Friday 22 June 2012

Keputusan Pemilihan Presiden Mesir Ditangguh, Rakyat Turun Semula Ke Jalanraya


AIDCNews – 22/06/12 – CNN melaporkan Keputusan pemilihan Presiden Mesir yang sepatutnya diumumkan semalam (Khamis) ditangguhkan sehingga ke tarikh yang akan dimaklumkan.
“Suruhanjaya (pilihan raya) ini tidak dapat menyelesaikan 400 laporan pelanggaran pilihan raya yang diserahkan oleh kedua-dua calon presiden,” kata Tarek Shibl, ahli kanan jawatankuasa Suruhanjaya pilihan raya. “Besar kemungkinan pengumuman keputusan pilihan raya akan terlewat satu atau dua hari tetapi tiada apa-apa keputusan muktamad setakat ini.
Laman Web ISMA Mesir melaporkan Suruhanjaya Pilihanraya Presiden di Mesir pada 20 Jun, Rabu telah mendengar rayuan bantahan yang dikemukakan oleh dua calon presiden, Muhammad Mursi dan Ahmad Syafiq, selepas masing-masing mendakwa pihak mereka telah mencapai kemenangan.
Pada masa yang sama, ratusan ribu rakyat tempatan berkumpul semula di Dataran Tahrir, Kaherah untuk menentang satu keputusan yang disifatkan sebagai ‘rampasan kuasa perlembagaan’.
Dataran Tahrir sekali lagi dibanjiri ratusan ribu yang berhimpun semenjak petang Selasa lalu daripada parti-parti politik dengan diterajui oleh Ikhwan Muslimin dan Parti Kebebasan & Keadilan (FJP), Parti Nur (Salafi), Parti Wasat, dan juga Gerakan 6 April kerana membantah pengisytiharan perlembagaan yang dikeluarkan oleh Majlis Tentera.
“Mereka akan terus melancarkan mogok sehingga calon mereka, Mursi diistiharkan menang,” lapor ismamesir.com yang memetik sumber Al-Jazeera.
Di Iskandariah pula, ribuan rakyat berkumpul di luar ibu pejabat tentera cawangan utara kerana menolak Deklarasi Perlembagaan, pemansuhan parlimen dan campur tangan tentera dalam proses pembentukan perlembagaan.
Penunjuk perasan juga menuntut kuasa penuh diberikan kepada Presiden yang bakal dipilih akhir bulan ini dan mengutuk pengurangan kuasa presiden melalui pengisytiharan perlembagaan yang dikeluarkan oleh Majlis Tentera tersebut.
Sementara itu, ahram.org dan huffingtonpost.com pula melaporkan calon era Mubarak, Ahmad Syafiq lebih cenderung untuk memenangi pemilihan Presiden itu.
Mursi, Shafiq Dakwa Menang Presiden Mesir

No comments:

Post a Comment