Monday, 18 June 2012


Jawatan kosong MB kini dibuka

oleh YUSUF HARUN - 9/29/2011 


Walaupun jawatan Menteri Besar (juga dibaca sebagai jawatan Ketua Menteri bagi negeri ber-Yang Dipertua) hanya setaraf dengan jawatan Timbalan Menteri, namun pada mata umum, kedudukan serta kuasa yang dinikmati oleh penyandangnya, “lebih rendah sikit daripada Sultan dan lebih tinggi daripada Menteri Kabinet.”

Mana tidaknya. Satu ketika pernah seorang MB memiliki kereta Mercedez Benz limousin enam pintu serupa dengan yang dimiliki oleh Sultan negeri berkenaan. Perihal Ketua Menteri dan sesetengah MB yang memiliki jumlah kereta mewah melebihi Yang Dipertua dan Sultan negeri masing-masing bukanlah sesuatu yang baru. Tentang rumah persendirian, tak payahlah nak cerita.

Walaupun bukan semua cerita ini benar, tapi begitulah persepsi masyarakat terhadap mereka yang menyandang jawatan ini. Tapi apa yang rakyat tahu cuma sedikit. Itu pun daripada cerita satu mulut ke mulut lain. Selebihnya daripada rangkaian sosial internet walaupun adakalanya ada orang yang memuat naikkan gambar banglo entah Sheik Arab mana dan menulis captionnya sebagai rumah persendirian seseorang MB di negara ini. Bagi pemimpin Umno, dan juga pembangkang mereka lebih tahu apakah yang berada dalam stor bagi seseorang dilantik memegang jawatan MB.

Ada yang melobi jawatan berkenaan kerana merasakan tubuh batang penyandang MB itu ibarat sebuah walking bank (bank berjalan/bergerak) yang menerima deposit dan memuntahkan wang tunai kepada sesiapa sahaja pada bila-bila masa. Tapi tak ramai daripada kalangan pemimpin parti yang disebut itu menyedari betapa rumit dan complicatednya tugas dipikul oleh MB. Ia bukan sahaja mengenai pentadbiran negeri tetapi turut memberi impak kepada populariti partinya di negeri berkenaan.

Justeru tidak syak lagi bukan BN saja yang berdepan dengan rebutan jawatan berkenaan, malah pembangkang pun sama. Kadangkala di pihak pembangkang, hal begini lebih ketara lagi apabila kemanisan memegang sesuatu jawatan diambil kira. Tapi BN khususnya Umno sudah lama bertapak di pintu kuasa. Ramai daripada Ketua Bahagian yang dikira layak, begitu juga ramai yang menganggap diri mereka saja yang layak lalu menyondol hidung demi mendapatkan perhatian.
Bagaimanapun, faktor kelayakan dalam PR tidak timbul sama sekali. Sebagai sebuah parti baru, siapa pilihan pucuk pimpinan, sudah lebih dari mencukupi.

DS Anwar Ibrahim yang dianggap dan menganggap dirinya sebagai “wira baru rakyat” banyak mempengaruhi keputusan pelantikan Menteri Besar Selangor serta beberapa jawatan lain di lain-lain negeri. Tanpa Anwar, Tan Sri Khalid Ibrahim mungkin dilantik sekadar salah seorang daripada Exco, bukan “CEOnya.”

Khalid dilihat lebih condong kepada DAP dari Pas. Kalau dilihat perwatakan Khalid ia didapati lebih macam orang Umno dari Pas. Pakaiannya tidak mencerminkan ia sealiran dengan Pas. Tapi pakaian bukan ukuran seperti juga pemikiran kerana kedua-dua ini kadangkala boleh diselimutkan dengan dasar apa yang disebut sebagai pragmatisme. Sebagai negeri yang terkaya, Selangor mudah melahirkan usahawan bertaraf jutawan. Pemberian tanah kepada puak atau pihak tertentu satu cara menjadi orang berkenaan jutawan. Faktor ini membuatkan ramai berminat hendak menjadi MB. Seperti dalam UMNO, pengikut melobi sakan agar kuda mereka diangkat menjadi MB. Dengan demikian, peluang mereka di bidang perniagaan lebih baik.

