Agenda Suaram
Media pembangkang termasuk akhbar terbitan parti menyiarkan laporan isu rasuah dalam pembelian kapal selam TLDM, Scorpene secara luar biasa. Membaca laporan muka depan akhbar-akbar berkenaan boleh memberikan gambaran dunia mahu terbalik kerana isu tersebut. Ini termasuk dakwaan Suaram, sebuah badan bukan kerajaan yang diketahui menjadi alat Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Antaranya mahkamah di Perancis dikatakan sedang membicarakan kes berkaitan Perdana Menteri, Najib Tun Razak berhubung isu itu.
Sedangkan apa yang berlaku Suaram memohon kepada mahkamah agar kes tersebut dibicarakan. Semuanya bermula apabila Suaram mengemukakan aduan berhubung DCN, iaitu syarikat pengeluar kapal Scorpene kerana didakwa memberikan bayaran rasuah kepada Syarikat Perimekar Sdn. Bhd dari Malaysia.
Belum ada sebarang keputusan sama ada kes itu akan dibicarakan apatah lagi kononnya Perdana Menteri akan disapina bagi memberikan keterangan. Suaram telah bertindak mendahului mahkamah. Dengan kata lain, inisiatif diambil oleh Suaram, bukannya kerajaan Perancis seperti digembar-gemburkan. Sememangnya banyak lagi fakta salah, tidak tepat dan mengelirukan bertujuan mempengaruhi rakyat membenci kerajaan menjelang pilihan raya umum.
Reputasi Suaram juga selama ini boleh dipersoalkan. NGO itu bersama pembangkang pernah memainkan isu kapal selam TLDM tidak boleh belayar tetapi tohmahan itu ternyata tidak benar.
Sehingga hari ini Suaram tidak pernah meminta maaf dan menarik balik dakwaan tersebut. Tetapi sikap itu tidak mengejutkan Awang kerana tonggak Suaram seperti Cynthia Gabriel, Dr. Kua Kia Soong, Sivarasa Rasiah, Irene Fernandez, Tian Chua dan ramai lagi adalah pemimpin dan aktivis pembangkang.
Suaram juga gagal mengaitkan pembabitan Perdana Menteri dalam isu pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shariibu walaupun isu itu cuba dimanipulasi. Mereka terpukul apabila Najib bersumpah di dalam masjid menafikan penglibatannya. Pendedahan terbaru Zulkifli Nordin, bekas peguam bela Anwar Ibrahim bahawa beliau telah diarahkan agar merekacipta bukti bagi mengaitkan Perdana Menteri dengan pembunuhan Altantuya, menceritakan segala-galanya. Tiada asas sama sekali pembabitan Najib.
Sebab itu di Perancis, isu tersebut tidak mendapat perhatian media kerana tiada unsur salah laku yang boleh dikaitkan. Tetapi percayalah Anwar dan Suaram tidak akan berhenti dan berputus asa. Apatah lagi mereka berkongsi aspirasi yang sama dan Anwar sangat terdesak untuk menjadi Perdana Menteri selain cuba ‘menutup’ isu moral, biseksual dan integriti. Maka Suaram mahu menyelamatkan Anwar.
Banyak pihak turut mempersoalkan agenda Suaram yang bukan sahaja memperjuangkan politik pembangkang malah secara tersirat mahu menulis semula Perlembagaan.
Awang sudah lama menghidu muslihat Suaram. Walaupun berselindung di sebalik topeng NGO tidak sukar untuk membaca percaturan mereka bagi melihat kemunculan kerajaan baru yang tidak lagi berteraskan Islam. Jerat mereka mula mengena. Waspadalah.
No comments:
Post a Comment