ketua-ketua
negara Komanwel enggan menerima perubahan untuk menghapuskan undang-undang
anti-homoseksual di 41 negara anggota.Uganda pula menerima kecaman hebat Amnesty International ketika mengemukakan rang undang-undang untuk mengenakan hukuman mati terhadap perbuatan homoseksual yang khusus melibatkan kanak-kanak bawah umur dan penghidap HIV/AIDS.
Rata-rata di benua Afrika, media Barat juga berterusan menggunakan kisah kehidupan golongan homoseksual yang ditolak masyarakat setempat bagi menarik sokongan antarabangsa sama ada daripada golongan gay sendiri mahupun mereka yang bersimpati dengan 'perjuangan' tersebut.
Malahan, Setiausaha
Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri, Ban Ki-Moon turut menekan
pemerintah di rantau Afrika agar menghormati hak golongan homoseksual.
Di New Delhi, India
pula, perarakan homoseksual kini menjadi acara tahunan sedangkan negara itu
dahulu pernah menetapkan hubungan gay sebagai satu perbuatan jenayah sehingga
2009.
Selain acara 'Kebanggaan
Gay', festival filem, pesta homoseksual dan parti, India juga kini semakin
menjadi destinasi pelancongan tumpuan golongan homoseksual.
Israel yang terkenal
dengan fahaman ortodoks dalam membentuk negara sendiri di atas tanah Palestin
juga tidak terkecuali apabila agenda pusat pelancongan homoseksual diutamakan
kepimpinan tertinggi di bandar Tel Aviv.Di Asia Tenggara, Malaysia menjadi fokus komuniti gay global apabila penganjur sebuah program untuk golongan homoseksual mencabar pengharaman program tersebut di mahkamah di samping dakwaan perlakuan songsang terhadap seorang pemimpin politik tempatan.
Namun, di semua
peringkat pelbagai jenis agama tetap membantah hubungan sama jenis sama ada
Islam, Pope di Vatican, Yahudi serta agama-agama lain dunia.
Melihatkan kesukaran
mendapat perakuan kepimpinan agama, golongan gay telah beralih kepada usaha
gerakan sivil melalui hak asasi dan terjemahan perundangan untuk memaksa dunia
menerima cara hidup mereka.
Di Malaysia, Afrika,
India, Eropah, AS mahupun mana-mana negara dunia, agenda sivil itu hanya boleh
berjaya jika golongan homoseksual mempunyai bilangan pengikut dan golongan
bersimpati yang lebih ramai berbanding golongan penentang dan ortodoks agama.
Seperti mana Britain
mengancam sekatan bantuan kepada negara Komanwel jika menolak cara hidup gay,
sokongan pelbagai agensi dan pertubuhan pro homoseksual di Barat turut membantu
golongan ini mencapai agenda mereka, secara sukarela atau paksa.
Jika kesemua cara itu
gagal, kisah kekalahan mereka akan diolah sebagai satu kejadian menyedihkan
dalam sejarah manusia bagi membuat semua pihak berasa serba salah dan mengutuk
masyarakat serta kepimpinan yang menentang kehidupan songsang homoseksual.
Jika dibiarkan terus menular,
aktiviti golongan homoseksual akan menarik lebih ramai penyokong dan simpati
sehingga akhirnya mereka mampu mengubah sistem sosio-budaya masyarakat
setempat.
Dengan sokongan kuat
dari dalam dan luar negara, tidak mustahil agama mahupun tradisi mana-mana
negara akan tumpas kepada tekanan komuniti homoseksual seperti mana India yang
kini dilihat menerima gaya hidup tersebut.
No comments:
Post a Comment