Friday, 22 June 2012

Peletakan Jawatan Rafizi Ramli Cetus Tanda Tanya..


AIDCNews – 21/06/12 – Peletakan jawatan Rafizi Ramli sebagai Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor yang diterajui oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mencetuskan tanda tanya, apatah lagi pengumumannya dibuat dalam twitternya hari ini.

“Saya telah beri notis letak jawatan dari Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor. Sebarang pertanyaan selepas ini, rujuk Kerajaan Negeri atau Anwar Ibrahim,” katanya sepertimana yang ditulis dalam twiter miliknya.
Rafizi menjawat jawatan tersebut pada tahun 2009 selepas meletak jawatan sebagai Pengurus Kanan di Petronas.
“Saya tidak pernah kekal lebih daripada dua tahun dalam satu-satu jawatan. Yang ini saya sudah melebih dua tahun, masa untuk bergerak ke depan. Tiada dimensi politik dalam hal ini,” katanya menjawab soalan-soalan pengikutnya di twitter yang terkejut dengan keputusan itu.
Jika benar, ini alasan sebenar yang berdasarkan tabiat peribadi, mungkin Rafizi tidak sesuai untuk dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 kerana ia memerlukan komitmen 5 tahun setiap wakil rakyat yang menang.
Walau bagaimanapun, menurut Aidila Razak, wartawan Malaysiakini, ‘timing’ peletakan jawatan Rafizi tidak sesuai yang mungkin boleh menimbulkan pelbagai spekulasi.
Malah twitter @PecatFaekah yang dikendalikan oleh mereka yang selari dengan Ketua PKR Selangor, Azmin Ali, pernah menyebut bahawa peletakan jawatan itu mungkin disebabkan pertembungan antara Rafizi dan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.
“Adakah Rafizi berhenti kerana dia berbeza pendapat dengan Khalid mengenai perkara-perkara ekonomi?,” soal twitter anti-Faekah itu.
Malah, sumber dalam kerajaan negeri mendakwa konflik antara Khalid dan Rafizi bermula dari projek perintis pendidikan percuma di Selangor.
Namun, Rafizi menafikannya sebagai, “Tiada kaitan dengan Faekah atau kerajaan negeri”.
Spekulasi semakin kencang bertiup, dalam hari yang sama dua peristiwa berlaku serentak iaitu Rafizi umum letak jawatan dan tiga lelaki tampil mengadakan sidang media membela Faekah.
Tiga lelaki daripada Pertubuhan Kemajuan dan Kebajikan Rakyat (Pro-Rakyat) itu didakwa dekat dengan Exco Negeri, Yaakob Sapari yang dilihat sebagai ‘orang’ Azmin Ali.
“Langkah itu juga menimbulkan tanda tanya sama ada mereka dihantar Azmin untuk meredakan ketegangan itu atau sekadar mengambil langkah sendiri selepas ‘bertukar kem’,” soal Ahmad Fadli KC, wartawan Malaysiakini.
Sidang media yang diadakan di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Shah Alam itu dijangka akan menambahkan lagi kehangatan isu “ribut pejabat MB” itu.
Menurut rekod, Rafizi pernah diperkenalkan oleh Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai calon Ketua Angkatan Muda PKR, namun menarik diri saat-saat akhir berdasarkan ‘deal’ tertentu, menyebabkan Shamsul Iskandar Mat Akin berjaya mengekalkan jawatan itu setelah menewaskan Badrul Hisham Saharin (Chegu Bard).
Bermakna, ada kebenaran jika Razifi dikaitkan sebagai ‘orang Azmin’ berdasarkan kunci Nik Nazmi yang pernah menjadi Setiausaha Politik MB Selangor sebelum jawatannya diambil alih oleh Faekah Husin.
Hujah ini turut disokong oleh YB Datuk Zulkifli Noordin seperti dilaporkan Antarapos.
“Kita perlu faham dalam PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim adalah proksi pada Datin Seri Wan Azizah, jadi dia sangat kuat menyokong dan mendokong Wan Azizah, itu yang saya tahu. Jadi bila Faekah ni dikaitkan dengan Tan Sri Khalid dan Azizah, ia dikaitkan dengan Faekah.
“Sedangkan Rafizi dikaitkan dengan Anwar Ibrahim, jadi sudah berlagalah.
“Saya tidak hairan kerana ini memang parti daripada dulu lagi daripada zaman Datuk Marina Yusof, daripada zaman Datuk Salahuddin Hasyim ketika menjadi Setiausaha Agung, kebanyakannya bermasalah dengan mereka,” katanya yang juga bekas aktivis PKR.
Katanya lagi masalah berpecah belah dalam PKR itu tidak akan selesai selagi PKR dikuasai 3A.
“Masalah PKR ini dia parti anak beranak…dia parti 3A inilah iaitu Anwar-Azmin-Azizah. Jadi kalau tiga-tiga ni letak jawatan akan selesailah masalah mereka ini.
“Jadi ini parti kroni, yang mana tidak sesuai atau sesiapa yang tidak sehaluan dengan 3A ini habislah,” katanya.
Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Datuk Shohaimi Shahadan seperti dilaporkan sahabat-gunung.com berkata peletakan jawatan Rafizi itu membuktikan pergolakan dan krisis dalaman yang semakin teruk dalam kepimpinan Kerajaan Negeri Selangor.
“Apakah ini ada kaitan dengan Azmin…Biarlah mereka yang mengulas panjang lebar krisis terbaru itu. Dan apakah ini juga mempunyai kaitan dengan krisis yang melibatkan antara Azmin dan Khalid serta Faekah Husin.
“Saya tidak mahu mencampuri urusan dalaman mereka namun kepada rakyat amat jelas hari ini pergolakan Kerajaan Negeri Selangor pimpinan PKR semakin kronik dan seolah-olah hilang hala tuju.
“Ini adalah bukti pergolakan dan krisis balas dendam yang berlaku dalam kepimpinan kerajaan negeri, mereka terlalu berpolitik hingga mengabaikan tanggungjawab untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat Selangor,“ katanya.
Rafizi, Budak Suruhan Anwar Diupah RM25 Ribu Sebulan?
Rafizi Ramli Disiasat Di Bawah Akta BAFIA

No comments:

Post a Comment