Saturday, 2 June 2012


Tunku Aziz dan keyakinan orang Melayu

JIKA minggu kedua Mei 2012, heboh mengenai tindakan DAP tidak menyambung tugas Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim sebagai Ahli Dewan Negara gara-gara tidak sehaluan mengenai perhimpunan Bersih 3.0, minggu ini ia lebih panas apabila Naib Pengerusi DAP itu mengumumkan keluar daripada parti.

Dalam satu wawancara secara langsung bersama sebuah stesen TV beberapa hari lalu, Tunku Aziz menyatakan pendiriannya untuk melepaskan jawatan dalam DAP dan meninggalkan parti itu kerana merasakan pandangan beliau tidak dihargai pucuk pimpinan parti.

Sehubungan itu, ramai kalangan penulis blog propembangkang telah melabelkan beliau dengan pelbagai gelaran buruk, sementara blog-blog pemimpin DAP tidak banyak memberi komentar.

Mengulas isu berkenaan, Datuk A. Kadir Jasin dalam blognya www.akadirjasin.com menganggap Tunku Aziz antara orang baik yang terpedaya dengan keindahan dunia politik tanah air.

Katanya, Tunku Aziz seperti juga Dr. Chandra Muzaffar adalah antara orang baik yang cuba berbuat perkara yang lebih baik dengan menyertai parti politik.

Bagaimanapun, akhirnya beliau sedar bahawa idealisme demokrasi damai dan bertamadun yang ingin beliau perjuangkan melalui DAP tiada tempat dalam sebuah parti yang cenderung kepada pencetusan gelora.

Jadi, perbezaan pandangan tentang Bersih 3.0 menjadi kemuncak pertembungan idealisme dan ketamadunan antara Tunku Aziz dan ideologi sebenar DAP yang membawa pengunduran pengasas Transparency International Malaysia itu.

Menariknya, Helen Ang (helenang.wordpress.com) melihat pengunduran Tunku Aziz memberikan tamparan hebat kepada DAP yang sekarang berusaha untuk mengambil hati orang Melayu demi meraih undi kaum itu pada pilihan raya umum akan datang.
Ini jelas apabila DAP mula menguar-uarkan usaha membela orang Melayu serta membawa masuk bekas-bekas pemimpin UMNO ke dalam parti itu bagi menunjukkan bahawa DAP adalah sebuah parti pelbagai kaum.

Bagaimanapun, kata beliau, tindakan Tunku Aziz jelas menjejaskan keyakinan orang ramai tentang kemampuan DAP untuk berlaku adil terhadap orang Melayu.

"Sekarang (ini) orang Melayu dapat melihat dengan biji mata sendiri bagaimana pemimpin Melayu DAP pun tidak lepas dimangsakan oleh hatchet men yang menyokong parti tersebut," kata Helen.

Azrinizam Ibrahim (anginperubahan.blogspot.com) turut melihat tindakan Tunku Aziz memberikan tamparan kepada DAP menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.
Katanya, DAP yang selama ini menunjukkan mereka adalah sebuah parti yang demokratik tetapi tidak boleh menerima pandangan pemimpin lain yang bertentangan dengan pandangan parti itu.
"Ini bermakna prinsip yang diperjuangkan oleh DAP bukan lagi untuk menjadikan negara ini lebih demokratik tetapi sebenarnya mengamalkan corak kuku besi dan cauvinis. DAP akan kehilangan ramai lagi ahlinya ekoran tindakan ganas yang dilakukan semasa perhimpunan Bersih 3.0," katanya.

Bagaimanapun, Aspan Alias (aspanaliasnet.blogspot.com) cuba mengendurkan keadaan dengan berkata perselisihan antara Tunku Aziz dan DAP bukan pertentangan antara parti itu dengan orang Melayu melainkan perselisihan Naib Pengerusi DAP itu dan partinya.

Seperti biasa, beliau menyalahkan UMNO konon memperbesarkan isu tersebut sedangkan rakyat dengan jelas dapat melihat sikap sebenar pucuk pimpinan DAP sehingga mendorong Tunku Aziz meninggalkan parti itu.

No comments:

Post a Comment