Setakat ini Khalid dapat mengekang nafsu dari membenarkan tanah-tanah dan projek kerajaan dimiliki segelintir dua. Dalam hal ini ada yang nampak, Khalid lebih profesional daripada bekas MB, Datuk Seri Khir Toyo.

Sebenarnya Umno Selangor tidak ketandusan tokoh dalam senarai calon yang bakal mengisi kekosongan jawatan MB andai kata BN berjaya merampas kembali Selangor. Ia ibarat sebuah kolam dipenuhi ikan pelbagai spesies. Daripada ikan-ikan besar yang dilihat layak, ikan kecil dan berstatus novis juga ramai yang dikira layak. Perhatian semua pihak tentu saja Ezam Mohd Noor, tokoh muda yang dinamik ini yang dulunya orang kanan DS Anwar (dalam PKR) dipersiapkan untuk mengambil alih tempat bekas Presiden ABIM itu suatu masa nanti. Namun rancangan Anwar tidak bertahan lama, Ezam memilih meninggalkan PKR untuk menyertai semula UMNO.

Bagi rakyat Selangor, tokoh-tokoh muda harus diberi keutamaan dalam menerajui Selangor kerana selama ini Selangor sudah pun memberi peluang kepada bakat-bakat yang berusia. Kini antara Azmin Ali atau Ezam, antara BN dan PR. Jika pilihan pengundi di Selangor berasaskan pemerhatian Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Mahyuddin Yassin, rakyat negeri itu sudah tidak sabar untuk menukar kerajaan.

Kalau angin perubahan sudah menamatkan kerajaan PR di Perak sejak dua tahun setengah yang lalu, kini tiupannya terkena pula negeri-negeri seperti Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang.Di Pulau Pinang, dua program BN yang dihadiri Najib membawa impak positif kepada hala tuju pengundi.

Program hari raya peringkat kebangsaan di kubu kuat Anwar iaitu di Permatang Pauh dan program berbasikal bersama ribuan pelajar terus menggerhanakan pengaruh DAP. Lim Guan Eng, selaku Ketua Menteri Pulau Pinang menyedari trend yang terpamer pada wajah anak-anak muda. Era DAP kini menghampiri garis penamat. Soalnya siapakah bakal menggantikan Guan Eng.?

Bagi negeri-negeri seperti Johor dan Kelantan, ia tidak seperti Sabah dan Sarawak bagi BN. Dua negeri di seberang Laut Cina Selatan itu seperti dalam genggaman, Johor juga seperti bakal peroleh kejayaan seperti mereka raih dalam pilihan raya umum 2008. Cuma sosek yang sering kedengaran ialah siapa bakal pengganti Datuk Seri Ghani Othman yang sudah menjadi MB selama empat penggal. Calon di tangga teratas kini ialah Datuk Seri Khalid Nordin, Menteri Pengajian Tinggi serta seorang lagi yang turut disebut-sebut ialah Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Latif Ahmad.

Di negeri utara tanah air, Kedah bakal menyaksikan perubahan ketara. Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abd Razak dilihat ibarat keseorangan mempertahankan diri dari dirempuh gelombang yang mahukan Pas mengetengahkan calon muda untuk mengisi jawatan MB.

Azizan dikaitkan dengan keadaan kesihatan sebagai punca bakal digantikan, namun usaha pucuk pimpinan parti itu terhalang, buat masa ini, dengan kritikan pedas Azizan yang menganggap beliau masih sihat dan mampu meneruskan tugas MB.

Walaupun prestasi Azizan tidaklah terlalu mengecewakan, namun pengundi-pengundi atas pagar yang mengundi Pas dalam pilihan raya lalu mahukan perubahan drastik. Dalam konteks inilah Umno dan BN dilihat bakal dikembalikan kuasa. Calon baru lebih dinamik seperti Datuk Mukriz Tun Mahathir dilihat bakal dibawa pulang sebagai MB Umno dan BN.

Walau siapa bakal menjadi pemimpin baru di negeri-negeri itu, calon hendaklah tidak berperangai macam Perdana Menteri Israel, Benjamin Nethanyahu dalam konteks kemerdekaan negara Palestin dan Menteri Besar Kelantan sekarang kerana cakap-cakap mereka sering kali mengelirukan dan dilihat mengutamakan pemikiran politik dari kehendak rakyat.

No comments:

Post a Comment