Mencari relevan isu RM3 bilion
RAMAI yang tertanya-tanya apa relevannya membuka semula kisah yang pernah dibangkitkan kira-kira 13 tahun lalu?
Yang dimaksudkan adalah akuan berkanun bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Murad Khalid berkenaan 20 Akaun Induk (Master Accounts) yang dikawal Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri.
Dalam akuan berkanun yang diikrarkan di hadapan Pesuruhjaya Sumpah di Kuala Lumpur pada 26 Oktober 1999 itu, Abdul Murad menyatakan akaun tersebut diuruskan kroni-kroni Anwar membabitkan aset, saham dan wang bernilai RM3 bilion.
Isu ini biarpun sudah lebih 13 tahun berlalu sangat mustahak untuk dibangkitkan semula kerana sehingga kini, tiada jawapan kukuh diberikan mengenai status kesnya.
Baik dari segi siasatan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) ketika itu atau jawapan-jawapan daripada Anwar sendiri, tidak ada sesuatu yang meyakinkan yang membolehkan rakyat membuat kesimpulan ia adalah dakwaan tidak berasas atau sengaja direka-reka.
Apatah lagi yang membuat dakwaan secara akuan berkanun atau akuan bersumpah itu ialah Abdul Murad iaitu individu yang mempunyai kuasa ke atas urusan perbendaharaan negara ketika itu.
Sudah semestinya, Abdul Murad bertanggungjawab atas akuan berkanun yang dibuat beliau dan sangat menyedari risiko yang bakal ditanggung jika membuat akuan bersumpah palsu.
Maka, dakwaan-dakwaan Abdul Murad itu mempunyai asas kukuh dan wajar disiasat secara terperinci.
Menjadikan isu ini lebih mustahak adalah jumlah yang didakwa iaitu RM3 bilion bukanlah sedikit.
Rakyat berhak mengetahui apa kesudahannya dengan wang yang cukup besar jumlahnya itu.
Ke mana ia disalurkan dan siapa pula yang mendapat manfaat daripadanya?
Tentang bagaimana ia boleh berlaku rasanya tidaklah sukar untuk difahami.
Anwar dengan kuasa yang ada padanya ketika itu iaitu sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, tentu sahaja tidak berdepan masalah untuk melakukannya, jika benar seperti yang didakwa Abdul Murad.
Pendedahan ini juga tidak boleh mengelak daripada dikaitkan dengan dakwaan berhubung pemilikan kekayaan luar biasa bekas Setiausaha Sulit Anwar ketika itu iaitu Azmin Ali dan isterinya, Shamsidar Taharin.
Azmin dan Shamsidar dikatakan mempunyai aset yang dipercayai bernilai lebih RM30 juta.
Ia berdasarkan dokumen yang berada dalam simpanan adik Azmin sendiri iaitu Ummi Hafilda seperti pegangan saham, deposit bank dan salinan penyata beberapa akaun bank yang dimiliki Azmin dan Shamsidar dalam tempoh hanya dua tahun iaitu dari 1992 hingga 1994.
Kekayaan luar biasa itu menimbulkan tanda tanya banyak pihak kerana ketika itu pendapatan bulanan Azmin sebagai Setiausaha Sulit kepada Timbalan Perdana Menteri hanyalah RM2,442 sebulan.
Shamsidar pula ialah suri rumah sepenuh masa dan tidak bekerja.
Jadi bagaimana Azmin dan Shamsidar mampu mempunyai kekayaan sedemikian rupa.
Rakyat ingin mengetahui adakah Azmin dan Shamsidar termasuk dalam kroni-kroni yang menguruskan sebahagian daripada RM3 bilion yang dimaksudkan Abdul Murad itu.
Tanggapan sedemikian tidak boleh dielakkan apatah lagi Azmin dan Shamsidar sehingga kini tidak menjawab berhubung dakwaan kekayaan yang dimiliki mereka.
Selain kemungkinan Azmin dan Shamsidar, pihak mana lagi yang hidup senang-lenang dengan wang berbilion-bilion ringgit itu?
Apakah pihak-pihak yang selama ini mempertahankan Anwar atas nama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut mendapat manfaat melimpah-ruah daripadanya?
Atau ini mungkin boleh menjawab bagaimana Anwar mampu menampung aktiviti politiknya termasuk siri lawatannya ke luar negara beberapa kali yang selama ini disangkakan disalurkan menerusi dana daripada pihak asing?
Justeru, amat mustahak untuk siasatan berhubung dakwaan ini dibuka semula kerana rakyat mahu tahu kebenarannya selain tidak mahu ia lenyap begitu sahaja.
Untuk mengharapkan Anwar dan kroni-kroninya memberi jawapan jujur berkenaan isu ini barangkali ibarat mimpi di siang hari.
Mengalih
Seperti biasa, Anwar akan mengalih perhatian rakyat secara mencipta isu baru dan mengaitkannya dengan individu lain.
