Wednesday, 20 June 2012

Mempolitikkan hudud mencari keredaan pengundi, bukan Allah...

KENYATAAN di atas yang dibuat oleh ahli akademik dari Arab Saudi, Ahmad Hamad al Jilani dalam Seminar Antarabangsa Fiqh Mentaati Pemimpin amat menarik untuk dijadikan bahan renungan dan pemahaman.

Hudud adalah sebahagian daripada hukumah Islamiah yang wajib diimani. Pas sekian lama mempolitikkan hukuman hudud atas maksud politik bagi meraih undi dan juga kuasa. Ia menyebabkan umat Islam di Malaysia berada di suatu persimpangan yang tajam antara memperjuangkan hudud atau bimbang terkeluar daripada Islam kalau tidak menyokongnya.

Abdul Hadi Awang pernah berceramah 30 tahun dulu (1982) di Kampung Banggul Peradung, Terengganu dan mengeluarkan fatwa yang dinamakan Amanat Hj. Hadi mengafirkan orang UMNO, semata-mata kerana didakwa bekerjasama dengan bukan Islam dan disebabkan tidak melaksanakan hukum hudud.

Hukum hudud bagi orang Islam di Malaysia menjadi timbul-tenggelam. Sewaktu pilihan raya umum semakin hampir, Pas membangkitkan isu hudud untuk mendapat sokongan politik. Bila menang pilihan raya, contohnya di Kelantan, Pas tidak melakukan apa-apa. Sebaliknya, berkawan dengan DAP yang menentang hudud dan negara Islam yang bercanggah dengan kenyataan Hj. Hadi dalam amanatnya.

Nampaknya Amanat Hj. Hadi sedang memakan diri Pas apabila sanggup melakukan tahalluf siasi atau kerjasama politik dengan parti bukan Islam yang mendukung faham sosialis demokratik dan mengambil pendekatan politik Malaysian Malaysia.


Kenyataan Ahmad Hamad al Jilani itu membawa makna mendalam bagi sesiapa yang mengikuti perkembangan politik Pas yang pendekatannya berubah-ubah demi mendapatkan undi rakyat dan kuasa.

Setiap kali menjelang pilihan raya, isu hudud timbul untuk memancing sokongan dan Pas mengambil pendekatan menuduh UMNO tidak melaksanakan hudud sebagai landasan untuk mempengaruhi pengundi. Lalu Kerajaan Pusat disalahkan dan Perlembagaan Persekutuan dijadikan sebab menghalang pelaksanaan hudud terjadi.

Tentu ada sebab mengapa ahli akademik dari Arab Saudi itu menyatakan demikian kerana Saudi cuba melaksanakan hudud dalam konteks dan situasi Saudi. Tentu ia memahami situasi Malaysia yang memerlukan strategi bijaksana bagaimana hudud atau paling tidak takzir dapat berlaku.

Kerajaan Malaysia tidak mengatakan hukumah Islamiah tidak boleh berjalan dalam sistem di negara ini. Status Mahkamah Syariah sedang ditingkatkan dari semasa ke semasa, paling tidak berjalan seiring dengan Mahkamah Sivil.

Pelaksanaan Syariah sedang berlaku dalam sistem kewangan dan perbankan di Malaysia. Terhasilnya Bank Islam dan kaunter bank Islam di bank-bank lain adalah gambaran pematuhan syariah terjadi sehingga menghasilkan Bank Rakyat yang amat diminati oleh orang bukan Islam.

Pelaksanaan sukuk (bond), peluasan wakaf dan pengembangan zakat dalam bentuk yang dinamik, kemajuan industri halal yang mendapat pengiktirafan dunia Islam dan banyak lagi adalah gambaran Malaysia tidak menolak pematuhan syariah berlaku.

Adalah amat tidak benar UMNO dan kerajaan yang ada menolak Islam atau syariah seperti yang di dakwa oleh Pas. Bayangkan bantuan dari segi pendidikan, memperbaiki taraf hidup masyarakat, meningkatkan kualiti prasarana negara, membantu kelompok miskin dan berpendapatan rendah adalah sesuatu yang tidak bercanggah dari sudut syariah.

Pas melihat pelaksanaan syariah dari sudut yang sempit tanpa melihat faktor strategi dan jalur kebijaksanaan. Penulis juga percaya, jika hudud dilaksanakan di Kelantan ia tidaklah semudah yang dipolitikkan kerana ia menuntut persiapan yang rapi dan pelaksanaan yang terbaik.

Amat benar seperti apa yang disebut oleh ahli akademik Arab Saudi itu isu hudud adalah semata-mata untuk mendapatkan keredaan pengundi bukannya keredaan Allah.

Bila hudud tenggelam timbul bermakna Pas tidak serius dengannya. Hudud akan lahir setiap kali pilihan raya terjadi. Sedangkan pelaksanaan syariah yang dibuat oleh kerajaan berjalan dengan dinamik dalam sistem terutama kewangan. Pas tidak boleh menolak hakikat ini.

Di Kelantan pun sistem kewangan yang berjalan masih menggunakan model Kerajaan Pusat. Adanya usaha memperkenalkan sistem dinar sedang berdepan dengan masalah dan ia belum menjadi kenyataan lagi.
Hudud yang mendapat keredaan Allah tidak harus menjadi monopoli Pas untuk memikir dan melaksanakannya. Ia melibatkan semua umat Islam.

Kalau akhirnya Pas berpaling ke DAP dan PKR untuk sama-sama menjayakan hudud, Karpal Singh menyebut, ''langkah mayat saya dulu" dan PKR tentu tidak berminat dengannya. Kalau begitu, hala tuju politik Pas ke mana. Pas seolah-olah berada di lebuh raya perjuangan yang sedang mengejar fatamorgana atau miraj atau bayang-bayang air.

Akhirnya miraj tidak ditemui kerana politik Pas adalah binaan dendam kesumat dan nafsul amarah yang tinggi untuk mewujudkan permusuhan sesama Islam bukannya kembali kepada tuntutan agama ke arah ukhuwah.

No comments:

Post a Comment