Monday, 25 June 2012

Pertahan ajaran Islam - Najib

Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor membelek buku yang ditulisnya bertajuk Agenda Islam Dalam Tranformasi Negara selepas melancarkan Majlis Sekretariat Ulama-Umara (UMUM) di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam. Turut sama Jamil Khir Baharom (kiri).
 

KUALA LUMPUR 25 Jun - Kerajaan berikrar akan mempertahan kesucian agama Islam dan memastikan budaya songsang seperti amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) tidak mendapat tempat di negara ini.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, sebarang pemikiran menyeleweng seperti fahaman liberalisme dan pluralisme yang kini diperjuang pihak tertentu juga akan ditentang.

Katanya, dalam usaha kerajaan mentransformasi Malaysia menjadi sebuah negara Islam moden yang maju dan berpendapatan tinggi, tiada sebarang kompromi berhubung soal akidah, ibadah, muamalat dan akhlak.

"Kita akan pastikan sebarang budaya songsang seperti perilaku LGBT serta sebarang pemikiran menyeleweng seperti fahaman liberalisme dan pluralisme tidak akan mendapat sebarang tempat di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pelancaran Sekretariat Ulama-Umara dan buku Agenda Islam Dalam Transformasi Negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Timbalannya, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim, Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria serta para ulama dari seluruh negara.

Pada majlis tersebut juga, Perdana Menteri turut melancarkan dua naskhah buku tulisan Mashitah iaitu Moderat dan Langit Terbuka yang mengulas mengenai dasar serta transformasi pentadbiran beliau sejak tiga tahun lalu.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai tindakan Pas mengarahkan ahli parti berkenaan agar menangguhkan ibadah haji demi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13, Najib berkata beliau terkejut kerana Pas tergamak berbuat demikian.

Katanya, selaku sebuah parti yang mendakwa parti Islam, Pas sepatutnya mengutamakan pelaksanaan fardu ain terlebih dahulu berbanding fardu kifayah kerana ibadah haji rukun Islam kelima dan wajib ke atas mereka yang berkemampuan.

"Mereka tergamak mengutama kepentingan parti berbanding kepentingan agama Islam, sedangkan berdasar prinsip 'fiqh aulawiyyat' keutamaan perlu kepada ibadah haji kerana ia fardu ain berbanding mengundi iaitu fardu kifayah.

"Tapi percayalah, kerajaan sentiasa mempertimbang semua faktor sebelum mengadakan pilihan raya dan saya akan pastikan pertimbangan itu selaras dengan kehendak agama Islam itu sendiri," jelas Najib.

Mengenai buku Agenda Islam Dalam Transformasi Negara, Perdana Menteri berkata, ia akan menjadi bukti dan mampu menangkis tohmahan dan pembohongan pembangkang yang menuduh kononnya kerajaan bersifat anti Islam.

Tegas Najib, dengan deretan program dan komitmen yang sudah serta bakal dilaksana kerajaan yang digarap dalam buku berkenaan, tiada sebarang sebab untuk pembangkang melabel tohmahan sebegitu

No comments:

Post a Comment