Wednesday 20 June 2012

Usah samakan seperti Ikhwan Muslimim Mesir

PERGOLAKAN politik di negara Arab sepatutnya dikaji secara terperinci supaya suasana begini tidak wujud dalam negara ini. Kurang kefahaman terhadap konteks sosio-budaya, ekonomi dan politik dalam negara Arab yang diperintah oleh rejim sosialis dan diktator boleh menyebabkan golongan tertentu cuba mengaburi mata masyarakat bahawa perjuangan politik mereka adalah sama dengan pergerakan Islam yang berpengaruh di negara-negara Arab.
Sistem politik, ekonomi dan sosial di negara-negara Islam yang diperintah oleh rejim yang berkiblat kepada negara Barat adalah terlalu jauh beza dengan Malaysia. Suasana yang wujud di negara Arab terutamanya di Mesir terlalu berbeza dengan negara ini.
Pembangunan ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya merupakan agenda utama kerajaan kita setelah mendapat kemerdekaan. Sistem demokrasi berparlimen digariskan dengan prinsip Rukunegara dan sebagainya diperkembangkan dan diamalkan bagi membentuk masyarakat majmuk yang bersatu, hormat menghormati dan saling memahami. Ini merupakan salah satu proses pembangunan masyarakat dan negara yang dilaksanakan oleh Malaysia.
Pemimpin Malaysia lebih sensitif terhadap keselamatan negara terutama dalam hal ehwal campur tangan asing. Hubungan diplomatik Malaysia dengan kuasa besar adalah berkaitan perdagangan, pendidikan dan teknologi yang memberi keuntungan kepada negara dan rakyat. Pelabur asing digalak melabur dalam negara ini untuk membangunkan negara dan membentuk negara metropolitan. Sedangkan pemimpin di negara-negara Arab beranggapan bahawa kuasa besar merupakan pelindung atau penyelamat mereka dalam arena politik.
Contohnya, semasa pemerintahan Anwar Sadat, Amerika menyediakan AS$30 juta setahun untuk keselamatan Sadat.
Masyarakat Arab terutamanya pergerakan Islam Mesir termasuk Ikhwan Muslimin begitu lantang mengkritik dasar pemerintahan yang berkiblatkan Barat sehingga sebahagian besar kekayaan negara dieksploitasi negara luar.
Kritikan dan penentangan terhadap campur tangan kuasa asing dalam negara juga merupakan aktiviti pergerakan Islam dan parti Islam di Malaysia sebelum dan selepas kemerdekaan. Malangnya, apabila Malaysia berada dalam kategori negara Islam yang pesat membangun, terdapat parti politik Islam bersekongkol dengan kuasa besar untuk mendapat kuasa politik. Adakah pergerakan Islam atau parti politik itu mempunyai persamaan dengan Ikhwan Muslimin?
Ikhwan Muslimin sejak ditubuhkan pada 1928 sehingga kini masih mengekalkan prinsip dan objektif perjuangannya bagi mempertahankan kedaulatan Mesir daripada dicerobohi kuasa asing walaupun menghadapi pelbagai kesukaran dan penderitaan. Perjuangan mereka memakan masa hampir 84 tahun.
Penggulingan kerajaan yang kejam secara revolusi bukan merupakan perkara mudah. Rakyat Mesir dan pergerakan Islam di Mesir berdepan dengan kecederaan dan kematian apabila mereka menentang kekejaman kerajaan. Peristiwa penyiksaan ahli-ahli pergerakan Islam di dalam penjara merupakan amalan kerajaan Mesir sejak zaman Jamal Abdel Nassir sehingga Mubarak.
Bentuk kekejaman terhadap banduan politik sukar untuk digambarkan oleh pemikiran yang rasional sehingga salah seorang ahli Ikhwan Muslimin, Sayed Qutb menulis buku di dalam penjara bertajuk Ma'alim fi'l-Tariq menganggap kerajaan Mesir (pada masa zaman Jamal Abdel Nassir) sebagai jahiliyah moden. Penyiksaan terhadap diri dan rakan-rakannya di dalam penjara mempunyai persamaan dengan orang jahiliyah pada zaman awal Islam menyiksa umat Islam.
