Saturday, 16 June 2012


Kebangkitan Arab bukan kebangkitan Islam.


Gelombang kebangkitan rakyat di Afrika Utara dan Asia Barat menyaksikan tumbangnya satu demi satu regim yang memerintah di negara-negara tersebut. Dimulai dengan regim Ben Ali di Tunisia kemudian diikuti oleh regim Hosni Mubarak di Mesir dan yang terbaru regim Muamar Gadaffi di Libya.


Kolonel Muamar Gadaffi seorang pemimpin yang unik dan berkarisma yang telah mewarnai dunia politik antarabangsa dengan berbagai kerenah dan kontroversi akhirnya ditangkap dan ditembak mati oleh tentera-tentera pemberontak. Jenazahnya diaibkan dan dipermalukan seolah-olah sepanjang pemerintahannya selama 42 tahun beliau tidak pernah berjasa kepada rakyat Libya.


Sedangkan pada hakikatnya, jasanya cukup besar kepada rakyat Libya dan umat Islam diseluruh dunia.


Dan kemungkinan setelah ini yang bakal menyusul nanti adalah regim yang sedang memerintah di Yaman dan di Syria.


Walau apa pun sebab dan alasannya disebalik kebangkitan rakyat sehingga tumbangnya regim-regim yang dianggap diktator itu, yang pentingnya peristiwa tersebut bersesuaian dengan sabda Rasulullah SAW mengenai lima fasa pemerintahan yang bakal dilalui oleh umat akhir zaman ini.

Rasulullah SAW bersabda:
“Telah berlaku Zaman Kenabian ke atas kamu, maka berlakulah zaman kenabian itu sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkat zaman itu. Kemudian berlakulah Zaman Kekhalifahan (Khulafaur Rasyidin) yang berjalan seperti zaman kenabian. Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkatnya. Lalu berlakulah zaman pemerintahan yang menggigit (Zaman Fitnah). Berlakulah zaman itu sepertimana yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkatnya. Kemudian berlakulah zaman penindasan dan penzaliman (Zaman Diktator) dan berlakulah zaman itu sepertimana yang Allah kehendaki. Kemudian berlaku pula Zaman Kekhalifahan (Imam Mahdi dan Nabi Isa a.s.) yang berjalan di atas cara hidup Zaman Kenabian.”(Riwayat Ahmad)

Peristiwa-peristiwa besar ini memberikan isyarat yang jelas kepada seluruh umat Islam bahawa perkataan Rasulullah itu benar. Dan janji-janji Allah itu benar.

Namun demikian, satu perkara yang perlu difahami dalam menilai peristiwa-peristiwa yang berlaku ialah kebangkitan masyarakat Arab bukanlah kebangkitan Islam.

Kebangkitan masyarakat Arab ini tidak membawa makna yang besar kepada Islam dan seluruh umat Islam. Untuk apa pemerintah berubah kalau sistem pemerintahan yang dianuti tidak diubah. Sistem ekonomi dan kewangannya juga tidak berubah.

Ini kerana segala masalah yang berlaku didunia pada hari ini adalah disebabkan kerana kita menganuti sistem yang salah. Baik dari segi politik, ekonomi dan sosial.

Fahaman sekulerisme yang mengasingkan agama dari sistem kehidupan menjerumuskan umat manusia ke lembah kesesatan dan kehancuran. Berbagai-bagai krisis berlaku diseluruh dunia. Tidak kira sama ada krisis politik, ekonomi, kewangan, sosial mahu pun krisis alam sekitar. Sekiranya dianalisa dengan teliti dan komprehensif ianya adalah disebabkan oleh sistem yang dianuti. Ini kerana sistem yang diamalkan sekarang memberikan ruang dan peluang untuk mengeksploitasi nafsu manusia.

Malah kewujudan sekularlisme juga munculnya isme baru yang dipanggil liberalisme dan diikuti pluralisme. Kedua alaiaran ini menuntut kebebasan tanpa batas yang kononnya berdiri atas  hak asasi manusia. Walhal ia menjana kebebasan sekualiti yang memberi pengiktirafan kepada nilai keji iaitu menerima perkahwinan sejenis antara gay dan lesbian selain menganggap perjuangan LBGT (lesbian, biseksual,gay & transgender) sebagai sah dan hak privisi seseorang atau kumpulan.



Manakala pluralisme menuntut semua agama disama taraf dan semua benar belaka. Dialog antara agama diwujudkan bagi mencari titik persamaan dan tidak ada agama yang dianggap sebagai paling benar dan mulia. Gerakan halus ini mula mendapat tempat di kalangan generasi baru Arab yang mana terang-teang mereka bersetuju dengan tulisan-tulisan Salman Rusdhie, Taslima, Irshad  Manji dan lain-lain yang pokok pangkalnya bersumberkan idea yang dicetuskan oleh John Hick.



Gerakan halus para orentalis barat yang boleh dinamakan sebagai dajal sentiasa meniupkan perjuangan ke arah persamaan, keadilan dan hak asasi. Dalam masa yang sama mereka mengutuk undang-undang lama termasuk hukum-hakam syariah dan sekali gus hukum akidah.

Maka mana-mana tokoh yang dianggap moderate yang mampu merubah hukum agama akan diberi ganjaran dan kedudukan sebagai cendikiawan. Malah dana juga disalurkan bagi memberi dorongan segala yang berkaitan dengan nilai agama dihapuskan dan diganti dengan nilai baru di bawa New World Order (NWO).

Oleh itu janganlah kita keliru antara kebangkitan masyarakat Arab dengan kebangkitan Islam. Ini kerana Islam tidak dibangunkan dengan pemberontakkan, rampasan kuasa atau peperangan. Bukan juga dengan jalan Demokrasi. Apatah lagi untuk membangunkan Islam dengan penguasaan ekonomi atau teknologi. Ini kerana Daulah Islamiyah itu akan hanya dapat ditegakkan dan dibangunkan dengan Iman dan Takwa.



Hanya Islam yang dibangunkan dengan iman dan takwa sahaja yang akan dapat menyatukan umat dan mensejahterakan manusia. Dan, hanya iman dan takwa sahajalah yang dapat menterjemahkan kasih sayang Allah kepada seluruh hamba-hambaNya.



Kebangkitan Islam akan dipelopori dan dipimpin oleh sekumpulan umat yang memiliki iman dan taqwa seperti para sahabat dizaman Rasulullah SAW. Tidak cintakan dunia dan tidak takutkan mati. Matlamat mereka hanyalah satu. Untuk mencari keredhaan Allah.

No comments:

Post a Comment