Kali ini individu itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tidak dapat dipastikan kenapa Anwar secara tiba-tiba meminta Muhyiddin mengisytiharkan harta dan kekayaan sebelum beliau turut berbuat demikian.
Tetapi apabila beliau terus menjadikan Muhyiddin iaitu orang kedua paling kanan dalam UMNO dan pentadbiran negara sebagai sasaran, dapat disimpulkan Anwar tidak 'main-main' dalam usahanya melepaskan diri kali ini.
Anwar mungkin berasakan beliau berjaya dalam taktik mengaitkan Muhyiddin dengan isu terbaru ini.
Tetapi rakyat yang sudah lali dengan permainan Anwar itu tidak nampak apa kaitan isu tersebut dengan Muhyiddin.
Apa yang diharapkan rakyat adalah jawapan kukuh dan meyakinkan daripada Anwar sendiri.
Malangnya, perkara itu tidak mungkin menjadi kenyataan sama seperti isu-isu lain yang dikaitkan dengan beliau sebelum ini yang langsung tidak mampu dijawab Anwar dan kroni-kroninya.
Agak memeranjatkan juga apabila Anwar sehingga kini tidak mengambil tindakan saman terhadap Abdul Murad.
Jika benar apa yang didakwa Abdul Murad itu adalah fitnah, Anwar seharusnya tidak teragak-agak menyaman Abdul Murad bagi membersihkan namanya.
Melainkan jika Anwar bimbang lebih banyak yang akan terdedah jika tindakan saman diambil, maka tindakan berdiam diri akan menyebabkan rakyat membuat kesimpulan Anwar takut berdepan dengan kebenaran.
Bukankah juga saman-menyaman sudah menjadi budaya Anwar dan pemimpin pembangkang lain? Jadi mengapa tidak kali ini?
Setakat ini, tidak banyak yang boleh diharapkan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan itu meskipun badan tersebut mengakui sedang memberi tumpuan terhadap laporan-laporan terbaru yang dibuat pelbagai pihak berkenaannya.
Begitupun, SPRM tidak akan membuka semula siasatan yang telah diarahkan tutup oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) melainkan jika wujud bukti-bukti baru dan berkaitan dikemukakan.
Ini bermakna tanpa siasatan baru, isu ini hanya akan menjadi polemik atau tuduhan politik semata-mata dan langsung tidak memberi apa-apa kesan terhadap Anwar atau pembangkang.
Ia mungkin akan membangkitkan persoalan mengenai integriti dan kejujuran Anwar ketika diberikan amanah sebagai pemimpin negara.
Tetapi selepas dikaitkan dengan pelbagai isu termasuk skandal hubungan songsang dan tidak songsang, kerjasama erat dengan pro-Israel dan banyak lagi, apakah soal integriti, kejujuran dan maruah masih relevan dengan Anwar?
Yang menjadi harapan kepada rakyat ketika ini adalah bukti-bukti baru yang mungkin ada pada Ummi Hafilda.
Ummi seperti yang diketahui umum, menyimpan banyak rahsia Anwar termasuk dakwaan hubungan sulit dengan kakak iparnya iaitu Shamsidar.
Malah, Ummi juga sebenarnya yang membangkitkan semula ingatan rakyat terhadap skandal RM3 bilion ini menerusi wawancara eksklusif dengan Utusan Malaysia akhir tahun lalu dan sekali lagi pada Mei lalu.
Rakyat
Harapan rakyat Malaysia, jika Ummi mempunyai sebarang dokumen atau bukti-bukti yang boleh membantu SPRM menjalankan semula siasatan, ia dapat diserahkan dengan segera.
Selain Ummi, bekas sahabat baik Anwar, Datuk S. Nallakaruppan juga dikatakan boleh membantu menghidupkan semula pendedahan lebih satu dekad ini.
Ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana Nallakaruppan dikatakan menyimpan banyak rahsia Anwar sepanjang mereka bersahabat baik.
Tidak dapat dipastikan sejauh mana pengetahuan Nallakaruppan berhubung skandal membabitkan aset bernilai RM3 bilion itu.
Tetapi biar sekecil manapun bukti yang mungkin dimiliki beliau, Nallakaruppan seharusnya tidak teragak-agak berkongsi dengan pihak berkuasa supaya dakwaan itu mendapat tempat yang seadilnya dari sudut undang-undang negara.
Ia juga bagi meredakan kebimbangan rakyat berhubung salah guna kuasa dan kedudukan yang berlaku.
Jika hanya dengan jawatan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Anwar boleh mencari ruang mengayakan kroni-kroninya dengan jumlah sebegitu besar, bayangkan apa yang boleh dilakukan beliau atas kapasiti sebagai seorang pemimpin tertinggi negara?
Bukankah Anwar ketika ini ialah calon Perdana Menteri bagi pembangkang sekiranya berjaya menjadi pemerintah negara?
No comments:
Post a Comment