Wednesday, 20 June 2012

Bahana kedudukan 'Parlimen tergantung'

BARU-baru ini seorang wartawan sebuah stesen penyiaran bertanyakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bahana dihadapi negara jika wujud keadaan 'Parlimen tergantung'.
Istilah itu merujuk kepada tidak ada satu pun mana-mana parti politik yang berjaya memperoleh majoriti lebih 50 peratus dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) untuk membentuk kerajaan.
Jadi, apa pilihan yang ada pada Parlimen dan Perlembagaan Persekutuan? Jika berlaku keadaan 'Parlimen tergantung' ini, apa tindakan SPR dari segi undang-undang?
Sebelum penulis meneruskan apa yang akan diulas SPR kepada wartawan berkenaan, eloklah rakyat Malaysia termasuk hampir 12 juta pengundi berdaftar PRU-13 meneliti balik sejarah negara.
Pengalaman menang dengan majoriti mudah (simple majority) bukanlah baru buat Barisan Nasional (BN) seperti mana dialami pada 2008.
Apabila keputusan pilihan raya 1969 dimaklumi, Parti Perikatan yang memerintah mengalami kegagalan besar walaupun masih dapat mengekalkan satu majoriti mudah dalam Parlimen. Mereka dikalahkan oleh Gerakan di Pulau Pinang, Pas di Kelantan sementara di Perak dan Selangor, Perikatan nyaris ditewaskan oleh parti-parti pembangkang.
Realiti yang ditanggung Perikatan ketika itu adalah kehilangan majoriti dua pertiga untuk membolehkannya meminda Perlembagaan secara bebas sejak merdeka. Tiga menteri dan dua setiausaha Parlimen kalah dalam pilihan raya tersebut serta peratus undi sah yang didapatinya jatuh sebanyak 9 peratus kepada 49 peratus.
Dan lebih 'membebankan' lagi, Perikatan terpaksa menghadapi pembangkang yang kuat di Parlimen Persekutuan buat kali pertama sejak merdeka.
Penyokong DAP dan Gerakan yang sungguh gembira memenuhi jalan raya ibu kota pada Ahad dan malam Isnin dengan kenderaan konvoi yang mengibarkan bendera parti masing-masing. Reaksi segera kepada keputusan pilihan raya 1969 itu adalah kegembiraan yang teramat di sebelah pembangkang dan kejutan mendalam di pihak Perikatan.
Kalau diterjemahkan pada era sekarang iaitu belum pun Exco kerajaan BN Selangor mengemas rumah/kediaman Exco mereka pada malam kekalahan 8 Mac 2008, sudah terdengar pekikan lolongan dari luar rumah suara pengikut parti-parti pembangkang - menghalau keluar bekas Exco yang terbabit.
Pada kempen pilihan raya 1969, DAP yang dilihat pengganti PAP di Singapura - memperjuangkan kepentingan orang bukan Melayu kawasan bandar. Matlamat Pas pula ialah 'menubuhkan' sebuah negara Islam menerusi jalan perlembagaan demi manfaat orang Melayu. Ideologinya yang berhasrat mendirikan satu komuniti Melayu disebarkan dengan penuh ghairah oleh guru Melayu dan ulama di kawasan luar bandar.
Menjelang pilihan raya umum 1969, parti-parti pembangkang ketika itu mencapai satu perjanjian pilihan raya agar undi tidak terbahagi, sungguhpun mereka berada di hujung pertentangan atas propaganda perkauman masing-masing.
Keputusan pilihan raya 1969 menggoncangkan status quo. Ia memusnahkan habis-habisan Perikatan yang tidak pernah dicabar sejak merdeka. UMNO cuma memenangi 51 kerusi, kehilangan 17 kerusi Parlimen - sebahagian besarnya kalah kepada Pas.
MCA mendapat 13 kerusi dan 20 kerusi lain yang ditandinginya kalah kepada pembangkang manakala MIC hanya memenangi 2 daripada 3 kerusi yang diperuntukkan kepadanya.
Wartawan asing di Kuala Lumpur semasa itu yang memerhatikan pilihan raya tersebut menghantar laporan memuji proses demokrasi di Malaysia. Malah, wartawan asing terbabit meramalkan lima tahun dari pilihan raya itu, Malaysia akan menikmati keamanan, kemakmuran dan kerajaan yang lebih berkesan.
Setelah MCA kalah dengan teruknya, parti itu mengumumkan ia menarik diri daripada Kabinet, sementara kekal menjadi satu komponen Perikatan. Permintaan Tun Razak kepada pengundi Cina bahawa jika mereka tidak mengundi MCA, mereka akan hilang segala perwakilan Cina dalam kerajaan - ibarat angin berlalu begitu sahaja.
Itu antara sedutan sekiranya terjadi bahana 'Parlimen tergantung'. Kerana itu pada Mac lalu, Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat serta pengikut BN bahawa adalah penting bagi BN memperoleh majoriti dua pertiga untuk membentuk negara yang kukuh dan stabil.
Apabila cuma majoriti mudah diraih, bahananya BN tidak mampu melangsungkan agenda dan polisi. Kalau sekadar 50-50, ia tidak memberi apa-apa makna dalam soal pentadbiran.
Barangkali masih ramai yang tidak sedar, kerana asyik berpolitik tidak kira jam dan tempat, hakikat sebenar untuk menentukan sama ada 'Parlimen tergantung' itu menjadi realiti, terletak di tangan masing-masing.
Ya, memang ada kekhuatiran mengenai PRU-13 seandainya BN tidak dapat membentuk kerajaan. Jadi, jawapan SPR kepada soalan wartawan tersebut adalah mengikut Peraturan 25 (1) Perjalanan Pilihan Raya, SPR tidak boleh mengumumkan mana-mana parti yang menang disebabkan masing-masing tidak memperoleh majoriti lebih 50 peratus.
Apabila berlaku perkara sebegini, pilihan raya umum semula tidak boleh dilakukan. Dan terpulang kepada parti-parti berkenaan untuk merundingkan dengan wakil bebas.
Dalam konteks 'Parlimen tergantung', setiap parti perlu sepakat untuk membentuk kerajaan campuran. Tetapi apakah boleh direalisasikan kerajaan campuran atau 'beli' sahaja wakil rakyat Bebas untuk melompat ke parti tertentu.
Jangan sekali-kali bereksperimen dalam PRU-13.

No comments:

Post a Comment