Ketika zaman Anwar Sadat beberapa perundangan baru diperkenalkan untuk menyekat pemberontakan. Di antara undang-undang itu adalah 'Law of Shame' dan 'Law of Suspicion'. Ia memberi kuasa kepada sekuriti dan polis menangkap dan memenjara sesiapa yang disyaki tanpa bukti. Selepas pemberontakan di Assiut 1979, Sadat mengumumkan bahawa beliau memberi kuasa penuh kepada polis membunuh dan menembak sesiapa yang dianggap terlibat dalam kekacauan dan propaganda menentang kerajaan.
Pembunuhan rakyat merupakan fenomena dalam negara Mesir sebelum penggulingan Mubarak. Persoalannya adakah senario begini wujud dalam Malaysia sehingga rakyat terpaksa bangun memberontak seperti di Medan Tahrir, Mesir? Jika parti umat Islam mempunyai persamaan jiwa dengan Ikhwan Muslimin dan pergerakan Islam lain mereka lebih rasional dalam tindakan untuk mendapatkan kuasa bukan bertindak seperti orang yang hilang haluan hidup.
Ikhwan Muslimin menggariskan prinsip dan objektif perjuangan berdasarkan kepada konteks dan suasana sosio-ekonomi dan politik negaranya. Oleh itu, setiap prinsip dan objektif yang digariskan dilaksanakan secara berhemah dan bijaksana. Hasil perjuangan dan pengorbanan serta pelbagai kegiatan ekonomi dan sosial maka Ikhwan Muslimin menjadi sebuah pergerakan yang paling berpengaruh di Mesir dan digeruni kerajaan.
Dalam pertengahan 1980-an dilaporkan bahawa syarikat pelaburan Islam kepunyaan Ikhwan Muslimin memiliki antara AS$5 dan AS$15 bilion. Kerajaan amat bimbang dengan kekayaan itu dan membuat propaganda terhadap syarikat pelaburan tersebut. Hasil propaganda itu salah satu syarikat pelaburannya al-Rayyan mengalami kerugian. Ramai pelanggan mengeluarkan wang mereka. Bagaimanapun kerajaan gagal dalam propagandanya kerana selepas itu ramai daripada pelanggannya melabur kembali malah ia menarik lebih ramai pelanggan baru melabur dalam syarikat itu.
Persoalannya, adakah pergerakan Islam dan parti Islam dalam negara ini memiliki syarikat pelaburan yang besar seperti Ikhwan Muslimin?
Kekayaan Ikhwan Muslimin adalah hasil daripada projek ekonomi mereka sejak ia ditubuhkan bukan melalui manipulasi wang daripada perbendaharaan negara Mesir. Ahli-ahlinya terdiri daripada golongan profesional yang beriman dan takwa. Kekayaan yang dimiliki secara gigih menghasilkan personaliti yang mulia dan sederhana serta amanah. Adakah ciri-ciri begini wujud dalam diri pergerakan dan parti umat Islam dalam negara ini apabila mereka diberi amanah memerintah dan mentadbir?.
Ikhwan Muslimin mendapat sokongan yang kuat daripada rakyat adalah hasil daripada kegiatan kemasyarakatan, kekayaan yang dihasilkan secara gigih, amanah serta dedikasi, bukan hanya sekadar lantang bersuara bagi menggerakkan siri pemberontakan.
Kegiatan tersebut merupakan agenda utama kerajaan Malaysia. Rakyat dan pemerintah berganding bahu melaksanakan kemajuan negara. Pelbagai kegiatan kemasyarakatan dan sosial dilaksanakan. Oleh itu, gunakan pemikiran rasional untuk mendapat kuasa bukan melakukan tindakan yang boleh menjejaskan maruah agama, bangsa dan negara.
Usah terlalu mendabik dada merasai diri setanding dengan Ikhwan Muslimin jika ciri-ciri dan persediaan material dan spiritual tidak sehebat Ikhwan Muslimin.

No comments:

Post a Comment